Malam semalam (18 Januari 2010), saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbincangan tertutup berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di kediaman Ketua Umum PKR. (Berita di sini) Turut hadir pada malam itu adalah para pemimpin PKR dan PAS. Perbincangan yang berlanjutan hampir tiga jam itu berjalan dengan agak baik, tetapi saya dan rakan-rakan agak kecewa dengan banyak hal, terutamanya yang berkaitan dengan ‘mentaliti’ dan ‘sikap’ orang-orang politik. Saya rumuskan perbincangan yang berlangsung pada malam tersebut dalam beberapa perkara penting yang saya senaraikan di bawah;
1)
Hujah-hujah yang bersifat ilmiah dan intelektual, khususnya yang melihat daripada aspek teologi, falsafah bahasa, serta latar sosio-budaya, ternyata sukar diterima oleh ahli perbincangan pada malam itu yang rata-ratanya sudah membuat keputusan masing-masing. Sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin politik yang memperlekeh pandangan intelektual, menolak pandangan dari sudut falsafah bahasa dan mengenepikannya mentah-mentah ternyata mengecewakan. Malah, lebih mengecewakan kerana majoriti pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang parti politik yang terlibat pada malam itu lebih bersifat ‘pandangan’ dan ‘pendapat’ yang seolah-olah dibuat tanpa melakukan penelitian, kajian, serta pembacaan yang lebih meluas dan mendalam. Banyak hujahan yang simplistic dilontarkan, semata-mata untuk mempertahankan pandangan kelompok mereka.
2)
Sikap segelintir kecil orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut yang gemar menggunakan hujah daripada nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, walaupun mereka bukanlah orang yang berkelayakan dalam bidang agama atau tidak pernah mempelajari agama secara serius melalui sistem pengajian yang serius (bukan melalui bacaan satu-dua buku, bukan melalui kajian Internet, bukan melalui ceramah-ceramah, tetapi melalui kelas-kelas pengajian yang ada gurunya), membayangkan keangkuhan mereka. Ayat-ayat yang digunakan, serta sanggahan terhadap penggunaan ayat itu sebagai dalil membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, telah disentuh oleh Mohd. Aizam bin Mas’od di dalam artikel bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian”.
3)
Pendirian ‘tidak rasmi’ Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh DSAI pada permulaan sesi perbincangan, yakni untuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini, antara lain – menurut DSAI – dikukuhkan dengan pandangan yang diterima daripada Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili. Hal ini ternyata mengecewakan dan membayangkan seolah-olah orang-orang politik tersebut ‘miskin’ dengan jaringan para ‘ulama. Mendengar pandangan daripada dua orang tokoh tersebut, dan kemudian terus membuat suatu keputusan (saya katakan keputusan kerana kenyataan telah dikeluarkan dalam media) adalah merupakan perkara yang tidak sihat dan sebenarnya telah menutup pintu untuk menerima pandangan-pandangan lain. Ya, kedua-dua tokoh itu adalah tokoh besar di dalam dunia Islam tetapi dunia Islam mempunyai ribuan ‘ulama. Di Malaysia sahaja kita mempunyai begitu ramai ‘ulama yang hebat dan luas ilmunya. Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, sebagai contoh, seorang ‘ulama muda tempatan yang kitab-kitab karangan dan terjemahannya sudah mencapai 300 buah, malah ada di antara kitab-kitab beliau yang digunapakai di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian di Mesir.
4)
Sesi perbincangan tersebut dilihat agak ‘tidak adil’ dan bersifat ‘syok sendiri’. Hal ini demikian kerana ahli perbincangan tersebut tidak cukup ‘diverse’. Majoriti ahli perbincangan adalah merupakan orang-orang parti politik masing-masing. Beberapa orang ahli akademik yang menghadiri perbincangan tersebut pula adalah merupakan kenalan lama kepada para pemimpin parti politik tersebut, sehingga menjadikan pandangan dan pendapat mereka agak ‘reserved’ dan terlalu berhati-hati. Agak mengecewakan kerana banyak di kalangan individu-individu yang autoritatif di dalam hal ehwal agama, terutama di kalangan ilmuan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tidak dipanggil dan dilibatkan sekali. Seolah-olah, yang mereka iktiraf sebagai ‘ulama dan ilmuan hanyalah daripada circle mereka sahaja. Sedangkan, ada ramai ‘ulama dan ilmuan yang mampu memberikan pandangan secara ilmiah dan bernas – dan jika benar mereka mahu menegakkan semangat muzakarah demi mencari kebenaran, maka seharusnya mereka dilibatkan sekali.
5)
Sikap politik kepartian yang tidak matang ternyata masih menebal. Biarpun sesi perbincangan tersebut – menurut yang difahamkan kepada kami – adalah sesi perbincangan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu tersebut secara sihat demi mencari penyelesaian kepada dilema yang sedang berlaku, tetapi ternyata orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut – tua atau muda – semuanya masih ‘terperangkap’ dalam kerangka politik kepartian yang tidak matang. Biarpun beberapa kali disebutkan agar isu ini tidak dijadikan sebagai isu politik, tetapi ternyata pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang politik pada malam itu majoritinya berdasarkan kepada kacamata ‘politik menang-kalah’; soal populariti parti, soal memenangi undi masih lagi menjadi timbang tara yang melebihi timbang tara ilmiah. Malah, perbincangan yang seharusnya ilmiah itu acapkali menjadi sesi mengutuk UMNO dan kerajaan. Ketua Umum PKR sendiri, pada hemat saya, agak emosional dan sangat terikat dengan pertimbangan politik dalam menilai pandangan-pandangan yang dikemukakan. Keadaan ini ternyata mengecewakan kerana sikap sebegini merugikan umat, kerana sikap ini menjadikan seolah-olah segala yang datangnya daripada UMNO itu dilihat oleh PAS-PKR sebagai ‘najis’ dan begitulah sebaliknya.
6)
Apa yang agak mengecewakan dan merisaukan juga adalah apabila DSAI mengeluarkan kenyataan supaya isu penggunaan nama Allah ini tidak dipanjangkan kerana banyak isu lain yang ‘lebih penting’ seperti isu kezaliman pemerintah, rasuah dan sebagainya yang perlu diberikan penumpuan serius. Saya agak terkesima dengan kenyataan tersebut, yang membayangkan satu kecelaruan dalam pandangan alamnya. Isu nama Allah ini berkait rapat (jika pun tidak berkait secara langsung) dengan usuluddin, dengan asas agama – kerana yang dibincangkan di sini adalah nama Tuhan kita! – justeru persoalan yang berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam (walaupun mungkin tidak berkaitan secara langsung) haruslah diberikan keutamaan. Kenyataan DSAI itu membayangkan seolah-olah untuk ‘bertarung’ dengan orang Islam (kerajaan UMNO) itu lebih penting daripada bersatu bersama umat untuk ‘bertarung’ menentang orang bukan Islam (gereja Katolik).
Agaknya, memang sukar untuk merubah masyarakat menjadi masyarakat yang benar-benar berbudaya ilmu. Agaknya juga, masih ramai yang tidak memahami bahawa politik bukanlah penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan umat yang wujud pada hari ini. Mungkin juga, ramai yang masih belum memahami bahawa asas kepada penyelesaian permasalahan umat, dan seterusnya untuk membina tamadun umat Islam yang terbaik, adalah pada persoalan ‘aqidah – soal pembentukan pandangan alam Islam yang benar dan jelas.
Saya pasti ulasan ini tidak popular. Mohon maaf jika ada sesiapa yang terasa. Semoga Allah mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua dan melimpahi Rahmat-Nya kepada kita tanpa putus.
7 comments
Click here for commentsAssalamualaikum,
ReplyMemang sudah lama DSAI terkenal dengan Islam Liberalnya.. Amat kecewa dengan PAS yg pada asasnya memperjuangkan Islam, tetapi hanya tinggal omong-omong kosong, atau peluru berpandu untuk menyerang musuh iaitu UMNO.
Salam, saya juga telah hadir pada malam tersebut. Sepertimana yang saya sebutkan ketika memberi pandangan saya pada malam itu, saya telah hadir dgn tujuan untuk observe dan belajar. Alangkah baiknya jika segala reservations yg saudara rasakan telah saudara sampaikan pada malam tersebut. Menulis pandangan dan konklusi saudara di blog sebegini walhal saudara telah berkesempatan untuk clear the air dengan tuan badan masing-masing pada hemat saya, agakla unfair. Nonetheless, ini pendapat saudara and everyone is entitled to have their own opinion, and I have to respect that. Tapi saya juga boleh memberi pendapat...pada pendapat saya it is very unfortunate kerana saudara telah memendam segala perasaan tidak puas hati saudara walaupun diberi ample peluang untuk bertanya dan memberikan hujah saudara pada malam tersebut. It seems somewhat un-Islamic dan tidak professional tindakan saudara ini. Wassalam.
ReplySalam, saudara Zamir...
Reply1) Pemerhatian saya bukanlah perkara-perkara yang perlu dibangkitkan di dalam perbincangan tersebut, kerana apa yang saya tulis ini bersifat analisa.
2) Saya bukan hadir berseorangan. Saya hadir bersama para intelektual yang sudahpun bersuara menyatakan pandangan-pandangan dengan bernas dan ilmiah. Bila guru sudah berbicara, anak murid tak perlu dah. Kami juga telah membuat diskusi ringkas secara peribadi dgn beberapa org pemimpin parti selepas tamat perbincangan tersebut.
Terima kasih.
Salam ya Akhie...biarpun hujah saudara ini bersifat analisa, tetapi ia melibatkan konklusi yg saudara buat tentang keperibadian para tetamu pada mlm tersebut. Contohnya didalam perenggan kedua saudara menyebut yg sikap pemimpin yg 'memperlekehkan' pandangan yg bersifat intelektual etc. Pada hemat saya, tiada perlekehan berlaku. Semua pendapat diberi dan di counter balik berlaku dengan cara yg professional dan hormat. Didalam perenggan kedua juga saudara telah 'slam' para pemimpin kerana hanya memberi 'pendapat dan pandangan' yang saudara rasakan telah dibuat tanpa penelitian dan pembacaan yg meluas. Tetapi di perenggan seterusnya saudara slam lagi sekali pemimpin kerana menggunakan hujah ayat2 dan nas2 walaupun tidak 'berkelayakkan'. Konklusi saudara juga yang DSAI miskin dengan jaringan ulama juga saya rasa tidak tepat. DSAI telah berkesempatan bertemu dengan Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili, lalu beliau tanyakan pendapat mereka. Bukannya beliau menelefon mereka atau berjumpa dengan mereka khususnya untuk bertanyakan hal ini. Kesempatan itu yg diceritakan kepada hadhirin. Dan jika beliau menutup peluang untuk pendapat2 lain...then he wouldn't have organised the muzakarah session in the 1st place.
ReplyPandangan2 saudara yg bersifat analisa ini telah saudara simpulkan dan mengongsikan kesimpulan saudara di internet tanpa memberikan peluang kepada tuan2 badan untuk menjawab danmempertahankan diri. Saya mengulangi sekali lagi bahawa saudara sepatutnya telah menimbulkan pandangan2 saudara pada mlm tersebut. Saudara kata jikalau tok guru saudara sudah memberikan hujahnya, jadi saudara tidak perlu lagi memberi hujah saudara. Saya minta maaf...tidak ada dlm islam yg kata sebegini. Infact for the spirit of learning and intelectual discourse, Islam memang menggalakkan sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan, termasuklah tuk guru saudara sekali, dia sepatutnya menggalakkan anak2 muridnya berbicara buah fikiran masing2.
Blog saudara dibaca oleh ramai orang...a bit more responsibility in what you write is required saudara, konklusi daripada analisa yg berat sebelah dan tidak diberi peluang untuk dijawab shows degree of disrespect and unprofessionalism, and to be honest, in my own personal opinion is a bit unislamic.
Teguran saya ini ikhlas demi kebaikan muslimin di Malaysia ini. Kalau saya yg bersalah, silalah tegur saya balik. Apa pun, saya memohon maaf klu menyinggung perasaan saudara. Saya ulang balik my main concern from this issue, i.e. the unity dan kekuatan ukhwah dan ummah di Malaysia. Na'uzubillah dan saya doa agar perpecahan yg berlaku sekarang ini tidak berpanjangan dan tidak menjadi bertambah buruk. Sekian, wassalam.
For the very reason that DSAI kata dah jumpa Dr. Yusuf Qardhawi dan Syeikh Wahbah Zuhaili - lantas terus membuat kesimpulan - dan juga daripada jemputan2 yg dijemput pada malam itu, menggambarkan miskinnya jaringan mereka dgn para 'ulama. Sehari sebelum perbincangan tersebut, ada satu muzakarah tertutup para 'ulama Malaysia yang dihadiri sekitar 100 orang 'ulama tempatan. Tidak ada seorang pun yg dijemput untuk hadir pada malam itu.
ReplyDan, ya, kerana unity ummah juga lah maka saya rasa saya perlu mendedahkan sikap dan mentaliti para pemimpin yang saya maksudkan di dalam tulisan ini. Sikap dan tindak tanduk mereka hanya akan menyebabkan ummah semakin berpecah. Sesi perbincangan yang seharusnya ilmiah, sedikit sebanyak bertukar menjadi sesi mengutuk parti lawan dan kerajaan.
Slm...jika menolak jalan demokrasi jangan sampai menghina/memperlekeh orang yang memilih jalan demokrasi utk menegakkan islam cth PAS..Cadangnya,ELoklah kamu beli pulau dan bina negara ideal di sana.hehe...Teruskan dgn fantasi walhal dasar negara ditentukan dengan peti undi..Baguslah teruskan dengan niat kamu
ReplyAssalamualaikum saudara Akhie Naim,
ReplyTerima kasih kerana memberikan pandangan saudara dan menceritakan suasana majlis tersebut. Barulah saya yang tak hadir ni tahu apa yang sebenarnya berlaku.
Saya sekiranya di tempat saudara juga tak akan mencampuri sebarang perbincangan sekiranya minda saya telah menjangkakan perbincangan itu tidak condusive (sebagaimana yang diharapkan). Apatah lagi sekiranya ada orang2 lain yang perlu dihormati, org tua2, pemimpin2 dll yang menyebabkan kita fikir sebarang tindakan dari kita akan menyebabkan majlis mereka rosak. Saudara lebih utamakan adab. JazakaAllah.
Saya memahami keadaan saudara di majlis itu. Biarkanlah mereka berbincang sesama sendiri.
Dalam masa yg sama marilah kita berfikir berbincang dan merancang apa tindakan selanjutnya untuk hadapi fitnah yang melanda umat Islam ni dan macammana nak menyelamatkan aqidah umat Islam dalam fitnah yg berat ini.
Shakur