Tragedi Tanah Runtuh: Ayat-ayat Tuhan

Semalam (Ahad, 7 Disember 2008), aku bersama skuad ABIM & PKPIM yang seramai 15 orang semuanya telah menghabiskan masa untuk membantu kerja-kerja di Pusat Operasi bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa. Pusat yang terletak di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang tersebut dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kelihatan juga di pusat tersebut ramai sukarelawan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) yang diberikan tanggungjawab untuk menyediakan makanan dan minuman bagi mangsa yang masih terperangkap di Bukit Antarabangsa, dan juga bagi para petugas di Pusat Operasi.


Menghantar bekalan makanan ke helikopter.

Beberapa orang doktor perubatan yang dibawa oleh ABIM ternyata memberikan manfaat tatkala apabila sedikit demi sedikit mangsa yang memerlukan rawatan diterbangkan oleh helikopter ke Pusat Operasi tersebut. Ada wanita yang sedang hamil, ada juga warga tua yang ’traumatik’ dan terkejut dengan tragedi yang menimpa mereka. Aku bersama rakan-rakan membantu segala yang termampu. Antara yang penting pada hari itu adalah membantu mengangkat bekalan makanan dan minuman yang perlu diterbangkan oleh helikopter kepada mangsa di atas (di Bukit Antarabangsa). Selain daripada itu, kami juga perlu menyambut mangsa yang dihantar ke bawah menggunakan helikopter.


Membawa turun seorang nenek tua ke bilik rawatan.

Apa yang pasti tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa ini mendapat perhatian ramai dan banyak pihak yang menghulurkan bantuan. Di samping rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan yang lain yang turut berada di situ seperti JIM, KARISMA dan HALUAN, parti-parti politik juga nampaknya menghantar ’tentera’ masing-masing bagi membantu kerja-kerja di pusat operasi. Petugas-petugas PKR dan UMNO jelas kelihatan membanjiri Pusat Operasi tersebut. Beberapa orang ahli parlimen juga kelihatan ’turun padang’.

Namun, sepertimana selalunya aku perhatikan di pusat-pusat operasi bencana (berdasarkan kepada pengalaman aku yang sedikit), seringkali soal kerohanian diketepikan. Banyak pihak yang akan menghulurkan bantuan barangan dan kemudahan - malah kadang-kadang sampai ke tahap berebut-rebut kerana masing-masing ingin menonjolkan organisasi masing-masing - tetapi hampir tidak ada sumbangan yang diberikan dari segi ’sokongan kerohanian’. Justeru, kami mengambil inisiatif untuk melakukan apa yang masih belum dilakukan - menghidupkan surau. Mudah-mudahan Allah menggerakkan hati para petugas yang beragama Islam di situ untuk menjaga solat masing-masing.

Walau bagaimanapun, apa yang menarik untuk sama-sama kita renungkan dan mencari pengiktibaran di sebaliknya, bukanlah dari segi bentuk dan jumlah bantuan yang dihulurkan. Aku kira Pusat Operasi bencana banjir di Pahang dan Johor yang pernah aku pergi jauh lebih ’kritikal’ keadaannya berbanding Pusat Operasi bencana tanah runtuh ini. Tetapi, apa yang menarik perhatian aku untuk merenungi apa yang berlaku secara lebih mendalam adalah tentang sikap manusia dalam menghadapi bencana alam seperti ini.

Ramai yang mungkin lupa, bahawa setiap kejadian yang berlaku itu adalah di bawah kekuasaan dan aturan Allah S.W.T. yang Maha Agung. Justeru, alam sekeliling kita ini juga sebenarnya adalah merupakan ’ayat-ayat’ Allah; mesej daripada Allah untuk kita ambil sebagai pengajaran dan pengiktibaran agar dapat kita jalani kehidupan ini dengan lebih baik sebagai hamba-Nya. Bencana alam yang telah berlaku, pasti ada sebab di sebaliknya. Mungkin kejadian itu merupakan ujian, mungkin juga peluang, mungkin juga balasan daripada Allah S.W.T.

Menariknya tragedi ini, dibandingkan dengan tragedi banjir-banjir besar yang selalunya melibatkan puluhan ribu mangsa, adalah kerana tragedi ini menimpa satu kawasan yang dihuni oleh golongan ’elit’, ataupun golongan yang berpendapatan di atas paras sederhana. Bagi aku, seharusnya tragedi ini mereka lihat sebagai satu teguran, dan juga ujian daripada Allah S.W.T., untuk melihat sama ada mereka akan bersabar atau sebaliknya. Namun, apabila membaca laporan dalam akhbar dan mendengar sendiri daripada para petugas di Pusat Operasi bahawa ada di kalangan mangsa yang keberatan untuk berpindah kerana ’sayangkan’ harta masing-masing, aku sedikit kecewa. Memang tidak salah kita berusaha untuk menyelamatkan harta kita, tetapi apalah sangat nilai harta dunia itu dibandingkan dengan nyawa dan keselamatan. Malah, sikap mereka itu kadang-kadang sehingga memberikan kesukaran kepada para petugas di Pusat Operasi. Mungkin inilah ujian daripada Allah S.W.T.; satu ujian untuk melihat siapakah di antara hamba-hambaNya yang benar-benar kembali kepada-Nya tatkala berhadapan tragedi ini, dan siapakah yang masih lagi ingin berpaut kepada kesenangan dan harta duniawi masing-masing?

Firman Allah S.W.T. yang lebih kurang bermaksud:
dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” (Al-Fajr: 20)

Tragedi ini juga mungkin satu peluang. Peluang untuk golongan yang selama ini bermusuh dan bertelingkah, dapat bekerjasama dan bersatu atas dasar kemanusiaan. Sikap berpolitik secara tidak matang - sikap parti aku benar, parti kau salah - ternyata masih lagi wujud, biarpun di tengah-tengah tragedi sebegini. Sedih. Sikap berat sebelah media juga nyata masih wujud. Tidak perlulah aku ceritakan secara terperinci apa yang berlaku, kerana aku kira suasana ’tidak matang’ antara parti-parti politik ini kita semua sedia maklum. Bagi mangsa pula, mungkin inilah peluang untuk mereka menyedari bahawa segala yang mereka miliki itu pada hakikatnya adalah milik Allah S.W.T. dan Dia berhak menariknya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki, dan Dia juga boleh mengembalikannya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki.

Ayat-ayat Tuhan ini perlu kita baca, agar daripada tragedi yang menimpa itu akhirnya kita akan mendapat kebaikan yang lain pula.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

4 comments

Click here for comments
Nadiah Azli
admin
10:21 pm ×

Alhamdulillah..
ada juga yang menyuarakan..

Kalau saya kata "ujian (teguran)Allah" ,karang ada yang kata tak pandai jaga mulut.
Ok lah then, bencana alam.

Tapi kita manusia mmg tak dapat lagi tipu diri dari realiti ni.

Wallahualam.

Reply
avatar
Anonymous
admin
6:09 pm ×

saya setuju dengan pendapat saudara,
sama ada sesuatu bencana itu akan berlaku, berhenti, mahupun berlaku semula,
hanya dia yang berkuasa,
satu perkara lagi, saya setuju dengan pendapat saudara bahawa pembangkang mahupun kerajaan harus saling menentang semasa pilihanraya sahaja,
dalam dewan rakyat, dewan parlimen, dan yang lain-lain sepatutnya saling mengembeleng tenaga menyelesaikan masalah rakyat, bukannya asyik nak membuktikan siapa yang lebih berkuasa, siapa yang lagi ramai penyokong, siapa yang pandai berpidato, siapa yang lebih power...

sudi-sudilah saudara melawat blog saya : http://puterirevolusi.blogspot.com

Reply
avatar
Anonymous
admin
12:49 pm ×

salam 'alaika..
Dgn Nama Allah Yg Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

"Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia Amat Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan". “An-Naml :88 “

Maha Kuasa Allah Pengurus dan Pentadbir sekalian isi alam yang ada di langit mahupun di bumi.Salam takziah kepada semua mangsa yg terlibat dlm tragedi yang dianggap sebagai satu fenomena alam semulajadi.Namun,benarkah ia hanya fenomena alam semata2 ?lantas ,apakah alam yang kita huni selama ini harus dipersalahkan ?bukankah dalam “Ayat2 Allah” diceritakan bahawa,manusia dijadikan utk menjadi khalifah di muka bumi?berperanan utk mengurus dan mentadbir alam sekitar dgn sebaiknya sejajar dgn tuntutan Agama,bukannya mengambil hawa nafsu sebagai panduan.maka bila nafsu yang Allah bekalkan kpd manusia menguasai kewarasan akal dan meminggirkan ‘Ayat2 Allah’,nah!lihatlah akan akibatnya.kerakusan tangan2 manusia yang berterusan mengkhianati akan amanah yg Allah galaskan di tgn makhluk yg telah Allah bekalkan dgn kemampuan akal , membuatkan alam ‘bersuara’ mengingatkan kembali akan ‘Ayat2 Allah’ pada manusia supaya berfikir.ya!berfikir dan merenungi kelalaian yg telah dilakukan.memang sifat manusia itu sering lalai dan lupa..maka manusia dibekalkan dgn ‘Ayat-Ayat Allah’ agar dijadikan panduan dlm kehidupan seharian.Namun kita hairan,betapa ramai manusia yg mengaku dirinya Islam dan mengatakan bahawa A-Quran dan As-Sunnah sebagai penduan,sedikit pula yg benar2 melaksanakan apa yg terkandung dlm Al-Kitab mahupun As-Sunnah…….-wallahu'alam-

Reply
avatar
Ummu Mukhlis
admin
9:15 pm ×

salam ya akhi..
memang benar..

sedikit terkilan dgn sikap sesetengah yg masih menambil lewa hal2 sebegini..

bagi yg membantu...terima kasih! semoga usaha n amal kita diterima Allah..

buat yg ingin menonjol...: ini bukan pertunjukan pentas!

p/s: nak gambar2 yg lain...huhu. email ya!

Reply
avatar