BICARA KEISTIMEWAAN RASULULLAH

Membicarakan keistimewaan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sudah tentu adalah merupakan antara keutamaan kita pada hari ini. Dalam keadaan di mana umat Islam pada hari ini begitu sibuk dengan urusan ekonomi dan sosio-politik, adalah penting untuk usaha bagi memartabatkan kedudukan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai rujukan yang terbaik serta contoh ikutan yang terulung itu dilakukan. Sesungguhnya ramai di kalangan umat ini yang sudah tidak mengenali Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan sebenar-benarnya, dan hal inilah yang menjadi salah satu faktor yang mendorong kebanyakan di kalangan umat ini untuk menjadikan tokoh-tokoh Barat sebagai “role model” mereka. Secara umumnya, tidaklah salah untuk kita menjadikan tokoh-tokoh Barat atau tokoh-tokoh lain yang kontemporari sebagai “role model” dan contoh ikutan; tetapi hal itu menjadi salah apabila kita tidak meletakkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pada kedudukannya yang betul. Contohnya, apabila kita lebih mengenali dan mengagumi tokoh-tokoh lain berbanding Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, maka itu menggambarkan ketiadaan adab dalam diri kita sebagai seorang Islam yang berpegang kepada ‘aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Antara keistimewaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah baginda merupakan seorang yang sangat luas ilmunya. Salah satu sifat wajib bagi Rasul adalah fatanah (bijak). Maka, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan manusia yang paling bijak serta paling luas ilmunya. Dalam menggambarkan keluasan ilmu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, Wahab bin Munabbih berkata bahawa beliau telah membaca 71 buah kitab dan suhuf yang ditanzilkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, dan beliau mendapati bahawa perbandingan kecerdikan seluruh manusia lain dengan kecerdikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah umpama sebutir pasir dengan seluruh pasir-pasir yang ada di bumi ini. Dalam salah sebuah hadith baginda juga ada menyebut bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala telah memberikan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan kunci segala ilmu pengetahuan, kecuali tentang lima perkara yakni pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat, tentang penurunan hujan, tentang hakikat janin dalam rahim si ibu, tentang apa yang dilakukan olehnya atau oleh sesiapa sahaja pada keesokan harinya, serta tentang tempat di manakah ia akan meninggal dunia. Maka selain daripada lima perkara tersebut, segala-galanya termasuk di dalam pengetahuan dan ilmu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang merupakan kurniaan daripada Allah ‘azza wa jalla.

Begitulah salah satu daripada begitu banyak keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Mengenali dan menghayati hakikat keistimewaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ini pasti akan menjadikan keimanan kita lebih kuat, serta akan mengukuhkan lagi jatidiri kita sebagai seorang Muslim yang sejati. Pentingnya juga kita mengenali Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, agar kita memahami dengan sebenar-benarnya bahawa pada hakikatnya tidak ada manusia yang layak untuk kita letakkan seganding atau setaraf dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Justeru, saya menjemput saudara dan saudari sekalian untuk menghadiri kuliah di Surau Kemensah Heights pada setiap hari Selasa, bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Kuliah tersebut disampaikan oleh al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, dan buat masa ini beliau akan mengupas kitab yang diterjemahkan oleh beliau kepada tajuk “40 Hadith Keistimewaan Rasulullah”, karangan Abu Al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad Al-Siddiq Al-Ghumari Al-Hasani. Jemputlah hadir beramai-ramai. Untuk maklumat lanjut, dipersilakan menghubungi saya.

Semoga Allah merahmati kita semua, dengan berkat dan kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Previous
Next Post »