Tarikh ulangtahun bagi peristiwa-peristiwa besar adalah tarikh yang sewajarnya kita raikan dan sambut dengan meriah dan gilang gemilang sebagai tanda gembira, syukur dan pembangkit semangat kita terhadap makna penting daripada sesuatu peristiwa tersebut. Sedar atau tidak, bulan Safar kini sudah hampir melabuhkan tirainya dan bulan Rabi’ulawwal bakal menjelma. Semua umat Islam di serata dunia sudah tentu sedia maklum akan peristiwa terbesar yang berlaku dalam bulan Rabi’ulawwal. Hari tersebut adalah lebih besar daripada ‘Eidulfitri mahupun ‘Eiduladha, yang seringkali kita sambut dengan begitu gilang-gemilang. Tanggal 12 Rabi’ulawwal – lebih 1480 tahun yang lampau – lahirlah seorang manusia agung, kekasih agung, makhluk Tuhan yang paling mulia, yakni tidak lain dan tidak bukan, Rasulullah Muhammad s.a.w. Saat kelahirannya, terpancar cahaya dari perut ibundanya sehingga bercahaya istana-istana di Syam. Seluruh alam damai dan bergembira dengan kelahirannya. Kelahiran baginda adalah kelahiran agung!
Hayatilah syair yang masyhur, yang dikarang oleh seorang ulama ahli hadith dan ahli sejarah, yakni Al-Hafiz Wajihuddin Abu ‘Abdillah Abdul Rahman ibnu ‘Ali Ibni Muhammad ibni Umar As-Syaibani Az-Zabidi As-Syafie yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Imam Ad-Daiba’ie. Syair, kata-kata pujian serta selawat yang termaktub dalam karangan masyhur beliau, Maulid Ad-Daiba’ie diiktiraf oleh para ulama dan sudah digunakapakai selama lebih 450 tahun di dalam dunia Islam. Fahamilah bahawa syair-syair ini bukanlah semata-mata karangan yang berasaskan imaginasi pengarangnya; tetapi adalah merupakan pancaran rasa cinta yang begitu mendalam yang berasaskan ilmu pengetahuannya yang luas terhadap hadith-hadith yang begitu banyak serta ma’rifat kurniaan Allah S.W.T. Hayatilah di bawah ini terjemahan bait-bait syair beliau tentang kelahiran Rasulullah s.a.w., yang pasti membangkitkan lagi kecintaan dan kasih umat kepada Baginda Rasulullah s.a.w.
Hadirkanlah hati-hati kalian, wahai sekalian orang yang mempunyai akal fikiran. Agar dapat kujelaskan kepada kalian segala sifat yang indah menawan dan cantik memukau bagaikan pengantin, milik Kekasih Teragung ini. Yang diistimewakan dengan gelaran termulia (Kekasih Allah). Yang pernah naik menghadap Allah, Maharaja Yang Maha Pemberi (di malam Isra’ dan Mi’raj). Sehingga ia dapat menatap langsung keindahan-Nya tanpa sebarang tirai penghalang.
Ketika tiba saat kemunculan ‘Matahari Kerasulan’ ini di ‘Langit Keagungan’; maka keluarlah satu malaikat membawa titah perintah Allah Yang Maha Agung, kepada Ketua Penghuni Langit, Saidina Jibril a.s. “Wahai Jibril, serukanlah kepada seluruh makhluk. Di bumi dan di langit, dengan ucapan-ucapan tahniah dan khabar gembira. Kerana sesungguhnya, Nur yang terpelihara, dan Rahsia yang tertutup sekian lama, yang telah Aku wujudkan sebelum terwujudnya segala sesuatu, dan sebelum Kuciptakan bumi dan langit. Pada malam ini, akan Ku pindahkan ke dalam perut ibunya dalam keadaan riang gembira. Dengan sebabnya, akan Ku penuhi seluruh alam dengan cahaya. Ia akan Ku pelihara dan Ku didik dalam keadaan yatim (tanpa campur tangan ibu bapanya) dan akan Ku sucikan ia dan ahli keluarganya dengan sesuci-sucinya (sehingga mereka tidak akan melakukan perkara yang Aku tidak redhai)”
(Setelah Saidina Jibril a.s. menyerukan titah Allah tersebut) maka ‘Arasy bergoncang hebat kerana merasa sangat gembira. Kursiy yang teramat hebat itu pula menjadi semakin hebat dan agung (demi memuliakan Baginda s.a.w.). Dan tujuh petala langit dipenuhi cahaya (bagaikan sedang berpesta). Sedangkan suara para malaikat bergemuruh mengucapkan tahlil, tahmid dan istighfar (lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Baginda s.a.w. ke mayapada).
(Sejak awal kehamilan) Bondanya (Sayyidatuna Aminah r.anha) sentiasa melihat pelbagai mimpi dan tanda kemegahan serta keutamaan bayi dalam rahimnya itu, sehinggalah usia kandungannya cukup sempurna. Lalu ketika dirasakan dirinya benar-benar akan melahirkan, dengan keizinan Tuhan segala makhluk, maka ia pun melahirkan Al-Habib s.a.w. dalam keadaan sedang sujud, bersyukur dan memuji Allah, begitu comel dan indah laksana bulan mengambang penuh.
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan dalam keadaan telah berkhatan dengan kekuasaan Allah S.W.T. Kedua matanya yang mulia bercelak dengan ‘Celak Hidayah’ (terpelihara daripada memandang apa yang tidak diredhai oleh Allah). Ruang angkasa menjadi terang benderang kerana Nurnya. Dan alam semesta penuh dengan keindahan serta bersinar cemerlang kerana Nurnya itu. Generasi yang tidak menjumpainya, termasuk juga umatnya, sebagaimana generasi yang telah berlalu sebelumnya. Kehebatan pertama mukjizatnya adalah terpadamnya api sembahan orang-orang Parsi (yang tak pernah padam selama seribu tahun). Beranda-beranda istana Maharaja Parsi tiba-tiba runtuh berjatuhan. Syaitan-syaitan dihujani dengan panah-panah api bintang yang panas membakar dari langit. Semua jin yang sombong dan zalim, berundur dengan hina dan tunduk kerana serangan dan desakan kuasa Baginda s.a.w.
Begitulah sebahagian kecil daripada syair-syair yang mengisahkan tentang kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w. Peristiwa kelahiran Baginda s.a.w. sudah tentu adalah merupakan peristiwa yang terbesar dalam kehidupan kita sebagai umatnya. Dengan kelahirannya, Rahmat Allah S.W.T. tersebar ke serata alam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita merasai nikmat Islam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita pada hari ini dapat sujud dan tunduk menyembah kepada Tuhan Yang Maha Agung.
Nah, sekarang ini tarikh 12 Rabi’ulawwal semakin hampir dengan kita. Apakah persiapan kita bagi menyambut tarikh yang bersejarah tersebut? Seandainya ulangtahun kelahiran kita, ibubapa kita, adik-beradik kita, rakan-rakan kita, serta orang-orang yang kita sayangi, kita raikan dengan penuh meriah, bagaimanakah sikap kita dalam menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah s.a.w.? Sudah tentu, kita meraikan ulangtahun kelahiran baginda bukanlah sepertimana orang-orang Barat meraikan ulangtahun kelahiran seseorang. Sebaliknya, kita meraikan ulangtahun kelahiran Baginda s.a.w. sebagai manifestasi kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda s.a.w.; kita penuhi dengan selawat, maulid serta pengkisahan tentang sirah Rasulullah s.a.w.
Mencintai Rasulullah s.a.w. adalah merupakan kewajipan terhadap kita selaku umat Baginda s.a.w. Malah, dengan sebab kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w. (yang benar-benar tulus) itulah yang akan mampu menyampaikan kita kepada keredhaan Allah S.W.T., serta kedudukan yang mulia di akhirat yang kekal abadi kelak.
Daripada Sayyiduna Ali r.a., bahawa Nabi s.a.w. mencapai tangan Hasan r.a. dan Husin r.a., lalu bersabda (yang lebih kurang maksudnya): “Sesiapa yang mengasihiku dengan mengasihi kedua-dua (cucuku ini) serta kedua ibu bapa mereka (Sayyiduna Ali dan Fatimah r.a.), maka mereka akan bersamaku di dalam kedudukanku pada hari Kiamat.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi, hadith Hasan)
Dalam keadaan umat pada hari ini kegersangan pedoman dan panduan sehingga mengalami kecelaruan nilai dan kehilangan adab, adalah sangat perlu untuk kita mengembalikan ‘roh’ dan ‘contoh’ Baginda Rasulullah s.a.w. ke dalam kehidupan umat. Betapa umat pada hari ini sudah terlalu jauh daripada kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w.; biarpun lidah-lidah dan bibir-bibir menuturkannya, tetapi hakikatnya di dalam benak hati masih lagi mencintai banyak perkara lain lebih daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Justeru, apakah perancangan anda untuk menyambut Maulidurrasul pada 12 Rabi’ulawwal ini?
Wallahu’alam.