Iktibar Isra’ dan Mi’raj


Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan Yang Maha Suci yang telah memperjalankan hamba-Nya yang paling mulia yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam pada malam Isra’ dan Mi’raj. Tarikh 27 Rejab telah berlalu, namun rasanya belum terlewat untuk kita menghimbau peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj; kerana bagi kita selaku umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, yang paling penting dalam meraikan atau mengingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah iktibar-iktibar yang boleh kita ambil daripada peristiwa tersebut.

Bagi sesiapa yang memandang dengan mata hati, menggunakan akal fikiran yang sihat, pasti akan dapat memahami betapa besarnya dan betapa agungnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj tersebut. Peristiwa tersebut membawa peringatan serta berita gembira bukan sahaja untuk baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, tetapi turut dikongsi bersama oleh kita selaku umat baginda. Namun, apa yang menyedihkan adalah pada hari ini wujud di kalangan umat ini, kelompok manusia yang seolah-olah cuba menafikan hakikat Isra’ Mi’raj kerana dikatakan bertentangan dengan logik akal.


Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan tiadalah Kami menjadikan penglihatan (pada malam Mi’raj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.” (Surah al-Israa’, ayat ke-60)

Tulisan ringkas ini bukanlah bertujuan untuk menghuraikan keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj kerana hal tersebut bukan kepakaran saya, di samping peristiwa Isra’ Mi’raj adalah peristiwa yang terlalu panjang (bermakna banyaknya peristiwa untuk dihuraikan). Tulisan ringkas ini hanyalah bertujuan untuk menekankan tentang salah satu iktibar terpenting daripada peristiwa tersebut, yakni tentang hakikat keagungan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Hal ini penting kerana pada hari ini sudah mula bangkit kelompok manusia yang biadab terhadap baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam akibat kegagalan mereka memahami hakikat kemuliaan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah pada hari ini di negara ini kita mula mendengar penolakan terhadap sambutan Maulid Rasul, penolakan terhadap penambahan gelaran “Sayyiduna” di hadapan nama Rasulullah, sikap kurang ajar mengkafirkan ibubapa baginda Rasulullah, serta menyamakan baginda Rasulullah (sebelum menerima wahyu) dengan manusia biasa yang lainnya. Umat secara umumnya, seandainya tidak mengenali serta memahami hakikat keagungan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, pasti akan terpengaruh dengan pandangan-pandangan ganjil yang disebutkan di atas.

Sebenarnya, meneliti keseluruhan peristiwa Isra’ Mi’raj itu secara umumnya sahaja sudah memadai untuk kita memahami hakikat keagungan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dipanggil untuk mengadap Allah Subhanahu wa ta’ala dalam satu peristiwa gilang-gemilang yang mana sepanjang peristiwa tersebut pelbagai ‘acara’ telah diatur untuk baginda Rasulullah; dan hal ini tidak pernah dikurniakan kepada mana-mana rasul yang lain!

Ayuh kita telusuri peristiwa Isra’ dan Mi’raj secara kronologikal (walaupun tidaklah secara lengkap), dan kita perhatikan iktibar-iktibar yang terdapat daripada setiap peristiwa tersebut yang menunjukkan kepada kita betapa agungnya baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, dan betapa bertuahnya kita dipilih oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk menjadi umat baginda.

Pertama; apabila membicarakan tentang peristiwa Isra’ tersebut, ayat al-Quran daripada Surah al-Israa’ pasti terbayang di minda. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israa’, ayat 1)

Di dalam ayat yang dinyatakan di atas – dan juga di dalam ayat-ayat yang lain di dalam Al-Qur’an – Allah Subhanahu wa ta’ala menggelarkan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan gelaran “hamba-Nya”. Sesungguhnya hal tersebut adalah merupakan satu kemuliaan kerana pengiktirafan sebagai hamba Allah adalah merupakan kemuncak kemuliaan bagi seorang manusia, kerana pada hakikatnya itulah tujuan manusia diciptakan.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat ke-56)

Oleh sebab itulah, Allah menggunakan istilah ‘hamba’ di dalam al-Qur’an apabila mengungkapkan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dalam tempat-tempat yang mulia seperti penerimaan wahyu (rujuk Surah al-Furqaan, ayat ke-3; Surah an-Najm, ayat ke-10). Di samping itu, penggunaan sesuatu gelaran menggambarkan kemuliaan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Apabila menyeru baginda Rasulullah, Allah Subhanahu wa ta’ala akan menggunakan gelaran-gelaran seperti “Wahai Nabi” atau “Wahai Rasul”. Allah Subhanahu wa ta’ala tidak menyeru baginda dengan nama baginda sahaja, sepertimana Allah menyeru para nabi-Nya yang lain; “Wahai Adam!...” (Surah al-A’raaf, ayat ke-19), “...Wahai Isa ibn Maryam!...” (Surah al-Maaidah, ayat ke 110), “Wahai Musa!...” (Surah an-Naml, ayat ke-9), “...Wahai Nuh!...” (Surah Hud, ayat ke-48), “Wahai Daud!...” (Surah Sod, ayat ke-26), “Wahai Yahya!...” (Surah Maryam, ayat ke-12).

Kedua; Allah Subhanahu wa ta’ala mengirimkan seekor Buraq sebagai kenderaan untuk dinaiki oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sepanjang perjalanan baginda. Kita mengetahui, sudah tentu Allah Subhanahu wa ta’ala mampu sahaja untuk memperjalankan baginda Rasulullah tanpa menggunakan apa-apa kenderaan. Namun, demi menzahirkan lagi kemuliaan baginda Rasulullah maka Allah Subhanahu wa ta’ala mengirimkan sebuah kenderaan yang begitu mulia, yakni seekor Buraq yang tidak pernah ditunggangi sebelumnya oleh nabi atau rasul yang lain. Jika Rasulullah diperjalankan dengan menggunakan apa yang lazim seperti angin, maka hal tersebut tidaklah akan menzahirkan sangat kemuliaan Rasulullah kerana Nabi Sulaiman ‘alayhissalam juga pernah dibawa oleh angin. Jika sekadar dilipatkan bumi untuk baginda (dijadikan pendek perjalanan yang jauh), juga tidak akan memperlihatkan kemuliaan baginda kerana ramai di kalangan hamba-hamba Allah yang mendapat kurniaan tersebut. Jika Rasulullah dibawa oleh malaikat, maka hal itu juga tidaklah terlalu mengagumkan kerana semua sedia maklum akan kepantasan malaikat, di samping sememangnya para malaikat ini sudah biasa bertemu dengan baginda Rasulullah lantas menjadikan hal tersebut bukan sesuatu yang terlalu istimewa. Tetapi Allah mengirimkan seeokor Buraq dari alam ghaib, satu kenderaan yang unik sebagai menggambarkan betapa istimewanya insan yang dipanggil untuk mengadap-Nya.

Ketiga; penghantaran Buraq, di samping beberapa peristiwa lain, menunjukkan betapa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam diberikan layanan yang terlalu istimewa! Seolah-olah, Allah Subhanahu wa ta’ala tidak mahu Rasulullah mempersiapkan apa-apa atau melakukan apa-apa, kerana semuanya dipersiapkan dan dilakukan untuk baginda! Daripada permulaan peristiwa Isra’ Mi’raj lagi, baginda dijemput oleh Sayyiduna Jibril ‘alayhissalam tanpa sebarang persediaan. Rasulullah tidak mengetahui akan dipanggil mengadap Allah, dan Rasulullah juga tidak pernah meminta peristiwa yang sedemikian untuk berlaku. Sepanjang peristiwa itu juga, Allah menjadikan penghulu segala malaikat yakni Sayyiduna Jibril ‘alayhissalam untuk menjadi pengiring baginda Rasulullah, untuk membawa Rasulullah melalui tempat-tempat yang tertentu serta memberikan penerangan kepada baginda.

Keempat; apabila sampai di Masjid al-Aqsa, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dihimpunkan bersama dengan semua para nabi dan rasul yang lain. Di situ, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersama dengan seluruh para nabi dan rasul mengerjakan solat dua raka’at, dan baginda Rasulullah menjadi imamnya. Peristiwa ini sudah tentu merupakan petunjuk yang sangat jelas akan kedudukan baginda Rasulullah yang melebihi seluruh para nabi dan rasul yang lain, kerana itulah baginda terpilih untuk mengimami solat tersebut.

Kelima; di penghujung peristiwa Mi’raj, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam naik melepasi lapisan langit ketujuh, sehingga sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya naik ke al-Mustawa untuk bermunajat dan bertemu dengan Allah Subhanahu wa ta’ala tanpa sebarang hijab! Kedudukan yang dicapai oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tersebut adalah kedudukan yang paling mulia yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana makhluk Allah yang lainnya, hatta para malaikat sekalipun! Hal tersebut menunjukkan betapa baginda Rasulullah adalah merupakan makhluk Allah yang paling mulia; baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam lebih mulia daripada para malaikat, malah baginda lebih mulia daripada ‘arasy Allah!

Di dalam munajat tersebut, antara lainnya Allah Subhanahu wa ta’ala menobatkan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai Habibullah (Kekasih Allah). Allah Subhanahu wa ta’ala juga telah mengkhabarkan begitu banyak kurniaan-Nya kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan umat baginda!

Lalu daripada jutaan kali jutaan manusia yang pernah hidup semenjak daripada zaman Nabi Adam ‘alayhissalam, Allah Subhanahu wa ta’ala memilih kita untuk menjadi umat baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam!

Selawat dan salam buat Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam!

Begitulah secara ringkas, beberapa peristiwa daripada Isra’ Mi’raj yang boleh kita ambil iktibar daripadanya, yang menunjukkan kepada kita hakikat kemuliaan dan keagungan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, layaklah baginda mendapat layanan, ingatan serta sambutan yang gilang-gemilang daripada kita selaku umat baginda. Sudah tentu, masih terlalu banyak iktibar-iktibar lain, masih panjang penceritaan tentang Isra’ dan Mi’raj, yang semuanya tidak mampu dinyatakan di sini. Sama-samalah kita berusaha untuk terus menghayati peristiwa-peristiwa besar Islam seperti Isra’ dan Mi’raj kerana peristiwa-peristiwa tersebut adalah sangat signifikan bagi kita, dan terutama sekali bagi penghulu kita yakni Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Akhirnya, sekadar peringatan ringkas agar kita tidak tersalah faham dan tersalah tafsir peristiwa yang berlaku di dalam Isra’ Mi’raj ini; janganlah sesekali kita berfahaman dan berpandangan bahawa Allah itu mendiami langit. Maha Suci Allah daripada bertempat! Pada hari ini ramai di kalangan ahli-ahli agama yang berpegang kepada ‘aqidah yang rosak apabila mereka menyatakan bahawa Allah itu duduk di langit! Kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada manhaj murni Ahli Sunnah wal Jama’ah, yang berpandukan kepada panduan al-Qur’an dan as-Sunnah, harus membersihkan fahaman kita daripada sebarang fahaman seperti itu. Allah wujud tidak bertempat kerana “tempat” itu adalah ciptaan Allah, sedangkan Allah tidak berkehendak dan tidak memerlukan langsung kepada ciptaan-Nya. Adapun, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam naik ke atas melepasi lapisan langit ketujuh untuk bertemu Allah Subhanahu wa ta’ala bukanlah bermakna bahawa tempat Allah adalah di atas itu, tetapi hal tersebut hanyalah merupakan satu simbolik untuk menggambarkan betapa orang yang paling hampir dengan Allah Subhanahu wa ta’ala adalah orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Hakikatnya untuk baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bermunajat dan bertemu dengan Allah Subhanahu wa ta’ala tidak memerlukan baginda untuk naik ke atas melepasi langit ketujuh. Namun, Allah Subhanahu wa ta’ala mengaturkan peristiwa tersebut sedemikian rupa untuk menzahirkan kemuliaan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam; untuk menunjukkan kedudukan dan taraf baginda tidak sama dengan makhluk-makhluk Allah yang lain seperti manusia-manusia soleh yang berada di atas muka bumi, tidak sama dengan Nabi Musa ‘alayhissalam yang bermunajat dan berbicara dengan Allah di atas bukit Tursina, tidak sama taraf dengan para malaikat yang mendiami langit, dan juga tidak sama taraf dengan para nabi yang lain yang mendiami pelbagai lapisan langit, yang semuanya juga turut bermunajat dengan Allah. Begitulah hikmah Allah Subhanahu wa ta’ala dalam menzahirkan kemuliaan dan keagungan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam!

Allah jua Yang Maha Mengetahui!


Rujukan:
Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, “Mu’jizat Isra’ dan Mi’raj” (terjemahan daripada tajuk asal “al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khair al-Bariyyah” oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki).
Previous
Next Post »