MEDIA DAN BUDAYA POPULAR PERLU DIKAWAL

Isu keterlibatan mahasiswa universiti dengan seks luar nikah serta salah laku moral seperti yang dibincangkan dalam rancangan Keluarga Di 9 (KD9) baru-baru ini seharusnya mengundang kerisauan di kalangan masyarakat dan juga para pemimpin di negara ini. Soal keruntuhan akhlak golongan remaja dan mahasiswa ini sudah sejak sekian lama dibincangkan, namun masalahnya tetap tidak selesai. Perkara ini perlu dipandang secara serius kerana apabila generasi remaja dan mahasiswa sudah rosak akhlaknya, dikhuatiri negara akan mengalami kerugian sumber manusia dan seterusnya mengganggu-gugat kestabilan dalam negara.

Apa yang lebih menyedihkan dan merisaukan adalah promosi budaya-budaya Barat yang wujud dalam budaya popular di negara ini, sehingga seolah-olah mempengaruhi generasi muda negara ini untuk melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi popular Anuar Zain berkenaan kesudiannya untuk membenarkan peminat-peminat wanitanya berkelakuan tidak senonoh (mencium dan memeluknya) ketika majlis ‘A Nite With Anuar Zain’ kelak menggambarkan sikap yang tidak patut ada pada diri seorang artis yang merupakan public figure. Amat menyedihkan apabila mengetahui artis di negara ini sendiri sanggup mengenepikan hukum agama dan budaya bangsa hanya semata-mata atas tiket ‘keseronokan’. Hal ini menggambarkan kepada kita betapa soal nilai dan akhlak seolah-olah tidak lagi menjadi keutamaan.

Pihak berkuasa, seperti Kementerian Penerangan contohnya, harus mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang dibuat oleh penyanyi tersebut. Jika sebelum ini perbuatan Faizal Tahir di atas pentas dianggap sebagai tidak sesuai dan mendapat denda yang sewajarnya, maka hasrat Anuar Zain untuk melakukan sesuatu yang lebih melampau itu pun harus diambil tindakan yang sewajarnya. Jika perlu, majlis ‘A Nite With Anuar Zain’ itu hendaklah dibatalkan sahaja. Tambahan lagi apabila generasi muda di negara ini sudah cukup banyak dihidangkan dengan rancangan dan aktiviti hiburan, sehingga mengakibatkan generasi muda hilang idealisme perjuangan dan hilang kepedulian sosialnya.

Tambah membingungkan dan merisaukan adalah kelahiran satu lagi filem yang berpotensi untuk merosakkan pegangan agama generasi muda. Filem ‘Akhirat’ terbitan Sri Saheb Production Sdn. Bhd. merupakan satu lagi filem yang menuruti filem-filem ‘tanpa nilai’ yang sebelumnya seperti Sepet, Gubra dan Anak Halal. Penerbitan filem ‘Akhirat’ ternyata bercanggah dengan asas nilai dan budaya setempat, khususnya nilai-nilai Islam. Malah, apabila produsernya S. Baldev Singh menyatakan bahawa filem ‘Akhirat’ ditayangkan bersempena dengan Maulidur Rasul, hal itu jelas merupakan satu penghinaan kepada agama Islam. Jika pihak kerajaan sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap klip video ‘Fitna’ yang menghina Islam, maka pihak berkuasa harus juga mengambil pendirian yang tegas terhadap filem ‘Akhirat’ yang turut menghina agama Islam. Filem tersebut perlu diharamkan dan pihak kerajaan perlu memastikan filem-filem seperti ini tidak akan dihasilkan lagi.

Pihak media, para penghibur dan pihak berwajib haruslah lebih bertanggungjawab khususnya dalam mencorak budaya popular dan menghadirkan hiburan kepada masyarakat. Soal nilai dan akhlak tidaklah boleh dipisahkan walaupun daripada seni kerana seni adalah sebahagian daripada budaya. Oleh sebab itu, soal pemerkasaan budaya perlu diberikan perhatian yang serius agar kita tidak membawa budaya-budaya Barat yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai agama dan bangsa setempat. Penguatkuasaan yang lebih serius adalah perlu. Jika pada awal tahun 90-an dahulu artis-artis tidak dibenarkan untuk berambut panjang sekalipun, maka kini sikap artis dan penghibur yang tidak bermoral juga perlu diberikan perhatian yang serius.

Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
3:09 am ×

Bro.
ni satu lagi peel artis kita.

http://www.blalang.com/pictures/?p=179

what a shock!!pkpim buatla statment bro, i'll support u

Reply
avatar
Anonymous
admin
3:01 am ×

Salam,

Saya memang menyokong usaha saudara dalam perkara ini. Rancangan2 seperti ini harus dieliminate atau dalam bahasa kasarnya, dihapuskan demi membangunkan modal insan

Saya ingin berkongsi satu cerita dengan saudara

Semasa saya di Kolej tahun 2003, pelajar2 disana ada menganjurkan Friendship Day yang sama dengan rancangan Anuar Zain....dimana hari tersebut pelajar disuruh berkawan dan berjabat tangan tanpa mengira lelaki mahupun wanita

Kami pelajar tingkatan enam diajak untuk mengambil bahagian juga oleh junior2 form 5.....

Semua rakan2 saya participate kecuali saya.......

Sehingga saya pernah menegur rakan saya yang berdua2an di belakang semak bersama dengan pelajar bukan Islam

Mereka berpegang tangan

Saya pun menegur "Saudara N***, sik boleh berdua2an"

Dia pun menjawab saya "Ayi, friendship day bah"

Saya tidak mampu untuk berbuat apa2 dengan rakan2 saya yang majoritinya berideologikan Barat

Alhamdulillah, 2004, pengetua baru, Datin Halimah telah mengharamkan perayaan ini dan saya bersyukur kerana perayaan maksiat ini telah dihentikan...

Jadi tidak mustahil cadangan saudara ini, akan disokong dan rancangan2 maksiat ini akan dihentikan

Reply
avatar