PERTUBUHAN-PERTUBUHAN KEBANGSAAN BERSIDANG

Tanggal 15 – 16 Syawal 1428H bersamaan 27 – 28 Oktober 2007, lebih daripada 80 pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berhimpun di Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan untuk menghadiri Persidangan Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia 2007. Dengan tema “Menyemak Realiti 50 Tahun Kemerdekaan Negara”, program tersebut bertujuan untuk menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan Islam seluruh negara bagi membincang, membuat resolusi dan menjayakan pelan bertindak bagi mengatasi krisis yang sedang melanda umat Islam di negara ini.

Sememangnya NGO-NGO Islam di seluruh negara berasa terpanggil untuk bersama menganjurkan dan menjayakan persidangan tersebut dengan menyedari realiti semasa umat Islam. Walaupun setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, namun beberapa krisis yang melanda umat menuntut kita semua untuk melakukan muhasabah secara serius dan menggali punca-punca permasalahan kerana krisis yang sedang melanda seolah-seolah tidak mencerminkan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka. Hal-hal seperti faham Islam liberal yang semakin menular, gugatan kepada institusi dan syariat Islam, penyelewengan dalam pengurusan ekonomi umat, keruntuhan akhlak yang tambah meruncing, kegagalan dalam sistem pendidikan, kecelaruan identiti di kalangan generasi muda, serta kelesuan ulama’ dan generasi muda Islam menampakkan kepada kita bahawa kita masih tidak mampu untuk mencorak dan membentuk umat dengan acuan kita sendiri. Malah, pembentukan minda dan budaya umat masih banyak bersandar kepada unsur-unsur daripada Barat.

Justeru, persidangan ini bertujuan untuk menghimpunkan pandangan dan pengalaman daripada NGO-NGO Islam yang pelbagai untuk merangka strategi terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi umat pada ketika ini. Dari segi perundangan, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada sudah memadai untuk kita mempraktikkan Islam dengan seluas-luasnya. Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari menyatakan bahawa apa yang perlu adalah kesungguhan politik (political will) bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan itu dapat diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih praktikal secara menyeluruh dan meluas. Sayangnya, antara masalah yang dihadapi oleh umat Islam di negara ini pada hari ini adalah kegagalan pemimpin beragama Islam untuk memanfaatkan segenap ruang yang ada dalam pentadbiran kerajaan dan dalam undang-undang untuk memberikan manfaat kepada umat Islam.

Atas sebab itu, pemerkasaan kedua-dua tonggak umat seperti yang dinukilkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah amat perlu. Peranan golongan pemimpin (umara’) dan ilmuan (ulama’) perlu diperkasakan dan dijayakan seiringan bagi membina kekuatan umat. Dalam soal mengangkat barisan umara’ yang berkualiti, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil memetik kata-kata Imam Ghazali yang mengatakan bahawa pemimpin itu adalah “cerminan daripada hakikat batin dan kualiti umat”. Justeru, apabila umara’ yang terlantik itu adalah yang korup atau buruk akhlaknya, maka itulah yang selayaknya bagi masyarakat dan umat tersebut kerana kualiti umat pada ketika itu juga begitu. Maka, dalam soal ini pastinya kita akan terheret kepada formula da’wah sebagai proses transformasi dan reformasi umat sebagai penyelesaian kepada krisis kepimpinan umat.

Peranan umara’ itu pula perlulah diimbangi dengan peranan ulama’ yang akan memberikan nasihat dan pandangan pakarnya, sesuai dengan kapasiti intelektual dan ilmu yang dimiliki. Ciri penting yang perlu ada pada seorang ulama’ adalah takut kepada Allah, dan hanya kepada Allah. Apabila ketakutan hanya kepada Allah semata-mata, maka ulama’ itu seharusnya tidak akan gentar untuk menyatakan kebenaran dan menegur kesilapan para umara’. Peranan itu sangat penting untuk dimainkan oleh para ulama’ kerana mereka adalah golongan yang paling layak untuk berperanan seperti itu. Namun, apabila ulama’ sudah menjadi takut kepada selain Allah, maka mana mungkin ulama’ dapat berperanan dengan bebas untuk memberikan teguran dan nasihat yang baik. Fenomena takut dibuang kerja, takut dipotong gaji, takut dipenjarakan dan sebagainya menggambarkan bahawa ketakutan itu bukan lagi kepada Allah semata-mata. Apa tidaknya, soal rezeki dan nasib itu bukankah daripada Allah jua? Dan bukankah juga Allah telah menjanjikan akan membantu orang-orang yang membantu agama-Nya? Kehidupan para ulama’ yang terlalu bergantung kepada umara’ menyebabkan mereka jadi terikat dan mewujudkan kebimbangan, kerisauan dan ketakutan yang disebutkan tadi. Kebergantungan (dependence) itu menyebabkan hilangnya kebebasan (independence).

Soal pemerkasaan generasi pelajar juga perlu diberikan perhatian yang sangat serius kerana golongan inilah yang akan mewarisi perjuangan umat. Kelesuan para pelajar hari ini dari aspek idealisme, aktivisme dan intelektualisme membayangkan kegagalan sistem pendidikan umat serta memberikan petanda yang merisaukan bagi masa depan umat. Sebagai golongan yang bakal mengambil alih kepimpinan umat pada masa akan datang, sikap apati dan ketidakprihatinan sosial kebanyakan pelajar terhadap isu-isu semasa umat memberikan petanda betapa tipisnya kualiti kepimpinan barisan pelapis. Fenomena ini berlaku antara lain disebabkan kongkongan dan hambatan-hambatan yang dikenakan kepada pelajar. Di samping kekangan peraturan-peraturan seperti apa yang terdapat dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), para pelajar pada hari ini juga ditanam dengan fahaman bahawa peranan mereka hanya semata-mata untuk menghadiri kuliah dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan. Hasilnya, lahirlah generasi pelajar yang ibarat robot; dilatih hanya dengan pengetahuan yang diperlukan oleh industri yang tertentu sahaja.

Soal kehakisan kualiti generasi pelajar ini tentu sahaja berkait rapat dengan peranan ibu bapa dan ahli masyarakat dalam membina generasi. Ibu bapa dan ahli masyarakat perlu memandang serius peranan besar mereka dalam melahirkan generasi yang berkualiti; tugas yang sebelum ini mungkin dianggap hanya milik para guru dan pihak pemerintah. Kefahaman tentang tanggungjawab ibubapa ini perlu disebarkan kepada semua orang, khususnya generasi muda. Hal ini demikian kerana apabila kita merujuk kepada buku tulis Abdullah Nasih Ulwan, “Pendidikan Anak-anak Dalam Islam”, kita akan memahami bahawa proses pendidikan anak-anak itu sebenarnya bermula daripada semenjak sebelum pernikahan ibubapa lagi. Dalam erti kata lain, kualiti akhlak dan peribadi ibubapa itu sendiri akan menjadi faktor penting dalam pembentukan anak yang berkualiti. Justeru, statistik daripada Hospital Kuala Lumpur sahaja yang menunjukkan bahawa setiap tahun terdapat 400 orang bayi yang lahir tanpa bapa, perlu dipandang serius.

Justeru, realiti semasa umat Islam di negara ini menuntut para pejuang dan aktivis pertubuhan-pertubuhan Islam agar bersatu-padu dan lebih bersungguh-sungguh dalam memastikan proses transformasi dan reformasi umat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada tidak seharusnya leka dan asyik dalam fatamorgana zon selesa (comfort zone) kerana biarpun terdapat banyak pertubuhan Islam dan banyak aktiviti yang dilakukan, namun tidak ada jaminan bahawa kebenaran Islam itu akan dapat ditegakkan di negara ini. Oleh sebab itu, antara perkara terpenting yang perlu dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam pada masa kini adalah untuk memperkasa dimensi dalaman dan luaran gerakan. Dari aspek dalaman, pembinaan hubungan yang erat dengan Allah S.W.T. adalah syarat terpenting yang perlu diberikan keutamaan tertinggi. Pembentukan hati yang suci, jiwa besar serta fikrah yang kaya adalah antara persiapan-persiapan dalaman yang akan dapat menjamin kesatuan umat Islam. Apa yang paling penting bukanlah untuk bersatu dalam menjayakan program, aktiviti atau gerak kerja bersama. Tetapi yang terpenting adalah kemampuan kita untuk bermujahadah dalam misi bersama yang mutlak yakni pengabdian kepada Allah S.W.T. dalam seluruh aspek.

Firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)


Gombak, 12:10pm


Semasa persidangan tersebut, ada seorang peserta yang telah berbicara dengan tidak beradab ketika sesi soal jawab. Pemuda tersebut telah ‘menyerang’ Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari dengan mengatakan bahawa Prof. mengalami masalah saraf otak yang tidak betul kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak patut dan mengelirukan. Walaupun pemuda tersebut mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Prof., adalah tidak selayaknya untuk pemuda tersebut menghina Prof. dengan kata-kata yang sedemikian biadapnya.

Mungkin pemuda tersebut tidak sedar, siapa dia apabila berhadapan dengan Prof. itu. Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari adalah ahli akademik tersohor dalam bidang undang-undang, antara orang yang benar-benar memahami Perlembagaan Persekutuan di Malaysia. Malah, Prof. Dr. Abdul Aziz mungkin adalah orang yang paling layak untuk berbicara tentang Perlembagaan Persekutuan di negara ini. Apa yang pasti, sikap pemuda ini menggambarkan ketidakmampuannya untuk menggapai idea-idea intelek, strategik dan penuh hikmah yang berlatarbelakangkan semangat da’wah dan islah yang telah disampaikan oleh Prof. Dr. Abdul Aziz Bin Bari.
Previous
Next Post »

4 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
4:15 pm ×

apa yang diperkatakan tu mmg betuL. keLesuan uLama' & kemerosotan pemikiran beLia daLam isu semasa. uLama' patut menyandarkan ketakutan hanya pada Allah tetapi sebagai individu yang hidup daLam masyarakat, mempunyai keluarga & tanggungan, bukan senang. anggapLah diri kita sendiri berada daLam keadaan mereka, tak mudah.

memang senang kita mengutarakan teori, mencari salah. tapi method untuk membetulkan kesalahan tu sebenarnya point utama yang perlu. step by step. bukan secara global. sekarangni dalam karangan budak2 sekolah, rata2 semua membincangkan soal masalah sosial. cara mengatasi juga tidak spesifik. contoh: ibu bapa perlu beri didikan agama pada anak. bagaimana? dgn cara apa? di mana? macam saya kata tadi, step by step..

pagi tadi semasa sedang menguruskan majlis ihtifaL TASKI ABIM, terdapat satu program belia (tak pasti dianjurkan oleh siapa) yang menggabungkan setiap daerah di sabah. kebetulan majlis mereka baru sahaja berakhir & tiba saat bersalam-salaman tanda perpisahan. ketika lagu brothers berkumandang, mereka semua mula bersalaman. saya tekejut pabila lelaki dan perempuan bersalam dengan selamba. saya jerit kepada mereka supaya lelaki & perempuan tidak bersalaman. dalam situasi seperti ini, org2 kita hanya berkata "biasalah tu". apakah ini?? adakah kerana semua yang mereka nampak selama ni hanya teori?? d mana kesedaran??

sama2 la kita berusaha ke arah itu. wallahua'lam.

Reply
avatar
Naimz
admin
4:40 pm ×

Terima kasih Nadhirah atas komen. Memang benar, kita perlu memberikan garis panduan dan mendidik masyarakat kita tentang bagaimana caranya untuk mengatasi setiap kelemahan dan kekurangan mereka itu. Adapun mengapa tulisan ini dibuat dalam bentuk yang agak global dan tidak memberikan cara-cara yang spesifik adalah kerana soal pendekatan dan kaedah adalah soal yang berubah-ubah mengikut waqi' (keadaan setempat). Justeru, biarlah fahaman asas tentang permasalahan serta kerangka penyelesaian disampaikan secara umum supaya boleh digunapakai di banyak tempat, dalam banyak keadaan. Bukankah Al-Qur'an juga begitu? Al-Qur'an diturunkan dalam bentuk yang umum, menyampaikan kepada kita prinsip-prinsip asas yang tidak berubah. Soal pelaksanaan dan praktikal terpulang kepada suasana dan keadaan.

Memang benar, sebagai individu yang hidup dalam masyarakat memang kita semua akan berhadapan dengan cabaran-cabaran yang pelbagai. Dalam surah At-Taubah ayat ke-24 Allah memberikan kepada kita peringatan dengan perkara-perkara yang lazimnya akan menjadi cabaran dalam kehidupan seperti keluarga dan harta. Apabila saya mengatakan ulama' (dan juga umara', dan kita semua) perlu menyandarkan ketakutan hanya kepada Allah, apa yang saya maksudkan itu adalah ketakutan yang merupakan manifestasi daripada nilai ketaqwaan yang terbina dalam diri. Justeru, yang penting adalah pembinaan ketaqwaan dalam diri setiap individu. Insan yang sudah mencapai tahap taqwa, bukankah Allah menjanjikan kemudahan dan rezeki baginya?

Saya kira tugas untuk menggariskan metode-metode praktik bagi membetulkan apa-apa yang tidak betul itu adalah tugas aktivis sosial, para pendakwah dan petugas gerakan Islam. (Maknanya tugas kita semua lah tu!) Cuma perlu diingat dalam kita merangka kaedah-kaedah penyelesaian, adalah sangat penting untuk kita benar-benar mengenalpasti punca masalah dan melaksanakan tindakan kita dengan mengambilkira punca masalah yang sebenar itu tadi. Kadang-kala, kita cuba menyelesaikan masalah di peringkat 'superficial'. Natijahnya masalah tidak selesai-selesai. Sebagai contoh; apabila berhadapan dengan masalah remaja perempuan yang tidak memakai tudung. Langkah penyelesaian yang diambil adalah dengan mewajibkan pelajar perempuan memakai tudung di sekolah. Benar, itu tindakan yang baik tetapi itu sahaja tidak memadai kerana punca masalah bukan kerana tidak ada undang-undang. Punca masalah adalah kerana pelajar-pelajar itu tidak faham akan kewajipan memakai tudung, atau mungkin tidak suka, atau tidak selesa. Akhirnya apa yang berlaku adalah kita melihat ramai pelajar perempuan selepas sahaja zaman persekolahan menanggalkan tudung masing-masing. Ini untuk kita fikirkan bersama-sama.

Mungkin perlu kita sama-sama ingat bahawa Islam terbina atas asas ilmu dan kefahaman. Orang yang beragama Islam adalah - sepatutnya - orang yang benar-benar memahami erti kehidupan beragama Islam.

Reply
avatar
Anonymous
admin
12:10 am ×

abg naim ni bagi komen ke tulis entri baru kat atas ni?(=p)

Reply
avatar
8:58 am ×

Saya cukup terpanggil untuk memberikan respon kepada tulisan Saudara Abdul Muntaqim, Setiausaha Agong PKPIM mengenai persidangan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kelantan baru-baru ini. Pada dasarnya saya amat setuju dengan pandangan beliau mengenai krisis yang melanda Negara pada masa ini. Pemikiran Islam liberal yang sudah menular, gugatan kepada institusi dan syariat Islam, penyelewangan dalam pengurusan ekonomi umat, kegagalan sistem pendidikan, kelesuan ulama’ serta kekeliruan identitit generasi muda.

Leonard Binder, seorang intelektual Barat merupakan orang yang bertanggungjawab mencetuskan pemikiran Islam Liberal dan mengorbitkannya pada era 80an. Buku Islamic Liberation : A critique of Development Ideologies tulisan beliau sarat dengan agenda-agenda penting Islam Liberal dengan menjadikan rational discourse sebagai tonggak utama pemikiran Islam Liberal. Islam Liberal bertujuan untuk membendung kekuatan arus perdana islamis ataupun yang dinamakan sebagai fundamentalis. Islam liberal dikatakan mengimbangi arus mainstream dan memberikan laluan kepada kaum sekular-liberal untuk mempengaruhi dan mendangkalkan pemikiran Umat Islam atas nama kebebasan memberikan pendapat dan perbahasan rasional. Nah, di Malaysia sahaja sudah ada puak-puak Islam Liberal yang sering melontar batu di air yang tenang. Mungkin pada masa ini kita ada kekuatan untuk mematahkan segala hujah mereka. Namun bagaimana dengan masa akan datang? Adakah ada satu jaminan kita mampu membendung serangan pemikiran mereka?

Saya juga begitu tertarik dengan kata-kata Imam Al-Ghazali yang dipetik oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil bahawa pemimpin itu adalah cerminan hakikat batin dan kualiti umat. Kalau kata-kata Imam Al-Ghazali boleh dijadikan sebagai Key Performance Indicator (KPI) dalam melihat batin dan kualiti umat, sudah pasti semua tahu jawapannya. Dr. Yusuf Qardhawi dalam karyanya Islam Abad 21: Refleksi Abad 20 dan Agenda Masa Depan (terjemahan Indonesia) menegaskan:

“Setiap orang yang meneliti secara saksama keberhasilan umat Islam pada abad dua puluh, maka dia akan mendapatkan keberhasilan mereka yang amat kecil dan terbatas yang tidak sesuai dengan jumlah umat ini, sejarah mereka dan potensi-potensi material, spiritual dan peradaban. Sedangkan kegagalan-kegagalan yang diderita umat ini sangat banyak...Jika kita bandingkan kegagalan dan keberhasilan yang dicapai umat ini, maka akan tampak bagaimana besarnya kegagalan itu.”


Persoalannya apakah cerminan batin dan kualiti umat yang pudar pada hari ini adalah disebabkan bermulanya titik pengasingan di antara pemimpin dan ulama’? Konflik antara ulama’ dan umara ini dikatakan bermula semenjak zaman pemerintahan khalifah yang pertama lagi. Nah, implikasinya seperti yang kita rasakan pada hari ini. Malah ulama’ dikejam jika kenyataan mereka tidak sebulu dengan pendapat umara’. Nah, apa yang kita harus lakukan?

Saya begitu setuju dengan pandangan beliau agar gerakan dakwah pada masa kini adalah untuk memperkasa dimensi dalaman dan luar gerakan. Selain membina hubungan erat dengan yang Maha Esa, seorang ahli gerakan harus mempasakkan dalam diri untuk menjadi seorang pendakwah yang benar-benar berjiwa pendakwah, komited dan bersungguh-sungguh dalam mengislah umat. Kerja dakwah bukan kerja ‘part time’ tetapi merupakan tugas ‘full time’. Pendakwah seharusnya membuang sikap melaksanakan kerja ‘last minute’, kerja ‘asal buat’, kerja ‘ad hoc’. Berusahalah mendisplinkan diri dengan perancangan yang telah dibuat kerana kerja dakwah bukan bersifat ‘program oriented’ tetapi ia adalah ‘mission oriented’.


Shamsiah Mahli
10.00mlm
11.11.2010

Reply
avatar