Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan Yang Maha Kaya. Dengan Rahmat-Nya, hajatku untuk terus bersama dengan guru tercinta dalam kuliah-kuliahnya termakbul. Kupasan kitab “Pintu-pintu Pelepasan” (Jilid 1), yang merupakan terjemahan daripada kitab “Abwabul-Faraj” karangan ulama’ tersohor al-Muhaddith al-‘Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, bersama Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki dapat juga aku hadiri.
Beliau mengupas tentang bab “Doa”. Doa adalah merupakan satu elemen penting dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Doa juga merupakan antara pintu pelepasan yang terbesar, guna buat melepaskan manusia daripada kesulitan serta menyampaikan kepada hajat manusia yang sentiasa berhajat. Malah, doa itu juga adalah merupakan satu ‘ibadah kerana dalam berdoa itulah manusia menunjukkan bahawa ia adalah hamba Allah yang sentiasa memerlukan kepada bantuan dan pertolongan-Nya.
Kita sedia maklumi bahawa nasib setiap manusia itu telah tercatat sejak azali lagi. Justeru, mungkin ada yang mempersoalkan, untuk apa kita berdoa sedangkan nasib kita sudah ditentukan? Nah, dalam hal inilah sebenarnya, andai kita melihat dalam perspektif kita sebagai seorang hamba, bahawa doa itu merupakan ‘ibadah yang menunjukkan dan membuktikan kehambaan kita. Imam Ahmad Al-Rifa’i menyatakan bahawa tujuan berdoa adalah untuk menzahirkan kehendak dan keperluan kita daripada Allah, yakni untuk menzahirkan kefaqiran kita di hadapan Allah.
Apabila kita berpegang kepada aqidah yang benar dan murni, maka kita akan memahami bahawa sebagai manusia kita ‘faqir’ (miskin, tidak punya apa-apa, sentiasa memerlukan sesuatu) sedangkan Allah itu al-Ghaniy (Maha Kaya, Memiliki segala-galanya). Atas sebab kefaqiran kita itu, maka kita memohon daripada Allah Al-Ghaniy. Allah Memilik dan Menguasai segala-galanya yang kita perlukan dan kita hajati, maka memang wajarlah kita berdoa dan memohon kepada-Nya. Sebagai hamba kita lemah dan faqir, kita sentiasa memerlukan kepada Allah Al-Ghaniy. Maha Kayanya Allah itu, dengan permohonan daripada seluruh manusia sekalipun, tidak akan mengurangkan walau sedikit daripada Kekayaan dan Hak Milik Allah. Justeru, selaku hamba Allah memang sewajarnya lah kita membanyakkan berdoa, kerana setiap detik waktu dalam kehidupan kita ini pasti kita berhajatkan kepada sesuatu.
Terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan kepada keutamaan dan faedah daripada berdoa. Antaranya firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagi kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60)
Begitu juga bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan berita gembira kepada seorang lelaki yang telah diilhamkan dengan suatu doa bahawa dia tergolong dari kalangan insan yang dirahmati Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa di antara kalian yang dibukakan baginya pintu untuk berdoa, nescaya dibukakan baginya pintu-pintu rahmat. Tidaklah sesuatu yang diminta daripada Allah S.W.T. yang lebih disukai-Nya daripada memohon dikurniakan keafiatan.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim)
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘afiat’ dalam hadith tersebut bukanlah merujuk kepada kesihatan fizikal semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah kesihatan ‘hati’. Penting bagi manusia untuk turut berdoa agar dikurniakan hati yang sihat. Orang yang mempunyai hati yang sihat akan terpancar daripadanya sifat-sifat mahmudah, sedangkan orang yang mempunyai hati yang sedang ‘sakit’ akan terpancar daripadanya sifat-sifat mazmumah. Hal ini demikian kerana apa yang dilakukan oleh jasad itu asalnya daripada hati.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu lemah (malas) dalam berdoa, kerana tidak seorang yang akan mendapat kecelakaan apabila dia berdoa.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan al-Hakim)
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Mahukah aku tunjukkan kalian sesuatu yang dapat menyelamatkan kalian dari musuh kalian dan melimpahkan rezeki kalian? Berdoa kepada Allah pada malam dan siang hari, kerana doa adalah senjata orang beriman.” (Riwayat Abu Ya’la)
Justeru, tidak ada alasan lagi bagi kita untuk tidak berdoa. Hidup ini pasti indah seandainya kita menyerahkan segala pengharapan dan pergantungan kepada Allah S.W.T. Malah, dalam beberapa hadith yang lain Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khabar gembira kepada kita semua betapa natijah daripada berdoa itu pasti positif.
Sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha Pemurah. Dia malu apabila seseorang mengangkat kedua belah tangan kepada-Nya lalu Dia menolaknya dalam keadaan hampa dan kecewa.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, ia adalah hadith hasan menurut Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam Sohihnya serta al-Hakim berkata: Sohih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “‘Tidak seorang Muslim pun memohon suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan pemutusan tali persaudaraan, melainkan Allah memberikan kepadanya salah satu di antara tiga; sama ada segera dikabulkan doanya, ditabungkan doanya itu untuk dirinya di akhirat, atau pun dihindarkan dari kejahatan yang serupa.’ Lalu para sahabat berkata, ‘Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa.’ Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sesungguhnya, Allah mempunyai lebih banyak dari apa yang kalian minta.’” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la dan al-Hakim. Beliau berkata: Isnadnya adalah sohih.)
Berdoalah kita kepada Allah S.W.T. Sebagai al-faqir, sewajarnya kita tunduk dan menyerahkan seluruh pengharapan kita kepada Allah Al-Ghaniy. Yakinlah bahawa janji Allah itu janji yang pasti, dan bahawa setiap doa kita itu pasti akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T., sama ada di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah memberkati dan merahmati Syeikh Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani serta anak muridnya dan guru kita, Syeikh Muhammad bin Kamaluddin al-Maliki.
Wallahu’alam.
2 comments
Click here for commentsAssalamua'laikum bg naim. Kamek tertarik dengan entri tok. Sesuai dengan suasana sekarang, musim exam. Bang Naim, lam artikel tok kitak memetik penjelasan
ReplySyeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki yakni penting bagi manusia untuk turut berdoa agar dikurniakan hati yang sihat. Orang yang mempunyai hati yang sihat akan terpancar daripadanya sifat-sifat mahmudah, sedangkan orang yang mempunyai hati yang sedang ‘sakit’ akan terpancar daripadanya sifat-sifat mazmumah. Hal ini demikian kerana apa yang dilakukan oleh jasad itu asalnya daripada hati.
Kamek pernah nenga urang madah, mun nak kenal Tuhan, kenali dirik, mun nak kenal dirik, kenali hati. Macam ney nak kenal dirik melalui rasa hati?
Wa'alaikumussalam,
ReplySaya bukan orang yang paling layak untuk menjawab soalan "anonymous" di atas - entah siapa entah si "anonymous" ni. tetapi, setakat yang saya faham dan tahu, banyakkanlah berzikir dan berdoa untuk membersihkan hati. kerana hati yang bersih akan mudah untuk menerima pancaran cahaya hidayah Allah. hati yang bersinar suci akan dapat membezakan dengan jelas benar antara haq dan batil.