Sebuah Kisah Cinta

Ramai orang pada hari ini suka membaca kisah cinta. Tetapi ramai yang membaca kisah cinta yang salah, sehingga akhirnya mereka pun terperangkap dalam mainan cinta palsu yang hanya mendatang resah dan gelisah yang tidak berkesudahan. Saya sekadar ingin berkongsi sebuah kisah cinta sejati yang benar-benar abadi; hasil perkongsian daripada ‘ulama yang hatinya dipenuhi dengan cinta, Habib Adnan bin Habib Ali al-Haddad daripada Jeddah, ketika majlis Maulidurrasul di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada 24 Februari 2010.

Ya, cinta sejati yang abadi yang dimaksudkan di atas adalah kecintaan kepada insan yang paling layak dicintai, Kekasih yang Dikasihi, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Nama Sayyiduna Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak asing lagi di negara ini. Sumbangan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh sebagai muazzin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam begitu signifikan sehinggakan kita pada hari ini memberi gelaran ‘bilal’ kepada para muazzin. Habib Adnan al-Haddad menyebutkan bahawa, tidak akan kita jumpa di dunia ini kisah cinta yang lebih hebat daripada kisah kecintaan para Sahabat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam begitu dekat di hati para Sahabat sehinggakan setiap perilaku dan kejadian bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sentiasa terpahat di dalam ingatan mereka. Begitulah juga dengan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh. Apabila kita merenungi dan memahami sejarah Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, maka pasti kita akan lebih memahami betapa dekatnya dan istimewanya baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di hati Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh.

Setelah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam meninggalkan dunia ini untuk bertemu dengan al-Rafiqul A’la, para Sahabat berada di dalam kesedihan yang amat dek kerana cintanya mereka kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kenangan-kenangan indah bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sentiasa bermain-main di dalam ingatan mereka. Setiap tempat yang mereka lalui, pasti mereka akan terkenang setiap kejadian bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di tempat itu.

Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, sebagai muazzin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yakni orang yang begitu penting dan rapat dengan baginda, berasa begitu sedih dengan pemergian baginda sehinggakan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak lagi mampu melaungkan azan sepertimana selalunya beliau melaungkan azan untuk baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, semenjak daripada pemergian baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu, suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak lagi kedengaran melaungkan azan di Madinah. Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh kemudiannya telah berpindah ke Syam.

Sehinggalah pada satu ketika, Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh bermimpi bertemu Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang mengisyaratkan kepada Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh untuk menziarahi baginda (yakni, menziarahi makam baginda). Maka, berangkatlah Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh ke Madinah.

Sampai di Madinah, maka Bila bin Rabah radhiyallahu ‘anh bertemu dengan para Sahabat yang lain. Para Sahabat, apabila melihat kehadiran Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, lantas meminta beliau untuk melaungkan azan. Namun, permintaan Sayyiduna Abu Bakr as-Siddiq radhiyallahu ‘anh, juga permintaan Sayyiduna Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anh, agar Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh melaungkan azan terpaksa ditolak. Para Sahabat sangat mengerti, Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh begitu sedih sehingga tidak lagi mampu melaungkan azan sepertimana beliau sering melaungkannya untuk Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Kemudian, datanglah dua permata baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, Sayyiduna Hassan radhiyallahu ‘anh dan Sayyiduna Husin radhiyallahu ‘anh bertemu dengan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh. Betapa gembira dan senangnya Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh apabila bertemu dengan dua cucu kesayangan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu, lantas dipeluknya mereka erat-erat. Tiba-tiba Hassan dan Husin radhiyallahu ‘anhuma meminta Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh untuk melaungkan azan sepertimana beliau selalu melaungkannya untuk nenda mereka. Itulah permintaan yang cukup besar. Permintaan tersebut tidak sanggup ditolak oleh Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, kerana itu permintaan daripada dua orang cucu yang sangat disayangi dan dikasihi oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, lantas mereka berdua turut dikasihi dan disayangi oleh semua Sahabat.

Maka, buat pertama kalinya semenjak pemergian baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh kembali melaungkan azan di bumi Madinah. Apabila terdengar sahaja laungan azan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, seluruh penduduk Madinah – lelaki dan perempuan – keluar daripada rumah masing-masing. Mereka menyangkakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah kembali, kerana kerinduan mereka terhadap baginda sehingga apabila terdengar azan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh yang menggamit memori itu mereka menyangka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sudah hidup kembali.

Apabila sudah menyedari hal sebenarnya, maka seluruh penduduk Madinah menangis. Mereka menangis kerana terlalu rindu akan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Laungan azan daripada suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh menghadirkan semula kenangan dan memori-memori mereka bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, dikatakan bahawa tidak pernah kedengaran suara tangisan yang lebih kuat di Madinah melainkan pada hari itu! Itulah tangisan para Sahabat yang begitu mencintai Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam!

Sejauh manakah kerinduan dan kecintaan kita kepada baginda?

Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, dan juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, serta para Sahabat baginda yang terpuji.

Previous
Next Post »