Jangan Angkuh Dengan Ilmu

Geram dan marah dirasakan apabila mendengarkan ada ‘penceramah agama’ mengeluarkan kenyataan yang terlalu angkuh dan sombong; lebih menggeramkan apabila kenyataan itu dibuat dalam keadaan menyandarkan diri mereka sebagai pendokong “ahli sunnah wal jama’ah”, sedangkan pada hakikatnya mereka tidak memahami asas-asas aqidah ahli sunnah wal jama’ah. Jika tidak kerana mengenangkan bahawa guru saya juga belum pernah menyebut nama individu apabila membidas kenyataan-kenyataan serta fahaman-fahaman yang tidak betul ini, maka pasti akan saya sebut nama individu tersebut, serta nama mereka yang berfahaman sealiran dengannya di sini dan akan saya ganyang namanya habis-habisan.

Saya sangat marah dengan geram dengan kenyataan angkuh yang mereka keluarkan: bahawa kita selaku umat Islam pada hari ini tidak perlu merujuk kepada “syeikh”, tetapi sebaliknya cukup sekadar merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Dengan penuh angkuh mereka menyatakan bahawa umat pada hari ini tidak memerlukan kepada “syeikh”. Hal ini demikian, kerana menurut fahaman mereka, bahawa “syeikh” ini akan banyak mengajar kepada kesesatan, yakni perkara-perkara yang menyimpang jauh daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Ya Allah! Semoga Allah mengampunkan mereka serta membuka pintu hati mereka untuk menerima cahaya Hidayah bagi menunjuki mereka kebenaran hakiki.

Mereka menggunakan ayat Al-Qur’an berikut sebagai dalil mereka bagi mengatakan bahawa tidak perlu untuk kita merujuk kepada “syeikh”, yakni tuan-tuan guru yang mendidik hati-hati kami ini.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa’, ayat 59)

Disebabkan oleh dalam ayat Al-Qur’an ini ada menyatakan supaya kita kembali merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah apabila ada perselisihan pendapat, maka dengan mudahnya mereka mengatakan bahawa kita tidak perlu kepada “syeikh” sebagai rujukan. Ya Allah! Apabila kita renungi secara rasional dan teliti, ternyata kenyataan itu adalah terlalu angkuh dan malah kenyataan tersebut dengan sendirinya bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah. Saya bukanlah seorang ulama, tetapi saya hanyalah seorang penuntut ilmu yang faqir. Justeru, saya hadirkan di sini beberapa hujah mudah yang merupakan butir-butir mutiara yang saya kumpulan daripada pengajaran tuan guru yang saya kasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, ayat 43)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
...Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala juga, yang lebih kurang maksudnya:
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tidak ada yang akan memahaminya kecuali mereka yang berilmu.” (Surah Al-Ankabut, ayat 43)

Kemudian, terdapat juga beberapa hadith yang menunjukkan kepada kita tentang keutamaan orang yang berilmu, sekaligus mengajar kita betapa perlunya kita merujuk dan berguru dengan mereka. Hadith-hadith ini saya petik daripada kitab Mukhtasar Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali yang merupakan ringkasan kepada karya monumental beliau yakni Ihya’ ‘Ulumuddin.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Para ulama adalah waris para nabi.

Dalam hadith yang lain pula Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Manusia yang darjatnya paling dekat pada kenabian adalah ahli ilmu dan ahli jihad. Adapun ahli ilmu kerana mereka telah menunjukkan manusia pada apa yang dibawa Rasul. Sedangkan ahli jihad kerana mereka telah memperjuangkan dengan pedang mereka apa yang dibawa Rasul.

Ketika mengutus Mu’adz ke Yaman, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
Seandainya Allah memberi petunjuk kepada seseorang kerana perantaraan kamu, maka itu lebih baik bagimu daripada dunia dan seisinya.

Nah, ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith-hadith yang dinyatakan di atas menjadi hujah dan dalil tentang kemuliaan golongan ulama, dan inilah para “syeikh” yang dikatakan oleh mereka yang tidak mengerti itu sebagai ‘orang yang kita tidak perlukan’. Memang benar kita perlu merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun, persoalannya, siapakah yang akan mengajar kita isi kandungan Al-Qur’an dan As-Sunnah, kalau bukan tuan-tuan guru kita tersebut? Apakah kita ini semua sudah begitu hebat dan mantap ilmu kita sehingga kita mampu untuk merujuk secara langsung kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith? Apabila ada pihak yang merasakan bahawa kita tidak memerlukan kepada “syeikh” ini, maka ternyata mereka adalah pihak yang sombong dan angkuh dengan ilmu! Golongan seperti ini seolah-olah merasakan bahawa ilmu agama mereka sudah begitu mantap. Ya Allah!

Seterusnya, perlu dipersoalkan juga, apakah dengan merujuk kepada tuan-tuan guru ini bererti kita tidak merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah? Tuan-tuan guru (masyaikh) kami ini juga merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Malah, disebabkan oleh adab mereka dalam menuntut ilmu, maka ilmu dan pengetahuan mereka begitu luas sehingga tidak mungkin sama dengan taraf keilmuan yang ada pada mereka yang menentang adab-adab dengan ilmu ini. Dengan adab yang ada pada mereka, para masyaikh kami ini mempunyai susur-galur ilmu (sanad) yang bersambung-sambung sehingga sampai kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Malah, ada di antara guru-guru kami yang mulia ini diberikan nikmat oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk belajar secara langsung daripada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui cara-cara yang tidak mungkin mampu difahami oleh golongan yang angkuh tersebut.

Mungkin di kalangan mereka yang angkuh ini berpandangan bahawa para masyaikh ini banyak mengamalkan perkara-perkara yang tidak ada sandaran dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Persoalannya, apakah mereka yang angkuh itu sudah mengetahui dan membaca semua hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang wujud di dunia ini? Kemudiannya, adakah mereka itu mencukupi kelayakan mereka untuk memahami isi kandungan Al-Qur’an dengan sendiri tanpa perlu merujuk kepada para masyaikh yang mempunyai keluasan ilmu? Begitu juga, apakah mereka sudah mempunyai kelayakan yang betul-betul mantap sehingga mereka mampu untuk menentukan kedudukan sesuatu hadith? Jika setakat merujuk kepada beberapa sumber yang sangat sempit seperti tulisan-tulisan Al-Albani, maka ternyatalah bahawa para masyaikh kami yang rata-rata mempunyai ijazah dan sanad hadith yang bersambung-sambung sehingga sampai kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam lebih wajar untuk dirujuki dan didengari.

Proses merujuk kepada “syeikh”, yakni proses berguru, adalah merupakan satu adab yang penting dalam menuntut ilmu. Atas sebab itulah, andaikata kita meneliti dan memperhalusi peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka kita akan mendapati bahawa itulah antara inipati pengajaran yang boleh diperolehi daripada peristiwa luarbiasa tersebut. Bayangkan, sepanjang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berkembara dalam peristiwa tersebut, baginda ditemani malaikat Jibril a.s.. Secara logiknya, apakah mungkin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tersesat dalam perjalanan tersebut sekiranya tidak ditemani Jibril a.s.? Sudah tentu tidak, kerana yang memperjalankan baginda adalah Allah Subhanahu wa ta’ala. Namun, salah satu tujuan malaikat Jibril a.s. menemani Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah sebagai simbolik bagi mengajar mesej bahawa dalam perjalanan menuju Allah Subhanahu wa ta’ala, kita perlukan pembimbing dan pendidik.

Justeru, saya menasihati diri saya sendiri dan semua umat Islam yang membaca penulisan ini: buanglah jauh-jauh rasa sombong, takabbur dan angkuh. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang itu menjadi takabbur apabila ia merasakan dirinya lebih mulia daripada seekor anjing. Contohilah para sahabat seperti Umar al-Khattab r.a. yang begitu menghormati Abu Bakar as-Siddiq r.a. kerana menyedari hakikat kedudukan dirinya jika dibandingkan dengan Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sedarilah bahawa sombong itu adalah pakaian Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh sebab itu, barangsiapa yang bersikap dengan kesombongan maka ia berdosa besar!

Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala mengampuni dosa kita semua serta terus mengurniakan cucuran Rahmat-Nya serta limpahan Hidayah-Nya yang tidak putus-putus kepada kita semua.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

3 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
7:01 am ×

salam akh,
alhamdulillah ana sempat bertemu dgn beberapa sahabat yang mengatakan demikian-(tak perlu merujuk pada syiekh2 ni)..jd bagaimanakah untuk kita lebih 'beradab' membetulkan fahaman mereka.?? -abe-

Reply
avatar
Admin
admin
7:26 pm ×

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.

Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.

Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang : "Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.



Dengan menghafaz belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa.

Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.

Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :

Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".


Ibn al Qasim berkata : "Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".


Ibn Abi Layla pernah berkata : "Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.

Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.

Antara Maksum dan Orang Yang BerilmuAda pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata dan sumber yang amat sedikit berbanding para ulamak muktabar). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.


Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)


Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : Ayat 9)

Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.

Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.

Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!

Sumber rujukan :1. Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.

2. http://quranexplorer.com

Sumber :http://jarumemas.blogspot.com/2008/12/maaf-saya-tidak-tahu.html

Reply
avatar
Ibnu Masruh
admin
6:06 pm ×

Jazakallah khair ya akhi, tulisan yang bermanfaat.

Harap bersabar :)

teruskan menulis lagi untuk ummat.

Reply
avatar