MEMANJANGKAN SESI PERSEKOLAHAN BUKAN PENYELESAIAN

Kejadian tragis yang menimpa adik Nurin Jazlin (semoga Allah merahmati rohnya) menggemparkan seluruh negara, dan perkara sangat penting yang sekarang sedang berlegar-legar di minda seluruh rakyat dan pemimpin negara adalah tentang tahap keselamatan di negara ini. Negara yang kita war-warkan sebagai negara aman dan makmur ini kini seolah-olah menjadi semakin tidak selamat. Keadaan ini dirasakan bukan kerana kes Nurin Jazlin seorang, tetapi melalui rentetan beberapa kes-kes lain yang saya kira tidak perlu untuk disebutkan satu-satu di sini.

Justeru, beberapa langkah yang proaktif dan tegas perlu diambil bagi memastikan negara kita yang sedang membangun ini tidak menghasilkan lebih ramai binatang buas bertopengkan manusia serta menjadikan lebih ramai rakyat sebagai mangsa sifat kebinatangan mereka. Perdana Menteri kita telah mengambil langkah awal dengan mencadangkan agar diwujudkan persekolahan satu sesi yang dipanjangkan sehingga pukul 4 petang bagi memudahkan ibubapa yang bekerja untuk terus mengambil anak mereka di sekolah. Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, tetapi dalam masa yang sama kita perlu memainkan peranan kita sebagai rakyat prihatin dalam sebuah negara demokrasi.

Secara jujurnya, saya tidak melihat cadangan untuk memanjangkan sesi persekolah itu sebagai satu penyelesaian kepada masalah yang sedang kita hadapi. Hal ini demikian kerana punca masalah bukanlah terletak pada masa persekolahan, bukan juga terletak kepada kesukaran ibubapa untuk mengambil anak balik daripada sekolah. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, perkara paling penting yang perlu dilakukan terlebih dahulu adalah mengenalpasti masalah sebenar dan mengenalpasti punca masalah sebenar. Apa yang sering berlaku dalam negara kita ini adalah kita gagal untuk mengenalpasti masalah dan punca masalah, lantas mengambil langkah penyelesaian yang silap yang sebenarnya bukanlah merupakan penyelesaian pun.

Justeru, dalam soal ini saya merasakan bahawa kita perlu untuk mengenalpasti masalah dan punca sebenar masalah, dan kemudian barulah langkah-langkah penyelesaian yang sesuai boleh kita ketengahkan untuk mengatasi masalah yang sedang berlaku. Dalam kes yang menimpa adik Nurin Jazlin, dan juga beberapa kes jenayah yang lain yang seumpamanya, saya melihat masalahnya terletak kepada keruntuhan akhlak dan kehilangan sistem nilai dalam masyarakat. Saya menyebut masyarakat kerana saya merasakan bahawa masyarakat kita sendiri masih belum cukup teguh untuk menghindari daripada berlakunya kes-kes jenayah seperti yang telah berlaku. Apakah ada jaminan bahawa seandainya tiada sistem perundangan seperti yang kita miliki sekarang, masyarakat tidak akan melakukan jenayah?

Puncanya terletak kepada keruntuhan sistem sosial, ekonomi dan politik kita sendiri. Saya tidak akan menyentuh tentang kegagalan sistem ekonomi dan politik kerana hal itu memerlukan kajian yang lebih teknikal dan meluas untuk dijelaskan. Saya cuma akan menyentuh tentang keruntuhan sistem sosial. Sesiapa yang sedia untuk membicarakan tentang kegagalan sistem politik dan ekonomi yang telah menyebabkan berlakunya banyak masalah dan kes jenayah, silakan.

Masyarakat kita pada hari ini sedang berhadapan dengan satu perubahan yang tidak mampu mereka kawal dan mereka tangani. Seorang professor daripada Harvard Business School, Rosabeth Moss Kanter, melihat bahawa ada tiga punca masalah yakni masalah yang berpunca daripada kemunculan perubahan, masalah yang berpunca daripada perubahan yang dipaksakan dan masalah yang berpunca daripada perubahan yang sengaja dirancangkan. Apa yang sedang berlaku di negara kita pada hari ini adalah kesan langsung daripada proses globalisasi. Proses globalisasi-Amerikanisasi yang sedang berlaku kini membawa banyak perubahan, sedangkan minda dan budaya masyarakat kita rata-ratanya masih belum bersedia untuk menerima perubahan-perubahan tersebut.

Sistem sosial yang wujud pada hari ini juga ada kaitannya dengan politik dan ekonomi. Namun, perbincangan tentang itu mungkin pada topik yang lain. Apa yang ingin saya sentuh di sini adalah betapa masyarakat kita sudah tidak punya pegangan terhadap suatu sistem nilai yang jelas. Masyarakat kita sudah rapuh jatidirinya. Saya merujuk permasalahan ini kepada masyarakat dan bukannya khusus kepada pelaku-pelaku jenayah yang tertentu sahaja kerana penjenayah-penjenayah itu lahir daripada masyarakat, pada hampir setiap masa. Juga kerana, apa yang sering berlaku adalah sikap dan perilaku masyarakat itu sendiri yang mendorong seseorang itu untuk melakukan jenayah.

Antara faktor yang mendorong kepada kerapuhan sistem nilai ini adalah kerana masyarakat kita sedang berhadapan dengan suatu agenda pembangunan yang tidak seimbang. Negara kita dibangunkan dengan hebat dan pesat dari segi prasarana dan teknologi, tetapi aspek pembangunan manusia agak terpinggir dan dipandang enteng. Hasilnya, masyarakat yang masih belum teguh jatidiri dan pegangan nilai terpengaruh dengan bawaan negatif teknologi dan pembangunan. Inilah yang menyebabkan wujudnya keadaan tidak selamat di dalam negara kita; yakni apabila masyarakat yang tidak dibangunkan jatidiri dan pegangan nilainya tewas dengan desakan dan cabaran semasa.

Justeru, persoalannya kini adalah kita perlu mengimbangi proses pembangunan yang sedia ada. Tidak ada cara lain yang lebih efektif untuk mengembalikan jatidiri serta pegangan terhadap sistem nilai yang kukuh selain daripada memperkasakan pendidikan keagamaan untuk masyarakat keseluruhannya. Peranan para ulama dan intelektual agama perlu diangkat dan diberikan fungsi yang lebih penting dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, fungsi pendidikan ini juga perlu disokong dengan mengurangkan elemen hiburan yang melalaikan dan membawa kesan-kesan negatif. Dalam hal ini, media massa harus memainkan peranan dengan sebaik-baiknya. Penilaian yang lebih serius dan matang harus dilakukan dalam memilih iklan dan rancangan-rancangan untuk dipaparkan kepada masyarakat. Nilaian tanggungjawab sosial harus diutamakan berbanding nilaian untung rugi kewangan.

Nah, sekarang kita nilai semula: adakah memanjangkan waktu persekolahan itu boleh menyelesaikan masalah?


Gombak, 27 September 2007.
1:41 a.m.

Previous
Next Post »