Petang tadi (3 Januari 2008) saya bersama-sama orang rakan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membincangkan beberapa isu yang sedang hangat dibincangkan di dalam media massa berhubung pinjaman PTPTN. Turut bersama dalam rombongan PKPIM adalah saudara Presiden, Timbalan Presiden, Exco GEMPA dan Exco Pendidikan & Penyelidikan. Pada pertemuan itu kami telah menyerahkan satu memorandum yang mengandungi beberapa cadangan daripada pihak PKPIM untuk menambahbaik kaedah pinjaman dan pembayaran semula wang pinjaman PTPTN.
Pertemuan tersebut bolehlah disifatkan sebagai pertemuan yang sangat positif. Pihak PKPIM telah menyatakan hasrat sebilangan besar masyarakat pelajar dan umat Islam yang ingin melihat supaya sistem pinjaman PTPTN lebih memudahkan pelajar dan lebih syariah-compliant. Berita baik yang diterima adalah pihak PTPTN sendiri sememangnya sedang berusaha ke arah memastikan PTPTN itu bersifat lebih syariah-compliant. Ketua Eksekutif PTPTN sendiri telah menyatakan komitmen bersungguh-sungguh PTPTN ke arah menjayakan hasrat tersebut.
Saya merasakan bahawa di peringkat awam, kita harus bersedia memberikan ruang kepada PTPTN untuk melaksanakan perubahan-perubahan tersebut kerana perubahan memakan masa yang panjang. Itu realiti yang kita harus akui. Dalam hal ini, adalah tidak wajar untuk kita bersifat emosional dan ekstrem dalam mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan.
Pihak PTPTN juga telah menjelaskan kepada kami kaedah kiraan jumlah pembayaran balik wang PTPTN secara jelas; di mana jumlah kos pentadbiran (yang sebelum ini sering menjadi polemik) telah dinyatakan secara jelas. Justeru, saya secara peribadi berpandangan bahawa kita perlu menanam sifat budaya ilmu, yakni untuk bertanya dan menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan. PKPIM dan pihak PTPTN sama-sama bersetuju bahawa kebanyakan respon-respon pembaca dalam akhbar berkenaan isu PTPTN ini berbaur emosi.
Apa yang dapat saya simpulkan adalah PTPTN sedang menjalankan peranan dan tanggungjawab besar dalam memastikan para pelajar dapat melanjutkan pengajian di peringkat varsiti. Walapun tidak dinafikan bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem PTPTN, kelemahan-kelemahan itu sedang cuba diatas dan pastinya hal itu memerlukan masa dan tidak mungkin boleh dilakukan dalam masa semalaman.
Firman Allah S.W.T. (yang lebih kurang maksudnya):
“...Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam hal dosa dan aniaya...” (Al-Maaidah: 2)
Gombak, 12:53am