Dari Abū Hurayrah radiyallahu ‘anh katanya: Telah bersabda Rasūlullāh sallallahu ‘alayhi wa sallam: "Tiap-tiap anggota daripada manusia sadaqah atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang – yang berbalah – adalah menjadi sadaqah, dan engkau menolong seorang lelaki – yang berangkat – naik ke atas binatangnya (kenderaannya) ataupun engkau menolong mengangkat baginya barang-barangnya ke atasnya adalah menjadi sadaqah, dan perkataan yang baik itu sadaqah, dan pada tiap-tiap langkah yang engkau membuang bahaya dari jalan juga menjadi sadaqah." (Diriwayatkan oleh Al Bukhārī dan Muslim.)
Hadith ini membicarakan tentang peribadi seseorang manusia. Yakni, setiap perbuatan yang dilakukan dengan menggunakan anggota manusia itu ada nilainya dalam pandangan dan falsafah agama. Justeru, adalah selayaknya bagi setiap manusia itu menggunakan anggotanya itu sesuai dengan tuntutan penciptaannya agar peribadinya menjadi peribadi Muslim yang sebenar-benarnya. Segala puji bagi Allah Yang Maha Pemurah, apabila seseorang Muslim itu menggunakan anggotanya untuk perkara kebaikan, maka perbuatan tersebut akan dianggap sebagai sadaqah.
Daripada huraian hadith ini, terdapat dua bentuk utama sadaqah yakni sadaqah terhadap diri sendiri dan sadaqah terhadap orang lain. Sadaqah atas diri sendiri inilah yang dikatakan oleh Rasulullah pada hadith di atas bahawa tiap-tiap anggota dari manusia menjadi sadaqah atasnya setiap hari terbit matahari.
Dalam sebuah hadith Rasūlullāh sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Bahawa sejak pagi-pagi lagi tiap-tiap anggota salah seorang kamu menjadi sadaqah. Maka tiap-tiap tasbih sadaqah, tiap-tiap tahmid sadaqah, tiap-tiap tahlil sadaqah, tiap-tiap takbir sadaqah, suruhan kebaikan sadaqah, mencegah kejahatan sadaqah. Dan memadai dari yang demikian itu oleh dua rakaat sembahyang dhuha yang didirikan.” (Dari Abi Dzar yang dikeluarkan Muslim dari riwayat Abī Al-Aswad Al-Dailamī)
Sadaqah untuk orang lain pula merujuk kepada pemberian atau sumbangan kita kepada orang lain, yakni manfaatnya untuk orang yang diberi sadaqah dan pahalanya bagi orang yang memberi sadaqah. Dalam hadith ini, ada pelbagai bentuk sadaqah yang dinyatakan oleh Rasulullah seperti menolong seseorang menaiki kenderaannya, melafazkan perkataan yang baik, berjalan untuk mengerjakan ibadah dan membuang halangan di jalan. Hal ini menunjukkan bahawa perbuatan yang baik, sama ada banyak atau sedikit, kecil atau besar, susah atau mudah, akan dipandang sebagai sadaqah.
Justeru, sebenarnya tidak ada alasan untuk seseorang Muslim itu tidak melaksanakan sadaqah kerana sadaqah itu boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. Namun, perlu diperhatikan bahawa masa yang paling sesuai untuk bersadaqah adalah ketika seseorang itu dalam keadaan senang.
Daripada Abū Hurayrah radiyallahu ‘anh berkata: "Datang seorang lelaki kepada Rasūlullāh sallallahu ‘alayhi wa sallam lalu bertanya: Ya Rasūlullāh! Sadaqah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab: Iaitu sadaqah yang engkau berikan sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), kerana engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan menjadi kaya. Maka janganlah engkau menangguh-nangguhkan sadaqah sehingga apabila roh sampai di kerongkongan lalu ketika itu baru engkau berkata: Untuk si fulan ini sekian, untuk si fulan itu sekian dan sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain." (Diriwayatkan oleh Al Bukhārī dan Muslim.)
Dalam hal ini, sadaqah menjadi paling utama pada ketika seseorang itu sedang berada dalam keadaan senang dan sihat serta tidak susah, dan lebih utama lagi apabila yang pemberian itu adalah pemberian sesuatu yang paling dicintai.
Firman Allāh subhanahu wa ta’āla (yang lebih kurang maksudnya): “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allāh mengetahuinya.” (Surah Ali Imran, ayat 92)
Pada ketika hati sangat terpaut dengan harta dan sangat mencintainya, maka pada ketika itulah masa yang paling baik untuk seseorang itu bersadaqah kerana ia akan berhadapan dengan godaan syaitan dan hawa nafsu yang selalu menakut-nakutnya dengan kefakiran. Maka, sesiapa yang mampu melawan hawa nafsunya pada ketika itu bererti ia telah meraih kejayaan yang sangat besar. Atas sebab itulah, antara hikmahnya sadaqah adalah untuk mensucikan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allāh.