Raya semakin hampir, atau Ramadhan sudah nak berakhir?

Segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan bermacam Rahmat dan kurniaan kepada diriku, dan kepada kita semua. Tiada daya dan upaya pada diri manusia, melainkan segalanya merupakan kurniaan daripada Allah semata-mata.



Hari ini (pada ketika artikel ini ditulis) tanggal 24 Ramadhan 1429H. Tinggal lagi seminggu sebelum bulan Syawal kunjung tiba, dan hari Raya ‘Aidulfitr bakal disambut oleh seluruh umat Islam. Namun, saya ingin menarik perhatian para pembaca sekalian tentang persepsi; bagaimanakah kita melihat waktu sekarang ini. Adakah pada ketika ini, kita melihat bahawa Hari Raya ‘Aidulfitr sudah semakin hampir, atau adakah kita melihat bahawa ini adalah saat-saat perginya bulan Ramadhan? Melihat daripada persepsi yang berbeza, sudah tentu membawa sikap yang berbeza. Seandainya kita melihat bahawa Hari Raya sudah semakin hampir, maka pastinya kita akan merasa semakin gembira daripada sehari ke sehari, dan membuat persiapan dengan penuh galak bagi menyambut hari lebaran tersebut. Namun, seandainya kita melihat bahawa bulan Ramadhan bakal berakhir dan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita berada dalam bulan Ramadhan, pasti kita akan berasa semakin sedih kerana akan berpisah dengan bulan yang penuh dengan barakah ini lalu pasti kita akan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya saki baki hari yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin ‘ibadah.

Bukanlah maksud saya ingin menyalahkan pihak yang berhasrat membuat persiapan dan meraikan Hari Raya ‘Aidulfitr, kerana Hari Raya ‘Aidulfitr sememangnya adalah hari keraian yang perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Namun, persoalannya adakah kita meletakkan keutamaan dari segi aktiviti-aktiviti kita dan masa yang kita habiskan untuk aktiviti-aktiviti tersebut dengan betul? Adakah kita benar-benar memahami falsafah di sebalik sambutan Hari Raya ‘Aidulfitr? Mengapakah pada Hari Raya ‘Aidulfitr kita dibenarkan untuk bergembira, malah digalakkan untuk meraikannya dengan penuh istimewa?

Untuk memahami erti sebenar perayaan Hari Raya ‘Aidulfitr, maka kita harus memahami erti sebenar di sebalik ‘ibadah puasa di bulan Ramadhan. Hal ini telahpun saya sentuh dalam penulisan terdahulu (boleh dicari dalam blog ini). Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya penuh dengan Rahmat Allah. Justeru, bulan Ramadhan ini adalah kesempatan istimewa yang disediakan oleh Allah S.W.T. untuk kita membersihkan jiwa kita daripada segala dosa dan noda yang telah dilakukan lantas memperkasa kerohanian kita. Terdapat begitu banyak dalil yang menyatakan tentang kelebihan ber‘ibadah dalam bulan puasa dan bagaimana orang yang benar-benar menjaga kualiti ‘ibadahnya pasti akan dapat mencapai taraf orang-orang yang bertaqwa.

Dalam bulan Ramadhan, syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Hal ini menggambarkan kepada kita betapa besarnya Rahmat Allah S.W.T. di bulan yang penuh istimewa ini sehingga dalam bulan Ramadhan, menjadi lebih mudah untuk kita mengekang nafsu, menjauhi maksiat dan menjadi semakin ringan bagi kita untuk melaksanakan ‘ibadah yang secara lazimnya dalam bulan-bulan yang lain begitu berat kita rasakan untuk dilaksanakan. Tujuannya, agar akhirnya di penghujung ‘madrasah’ Ramadhan itu kita akan mampu bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa. Ibnu Mas’ud r.a. menterjemahkan makna ‘bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa’ itu dengan maksud mentaati Allah dan tidak menderhaka kepda-Nya, mengingati-Nya dan tidak lupa kepada-Nya, mensyukuri-Nya dan tidak kufur kepada-Nya.

Kemungkinan, sepanjang setahun sebelum kita memasuki bulan Ramadhan ini, kita seringkali lupa kepada-Nya. Apabila kita lupa kepada-Nya, maka pasti kita juga tidak sentiasa merasa berada di bawah pengawasan-Nya. Apabila perasaan itu tidak hadir, maka sudah tentu kita cenderung untuk melakukan maksiat dan dosa. Bagi saya sendiri, sudah terlalu kerap saya melakukan kesalahan kepada-Nya, lantaran lalainya hati daripada mengingati-Nya. Nah, dalam bulan Ramadhan ini kita diberikan dengan kesempatan untuk melatih diri kita sehingga kita mampu mencapai tahap ketaqwaan dengan sebenar-benar taqwa seperti yang disebutkan di atas tadi. Maka, bukankah ingatan, pengiktirafan dan pembuktian melalui tindakan kita kepada Allah sebagai Tuhan Yang Esa, yang daripada-Nya datang segala daya dan upaya yang ada pada kita, melambangkan keadaan asal kita ketika di alam roh dahulu; dan keadaan suci pada saat ketika kita dilahirkan ke dunia ini. Itulah keadaan fitrah kita: suci dan bersih daripada dosa dan noda yang kita kumpul di dunia ini.

Maka, Hari Raya ‘Aidulfitr itu sebenarnya adalah hari kita meraikan satu kejayaan, yakni kejayaan kita menundukkan nafsu kita, membersihkan diri daripada dosa dan noda sehingga kita seolah-olah kembali kepada keadaan fitrah yang suci dan bersih. Apabila kita telah berjaya menewaskan nafsu yang selama ini sering kita turuti dan sering kita tunduk kepadanya, dan apabila telah berjaya kita membersihkan diri kita, maka memang wajarlah kita bergembira di Hari Raya ‘Aidulfitr. Muwarriq al-‘Ijili r.a. berkata kepada sebahagian saudaranya di tempat solat pada hari raya: “Pada hari ini, suatu kaum telah kembali kepada keadaan sepertimana sewaktu mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka (bersih dari dosa).”

Walaupun bukanlah menjadi hasrat saya untuk melarang sesiapa sahaja daripada bergembira dalam menyambut Hari Raya ‘Aidulfitr yang bakal menjelang ini, namun adalah perlu untuk kita merenung kembali dalam diri kita sama ada kita benar-benar layak atau tidak untuk ‘beraya sakan’? Seharusnya kita patut menyimpan, walaupun sedikit, rasa resah dan gelisah kerana ada kemungkinan ‘ibadah puasa kita itu sebenarnya sia-sia, dan ada kemungkin ‘ibadah yang kita lakukan itu tidak diterima pun oleh Allah S.W.T. dek kerana kelemahan dan kelalaian kita. Renungi, bagaimana sebahagian daripada Salafussoleh kelihatan berdukacita pada Hari Raya lalu dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya ini adalah hari kegembiraan dan bersuka-ria.” Maka jawabnya, “Benar katamu, tetapi aku hanyalah seorang hamba yang diperintahkan oleh Tuhanku untuk mengerjakan ‘ibadah kepada-Nya dan aku tidak tahu apakah ‘ibadahku diterima atau ditolak.”

Apabila kita telah memahami hal yang dinyatakan di atas, maka sudah tentu kita perlu bersikap dengan sikap yang betul; lihat waktu ini sebagai hari-hari terakhir Ramadhan, dan bukan sekadar kedatangan Hari Raya yang semakin hampir. Adalah merugikan seandainya hari-hari terakhir ini kita sibukkan dengan persiapan untuk ‘beraya sakan’ sehingga kita tidak lagi berkesempatan untuk melaksanakan ‘ibadah, sepertimana galaknya kita ber‘ibadah pada awal Ramadhan dahulu. Seharusnya, dengan penuh rasa keinsafan dan kerisauan bahawa kita masih lagi belum mencapai taraf ketaqwaan sepertimana yang dikehendaki melalui ‘ibadah di bulan Ramadhan ini, maka kita perlu menggiatkan serta membanyakkan lagi ‘ibadah kita di akhir Ramadhan ini. Apatah lagi, di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan inilah letaknya Lailatul-Qadr, malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan!

Kita tidak mengetahui adakah kita masih berkesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan, kerana ajal maut terletak dalam kekuasaan Tuhan. Bila-bila masa sahaja, dengan apa cara sekalipun, kita boleh dicabut nyawa. Justeru, marilah kita menghabiskan saki baki hari dalam bulan Ramadhan pada tahun ini dengan membanyakkan solat sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan berselawat, serta berusaha dengan segala kemampuan kita (dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada seorang ulama’ ‘amilin atau guru yang mursyid) untuk mencapai tahap ketaqwaan. Orang yang bertaqwa adalah orang yang sentiasa, dengan penuh sedar, merasakan bahawa segala aktiviti zahir dan batinnya berada di bawah pengawasan dan pemantauan daripada Allah Yang Maha Agung.

Nah, bukankah kesedaran itu yang dinamakan ‘Ihsan’? Sepertimana kita sedia maklum dalam hadith Jibril yang masyhur, bahawa ihsan itu adalah “engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, ataupun dengan penuh kesedaran bahawa Allah sedang melihat engkau”. Dalam hadith yang sama itu, diajarkan kepada kita bahawa agama itu terbina atas rukun Islam, rukun Iman dan rukun Ihsan. Maka, marilah kita menghabiskan saki baki Ramadhan ini untuk kita melengkapkan rukun-rukun asas agama tersebut.

Semoga Allah mengampuni segala kelemahan dan kesilapan dalam penulisan ini. Mohon ditegur atas segala kesilapan dan kekurangan yang ada. Artikel ini tidak lain hanyalah merupakan peringatan buat diri saya sendiri, dan dikongsikan bersama dengan hasrat mudah-mudahan ada manfaatnya buat orang lain.

Allah jua Yang Maha Mengetahui!
Previous
Next Post »

3 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
6:16 pm ×

wit te name of ALLA the most gracious,the most merciful.

"ulama' silam bergembira dengan kehadiran ramadhan dan menangisi pemergian bulan yg penuh keberkatan ini,tetapi fenomena kehidupan masyarakat kita pada hari ini adalah sebaliknya,sama-sama kita bermusabah kembali"

Reply
avatar
Anonymous
admin
5:33 pm ×

alhamdulillah kita semua diberi kesempatan utk menikmati nikmat yg indah ini

Reply
avatar
Anonymous
admin
5:36 pm ×

alhamdulillah..kita semua masih diberikan kesempatan untuk menikmati nikmat yg indah ini.....

Reply
avatar