BERSYUKURLAH ATAS NIKMAT INI!

Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala yang telah memberikan aku peluang dan kesempatan untuk menghadiri majlis maulid bersama Habib Kazim as-Saqqaf dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki di Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan. Dalam keadaan yang agak keletihan kerana tidak cukup tidur, aku gagahkan diri jua untuk ke Seremban kerana bukan senang mendapat peluang seperti itu. Tambahan, aku teringat teguran Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki kepada anak-anak muridnya yang tidak menunjukkan kesungguhan dalam meraikan sambutan kelahiran Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sedangkan, kesungguhan dalam meraikan sambutan Maulidurrasul, dengan menghadiri majlis-majlis maulid sebagai contoh, adalah merupakan salah satu cara menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Pesanan Habib Kazim as-Saqqaf pada malam itu aku kira merupakan satu pesanan yang harus disemat kemas dalam jiwa setiap yang bergelar Muslim: betapa kita harus bersyukur kerana kita dikurniakan dengan nikmat yang begitu besar dan agung, yakni nikmat menjadi umat Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Cuba kita fikirkan, di antara berbilion-bilion manusia yang telah Allah Subhanahu wa ta’ala ciptakan, telah ramai yang lahir pada zaman Nabi Adam a.s., zaman Nabi Nuh a.s., zaman Nabi Ibrahim a.s., zaman Nabi Isa a.s.; bukanlah sesuatu hal yang mustahil mahupun sukar bagi Allah Subhanahu wa ta’ala untuk menempatkan kita sebagai umat nabi-nabi yang terdahulu. Namun, Allah Subhanahu wa ta’ala telah memilih kita untuk lahir sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Kerana itu menurut kata Habib Kazim as-Saqqaf, hendaklah kita merafa’kan pujian kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dengan sebanyak-banyaknya, dengan pujian sebanyak bilangan makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala. Dan sesungguhnya bilangan makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala itu terlalu banyak dan tidak mungkin mampu kita kira.

Menjadi umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan satu kemuliaan yang tiada tolok bandingnya. Hal ini demikian kerana Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala yang paling mulia. Baginda lebih mulia daripada ‘Arasy mahupun Kursiy Allah Subhanahu wa ta’ala. Baginda lebih mulia daripada para malaikat. Baginda lebih mulia daripada ka’abah yang menjadi kiblat umat Islam. Kemuliaan baginda terlalu hebat sehinggakan setiap yang terkait dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam akan turut mendapat kemuliaan. Oleh sebab itulah dalam sebuah hadith sahih yang dirakamkan dalam Kitab Sahih Bukhari menceritakan tentang bagaimana Abu Lahab (bapa saudara Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam Al-Qur’an), diberikan keringanan daripada azab neraka pada setiap hari Isnin, dengan sebab Abu Lahab pernah bergembira dan meraikan kelahiran seorang bayi, anak saudaranya, yang bernama Muhammad! Maka, apatah lagi kita yang beragama Islam, yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; apabila kita menzahirkan dan memanifestasikan kecintaan kita kepada baginda, sudah tentu kita akan mendapat kemuliaan dan nikmat yang tidak terkira. Dan antara nikmat yang cukup hebat yang mengatasi segala kesenangan, layanan dan harta di dalam syurga adalah nikmat dihimpunkan bersama-sama dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Aku memetik sebuah hadith daripada kitab karangan Abu Al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani, yang diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dengan tajuk “40 Hadith Keistimewaan Rasulullah”; hadith yang menceritakan tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam serta umat baginda.

Daripada Anas ibn Malik r.a. berkata: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam (yang bermaksud): “Allah Subhanahu wa ta’ala mewahyukan kepada Musa a.s., Nabi Bani Israil, bahawa: ‘Sesiapa menemui-Ku dalam keadaan menentang kenabian dan kerasulan Ahmad, nescaya Aku akan memasukkannya ke dalam neraka.’ Nabi Musa a.s. bersabda: ‘Wahai Tuhanku! Siapakah Ahmad itu?’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Tidak Aku jadikan seorang makhluk yang lebih mulia daripadanya. Aku menulis namanya di samping nama-Ku di ‘Arasy sebelum Aku menjadikan langit dan bumi. Sesungguhnya syurga diharamkan ke atas sekalian makhluk-Ku sehinggalah dia memasukinya terlebih dahulu dan juga umatnya.’ Nabi Musa a.s. bertanya, ‘Siapakah umatnya?’ Allah berfirman, ‘Umatnya ialah orang-orang yang kuat memuji-Ku ketika menaiki kawasan berbukit dan ketika menuruni kawasan rendah serta pada setiap keadaan. Mereka sentiasa memakai kain sarung dan mengikatnya di pinggang serta sentiasa menyucikan anggota mereka (berwudhu’). Mereka berpuasa pada waktu siang dan kuat beribadah pada waktu malam. Aku menerima amalan mereka yang sedikit dan mereka dimasukkan ke dalam syurga dengan penyaksian bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan Allah.’’ Nabi Musa a.s. bersabda, ‘Jadikanlah aku nabi umat tersebut.’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Nabi mereka adalah dari kalangan mereka juga.’ Nabi Musa a.s. bersabda, ‘Jadikanlah aku umat bagi nabi itu.’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Engkau telah diutuskan sebelum dia dan dia diutuskan selepas kewafatan engkau tetapi Aku akan menghimpunkan engkau dan dia di Dar al-Jalal (syurga).’” (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah)

Bersyukurlah atas nikmat menjadi umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam!

Previous
Next Post »