Satu laporan dalam Berita Harian pada hari ini yang bertajuk “Kurikulum Tadika Islam Diselaras” membangkitkan bermacam persoalan dalam benak fikiran saya apabila membacanya. Dalam suasana politik negara semasa yang begitu cacamarba dan tidak stabil, kadang-kala agak sukar untuk membuang prejudis dan sangkaan yang buruk apabila menilai sesuatu tindakan oleh pihak kerajaan, mahupun oleh pihak pembangkang. Namun, saya cuba juga untuk kekal dalam sangkaan baik, tetapi dalam masa yang sama menilai secara kritis dengan harapan agar tidaklah sesuatu keputusan itu diterima dengan begitu sahaja tanpa ada penilaian; yang mana penilaian itu sudah tentu tujuannya hanyalah untuk memastikan agar keputusan yang terbaik demi kepentingan dan masa depan umat dapat diambil.
Secara umumnya, adalah sesuatu tindakan yang elok juga seandainya kurikulum tadika Islam di seluruh negara ini diselaraskan. Hal tersebut seandainya dilaksanakan dengan baik pasti akan dapat membantu ke arah mewujudkan kesatuan umat yang sering kita dambakan. Malah, tindakan tersebut juga akan dapat mengelakkan pihak-pihak yang tertentu untuk mengambil kesempatan dengan menggunapakai silibus yang tidak sesuai ataupun bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah ‘ahli sunnah wal jamaah’. Bagi saya, inilah hal yang perlu kita letakkan sebagai persoalan utama dalam membincangkan tentang kurikulum tadika Islam: adakah pelajar itu kelak akan semakin dekat dengan Islam atau semakin jauh daripada Islam?
Justeru, ada beberapa kerisauan yang saya rasa perlu untuk diambil kira secara serius dalam hal ini. Pertamanya, siapakah yang akan terlibat dalam menggubal kurikulum tadika Islam tersebut? Perlu diingatkan bahawa institusi yang dibincangkan di sini adalah tadika Islam, yang tujuannya adalah untuk menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada anak-anak kecil. Justeru, yang perlu dilibatkan dalam pembinaan silibus ini tentulah mereka yang berkelayakan dan pakar dalam bidang pendidikan pra-sekolah dan pakar dalam ilmu agama Islam, yakni para ulama. Pemilihan mereka ini haruslah dilakukan secara adil dengan berdasarkan kelayakan ilmu yang ada pada mereka, bukan berdasarkan kepada kepentingan politik. Pemilihan pakar-pakar agama (ulama) juga haruslah dipastikan dibuat daripada kalangan para ulama ahli sunnah wal jama’ah, yang benar-benar mantap keilmuannya. Teguran dan peringatan ini saya rasakan wajar untuk dibuat kerana pihak kerajaan telah beberapa kali sebelum ini menunjukkan sikap tidak adil mereka apabila mengenepikan pandangan para intelektual dan ahli akademik dalam membuat keputusan.
Seterusnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian, bahawa antara faktor yang menyumbang kepada tindakan kerajaan membuat keputusan untuk menyelaraskan adalah kerana menyedari wujudnya parti-parti politik tertentu yang membangunkan tadika Islam masing-masing lantas dijadikan platform untuk menggerakkan proses indoktrinisasi ideologi parti politik mereka. Memetik laporan dalam Berita Harian;
Beliau berkata, kerajaan menyedari ada parti politik menubuhkan tadika Islam dan menghasut kanak-kanak membenci kerajaan walhal pada usia muda mereka sepatutnya dibimbing dan diberi ilmu pengetahuan.
Ada perkara yang saya kira perlu diperhalusi sebelum alasan ini boleh dijadikan sebagai kewajaran kepada perlunya kurikulum tadika Islam di seluruh negara. Pertamanya, adakah benar tadika-tadika Islam yang ditubuhkan oleh parti-parti politik yang tertentu itu dijadikan medan untuk melatih anak-anak supaya membenci kerajaan? Bukti-bukti dan hujah-hujah yang kukuh perlu dikemukakan sebelum hal tersebut boleh dijadikan sebagai alasan. Apa yang saya risaukan adalah sikap berfikir secara simplistik dan mudah membuat ‘generalization’ yang seringkali berlaku apabila sesuatu keputusan dibuat, akan diulangi. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak kecil diajar untuk membenci zina dan pelaku zina, kemudian dalam masa yang sama ada di kalangan pemimpin dalam kerajaan yang terlibat dengan perlakuan zina, lantas dibenci oleh kanak-kanak itu, adakah itu boleh dijustifikasikan sebagai suatu ajaran untuk membenci kerajaan?
Seandainya memang jelas dan terang bahawa di dalam pelaksanaan silibus tadika-tadika Islam yang ada di negara ini memang ada diajar kanak-kanak supaya membenci kerajaan secara langsung, maka saya antara orang yang pertama yang tidak akan bersetuju dengan hal itu kerana hal itu bercanggah dengan apa yang diajar dalam Islam.
Keduanya, andai disebabkan oleh tindakan parti-parti politik tertentu yang menyalahgunakan tadika Islam sebagai pusat indoktrinisasi ideologi parti politik mereka lalu kurikulum tadika Islam seluruh negara hendak diselaraskan, bagaimana pula dengan tadika-tadika Islam yang bukan ditubuhkan oleh parti-parti politik? Adakah tindakan ini adil bagi mereka? Tadika-tadika Islam seperti yang ditubuhkan oleh organisasi-organisasi tertentu seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Khalifah Institute, adalah tadika-tadika Islam yang sudah terbukti keberkesanannya. Mereka mempunyai kurikulum dan silibus yang tersendiri yang dibina hasil kajian dan penyelidikan yang gigih. Apakah adil bagi mereka untuk dipaksakan satu silibus yang lain ke atas tadika yang sudah begitu gigih dibina?
Apabila laporan dalam Berita Harian menyebut bahawa pihak kerajaan akan mengadakan perhimpunan besar-besaran membabitkan 5,600 tadika Islam di Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat ini, saya sedikit terusik dengan apa yang dibaca. Saya memetik laporan dalam Berita Harian;
Seramai 15,000 akan hadir termasuk, pelajar, guru dan ibu bapa dalam pertemuan itu. Ikon anak muda, pengacara Aznil Nawawi dan penyanyi, Mawi turut memeriahkan majlis itu.
Saya begitu hairan, mengapakah dalam sebuah himpunan tadika-tadika Islam, orang-orang seperti Aznil Nawawi dan Mawi dijemput? Apakah kewajaran dan di manakah relevannya mereka itu dijemput? Bagi saya, Aznil Nawawi dan Mawi tidak punya kredibiliti dan kelayakan akhlak untuk dijadikan sebagai ikon dan ikutan bagi anak muda. Justeru, bukankah lebih wajar seandainya dalam himpunan tadika-tadika Islam seperti itu, yang dijemput adalah golongan ulama? Ataupun jika terlalu inginkan penghibur, undanglah penghibur yang hiburannya mendekatkan manusia dengan Allah, bukan melalaikan. Saya terus bingung, seandainya masih begini mentaliti pihak kerajaan, maka bagaimana mungkin kita hendak melahirkan individu-individu berilmu dan berakhlak mulia. Sedangkan al-Imam Abdullah ‘Alawi al-Haddad, semasa zaman kanak-kanaknya akan menangis apabila diajak bermain dan berhibur kerana hatinya lebih menyukai untuk dia membaca Al-Qur’an, yang mana akhirnya ia menjadi seorang ulama tersohor yang sangat hebat.
Secara peribadi, saya merasakan pihak kerajaan belum bersedia untuk menentukan kurikulum yang piawai bagi tadika-tadika Islam di seluruh negara.
Wallahu’alam.
2 comments
Click here for commentssalam...
Replysaya bersetuju dgn pendapat saudara yg kerajaan sebenarnya belum bersedia dan tidak bersungguh2 utk menggubal kurikulum tadika islam. bukan setakat tadika islam sahaja malah kurikulum bg sekolah agama rakyat pun masih belum selesai lg. sebagai pendidik saya melihat tadika islam yg ada skrg telah bnyk memberi sumbangan dlm melahirkan ramai pelajar cemerlang berakhlak baik begitu juga dgn sekolah agama rakyat. ini kerana ramai pelajar kita pada hari ini menghadapi masalah buta al-quran dan tidak boleh membaca jawi disamping terlibat dgn pelbagai masalah sosial . walaupun jqaf diwujudkan di sekolah namun ia tidak bnyk membantu. maka dlm situasi sebegini jgn jadikan politik sebagai alasan. kalau isu ppsmi sibuk diperdebatkan maka isu buta al-quran dan tidak boleh membaca jawi juga perlu dibawa ketengah dan diambil tindakan. andai kerajaan benar2 ikhlas utk menyelaraskan kurikulum tadika islam dan memantapkannya lg maka mereka perlu merujuk kepada org yg benar2 arif dalam ilmu agama. jgn jadikan hiburan sbg tarikan dan artis sbg role model kpd anak2 kita. so diharapkan ia bukanlah sekadar hanya hangat2 tahi ayam sahaja seperti yg telah pun berlaku sebelum ini. wallahu'alam.
salam...
Replyabg naim...
gne bah mun kmk mo tauk prog yg dianjurkan oleh cdak perkepis..
kdg2 terlepas bah prog ktkorg
rasa cm rugi jak