Saya cukup terkilan membaca kenyataan salah seorang pemimpin politik daripada salah sebuah parti politik di negara ini yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi mengeluarkan kenyataan yang ternyata bercanggah dengan nilai-nilai dan adab yang diajar dalam Islam. Bukan kali pertama, tetapi entah sudah berapa kali Dato’ Seri Mufti Perak, Dato’ Seri Dr. Harussani Zakaria dihentam dan dikutuk secara terbuka, hanya semata-mata kerana mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyebelahi sesuatu pihak.
Justeru, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan? Kalau benar Islam itu yang diperjuangkan, mana pergi nilai-nilai Islamnya? Islam itu terbina atas dasar keilmuan yang utuh, bukan atas dasar emosi serta pegangan yang fanatik kepada ideologi parti politik sendiri. Ilmu dalam Islam adalah merupakan suatu kewajipan, suatu perkara yang sangat tinggi keutamaannya dan sangat mulia. Maka, bagi orang yang menuntut ilmu itu mendapat darjat yang cukup mulia, dan bagi orang yang berilmu (yakni ulama) itu juga ada darjat yang sangat mulia bagi mereka. Bahkan, dalam masyarakat, para ulama adalah sebenarnya orang yang seharusnya kita angkat dan letakkan di darjat yang tertinggi, kerana merekalah paksi umat ini.
Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda, bahawa sesungguhnya para ulama itu adalah waris para nabi!
Jika benarpun ada percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan, maka haruslah perbezaan itu diselesaikan dengan cara ilmiah, melalui perbincangan dan diskusi. Bukannya dengan cara menghentam seseorang itu secara terbuka di dalam media, kemudian disusuli dengan mencabar pula. Sungguh tidak beradab! Orang yang menghina dan mengutuk seseorang yang lain, apatah lagi apabila yang dikutuk itu adalah seorang yang berilmu, adalah orang yang sebenarnya mengingkari sunnah dan ajaran Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Bayangkan bagaimana pada suatu ketika dahulu ada orang Arab Badwi yang secara tiba-tiba kencing di dalam Masjid Nabawi. Sayidina Umar al-Khattab yang memerhatikan kejadian itu bingkas bangkit dan ingin menghunus pedangnya untuk ‘menegur’ perbuatan yang biadap itu. Tetapi hal itu ditegah oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sebaliknya, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam mengajarkan dengan cara lemah lembut kepada orang Arab Badawi itu tentang adab-adab di dalam Masjid Nabawi. Nah, kalau perbuatan yang terang-terang biadap di dalam Masjid Nabawi pun Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam boleh berlemah-lembut sebegitu, apatah lagi dalam situasi percanggahan pendapat yang berlaku pada hari ini.
Begitu juga kalau kita lihat, sepertimana yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, tentang kaedah yang diajarkan dalam Islam bagi para hakim. Bagi para hakim, seandainya mendapati ada 99 alasan untuk menghukum seseorang itu kafir, tetapi ada 1 alasan untuk mengatakan bahawa seseorang itu masih Islam, maka alasan yang 1 itu akan digunapakai. Nah, kaedah tersebut sudah tentu mengajar kita bahawa untuk kita menjatuhkan hukum, atau label, atau kritikan kepada seseorang itu adalah suatu hal yang seboleh-bolehnya kita elakkan dalam Islam.
Oleh sebab itulah, bagi para ulama hadith (yang menurut kata Dr. Said Mamduh, di Timur Tengah pada hari ini tidak ada seorang pun muhaddith yang tinggal), sekiranya berlaku ada di kalangan ulama yang mengkritik ulama sezaman, yakni ulama yang masih hidup bersama dengannya, maka kritikan itu akan ditolak ke tepi kerana dikhuatiri mengandungi unsur hasad dan dengki. Nah, dalam hal keilmuan pun begitu teliti para ulama dalam membuat penilaian dan dalam menjaga adab sesama mereka.
Justeru, saya begitu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin diperjuangkan, apabila seorang ulama (walaupun ada pandangannya yang tidak dipersetujui, beliau tetap seorang ilmuan) dihentam dan dikritik semata-mata kerana dirasakan menyokong parti lawan. Sedangkan, pada hakikatnya, parti lawan itu pun adalah parti orang Islam. Apakah kata-kata George Bush: “either you’re with us, or you’re against us” ingin dijadikan sebagai pegangan? Kembalilah kepada jalan keilmuan; dan contohilah perjalanan para ulama terdahulu yang telah mencontohi akhlak agung Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Wallahu’alam.
3 comments
Click here for commentsmaryam jameelah said;
ReplyAku pun tak berapa nak kenan nk bhs bab politik ni..tapi aku suka dan respect pd mufti dato'Harussani ni..tapi tulah, politik ni 'mcm2 ada'..tapi ada gak benarnye kata Machiavelli ni:
~Politics have no relation to morals~
~Princes and governments are far more dangerous than other elements within society~
~When you disarm the people, you commence to offend them and show that you distrust them either through cowardice or lack of confidence, and both of these opinions generate hatred~
Peace,no war ;p
en.Naim,
Replyawak selitkanla ke link'kanke apa yg dicakap pemimpin tersebut ...nak tau gak apa yg dia ckp..baru saya faham apa encik nyatakan..
~M.J~
askm
Replysy ni bkn org politk n bkn juga ahli agama.tp dlm islam allah suruh kita berbaik2 dan berkasih sayang dgn org2 yg seagama dgn kita dan bertegas dgn org2 musyrik walaupun org itu menarik hati kita.tp sekarang ni jd camna.kita tolak umno dan kita sekongkol dgn DAP N LWN BALIK DGN ORG YG MENGUCAP 2 KALIMAH SYAHADAH SPT KITA.sepatut nya ulama ni bertindak menasihat dan menyatukan yg berpecah belah ni bukannya menyalakan api lagi.ooohhh konpius, konpius. aku tak pasti apakah skrg ni kita berdepan dgn komunis zaman moden...mirip2nya tu terlalu byk