Saturday, 12 December 2009

Peranan Belia Dalam Pembangunan Ummah di Sarawak

Kertas kerja ini dibentangkan pada Wacana Akademik anjuran Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPPMIS) pada 12 Disember 2009 bertempat di Pusat Informasi Islam, Kuching. Wacana tersebut menghimpunkan para pensyarah Sarawak daripada universiti-universiti seluruh negara. Kertas ini disiapkan secara tergesa-gesa, dalam kesibukan mengendalikan beberapa program besar. Justeru, mungkin ada banyak kesilapan di dalamnya; mohon teguran dan mohon maaf.


MUQADDIMAH

Dalam membincangkan topik yang begitu penting dan mendasar ini, ada beberapa hal yang seeloknya dijelaskan terlebih dahulu bagi memastikan kerangka dan konteks perbincangan tentang hal ini dapat sama-sama difahami. Ada beberapa perkara asas yang perlu ditekankan kerana perkara-perkara asas inilah yang membentuk hujah dan cadangan yang akan dikemukakan di dalam perbincangan ini.

Perkara yang paling utama – walaupun sudah menjadi satu hal yang sedia dimaklumi oleh semua orang, tetapi perlu ditekankan juga bagi menzahirkan kepentingan autoriti yang kadang-kala dilupakan – adalah bahawa rujukan tertinggi dan paling autoritatif dalam kita menentukan kedudukan sesuatu hal, atau dalam kita memahami sesuatu perkara, adalah kitab suci Al-Qur’an dan sunnah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang mulia. Justeru, ayat-ayat suci Al-Qur’an, hadith-hadith baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, serta curahan ilmu para ‘ulama ‘amilin[1] yang menyampaikan kita kepada pemahaman yang benar terhadap Al-Qur’an dan Al-Hadith wajib menjadi hujah utama kita. Pandangan, kajian, mahupun teori para ilmuan daripada mana sekalipun, sekiranya bercanggah dengan sumber-sumber utama yang disebutkan tadi maka wajiblah ditolak – sekalipun pandangan mereka tersebut dirasakan logik dan rasional pada pemikiran akal kita. Begitulah arahan Allah Subhanahu wa ta’ala kepada kita, seperti firman-Nya dalam Al-Qur’an yang kira-kira maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[2]

Seterusnya, perlu juga untuk difahami bahawa di dalam Islam, kayu ukur akan tahap keilmuan dan kemuliaan seseorang bukan pada usia dan pengalaman semata-mata. Hal ini penting untuk dinyatakan kerana wujud kecenderungan pada hari ini untuk membeza-bezakan di antara yang tua dan yang muda, antara dewasa dan belia, dalam konteks keilmuan dan kemuliaan; dalam erti kata menyatakan bahawa yang lebih berusia itu lebih berpengetahuan dan lebih mulia. Sedangkan dalam Islam, kayu ukur terpenting kemuliaan seseorang bukanlah letaknya pada usia dan pengalaman semata-mata, tetapi sebaliknya letaknya pada keimanan dan ketaqwaan[3].

Justeru, biarpun perbincangan ini memberikan penumpuan kepada peranan belia, secara hakikatnya peranan tersebut adalah peranan yang perlu dimainkan oleh seluruh ummah. Hal ini demikian kerana nasib sesuatu ummah itu, adalah tanggungjawab ummah itu sendiri[4]. Maka, apa sahaja kelemahan yang ada pada golongan belia, adalah kelemahan seluruh ummah. Kecemerlangan para belia, adalah juga kecemerlangan seluruh ummah. Peranan para belia, adalah peranan yang perlu juga dimainkan oleh seluruh ummah. Dalam hal ini, sikap para ahli sufi yang terangkum dalam kata-kata mereka bahawa “kami menghormati yang tua kerana banyaknya amal mereka, dan kami menghormati yang muda kerana sedikitnya dosa mereka” eloklah dicontohi.

Kemudian, perkara yang penting juga untuk kita fahami ertinya adalah istilah ‘pembangunan’ yang menjadi tajuk perbincangan ini. Memahami erti ‘pembangunan’ yang betul dalam konteks Islam adalah penting bagi memastikan kita mengambil sikap dan tindakan yang betul. Pentingnya erti ‘pembangunan’ yang sebenar dijelaskan juga adalah kerana pada hari ini, pendekatan tentang kemajuan, pembangunan dan perubahan adalah berasaskan kepada satu model sahaja, yakni model Barat[5]. Pemahaman terhadap punca dan akibat tiga zaman dalam tamadun Barat yakni Zaman Lama (Classical), Pertengahan (Medieval), dan Baru (Modern), sepertimana yang dibahagikan oleh Barat sendiri, akan memberikan kita kefahaman tentang ciri-ciri kemajuan dan kemodenan dalam fahaman Barat yang mempengaruhi makna ‘pembangunan’ di kalangan umat Islam pada hari ini[6].

Memahami erti ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’ yang sebenar bergantung kepada pandangan alam yang benar. Pandangan alam Islam (worldview of Islam) yang benar merujuk kepada gambaran tentang hakikat (reality) dan kebenaran yang wujud dengan jelas di dalam pemikiran yang menampakkan makna kewujudan secara keseluruhannya, meliputi alam fizikal dan alam metafizikal, merangkumi kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat[7]. Apabila pandangan alam tidak jelas, kabur ataupun salah, maka apa yang berlaku adalah ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ dilihat semata-mata dalam konteks fizikal dan material, sehingga mengesampingkan atau merendahkan kepentingan pembinaan insan yang berkualiti. Jika ada pun penekanan yang diberikan kepada pembinaan insan yang berkualiti, maka itu pun adalah dengan tujuan untuk akhirnya membangunkan fizikal dan material semata-mata. Harus diingatkan bahawa dunia ini tidak boleh dibangunkan kerana dunia ini sudah sedia sempurna mengikut sebagaimana yang diciptakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, tetapi yang boleh dibangunkan adalah kehidupan di dunia ini[8].

Justeru, apakah ertinya ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ seandainya akhlak dan adab ummah semakin merosot? Apakah ertinya ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ sekiranya masyarakat hidup dalam penuh ketakutan dan kerisauan? Apakah ertinya ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ sekiranya jenayah masih berleluasa? Sedangkan, apabila kita menyebut ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’, sudah tentu hal itu merujuk kepada proses untuk bergerak daripada satu keadaan yang kurang baik, kepada keadaan yang lebih baik. Oleh sebab itu, adalah penting untuk dikenalpasti apakah keadaan yang lebih baik yang perlu dituju itu. Kemajuan tidak bermakna sekiranya tidak diselarikan dengan satu matlamat akhir[9]. Matlamat akhir itu, sudah tentu berkait rapat dengan kepuasan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Faham kebahagiaan bergantung kepada pandangan alam seseorang. Seseorang yang mempunyai pandangan alam yang salah, mungkin memahami erti kebahagiaan dalam konteks sempit seperti dapat mengumpulkan harta kekayaan atau memuaskan syahwat semata-mata. Tetapi, disebabkan faham tentang kehidupannya salah, maka perkara yang difikirkan membahagiakan itu akhirnya tidak juga mampu memberikan kebahagiaan yang berpanjangan. Secara mudahnya, kebahagiaan yang sebenar itu adalah apabila manusia mampu untuk melaksanakan dengan bebasnya fungsi fitrah jiwa manusia, yakni untuk tunduk patuh kepada Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai hamba[10].

Maka, matlamat akhir yang seharusnya menjadi tempat tuju bagi ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ adalah pengabdian diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Itulah matlamat akhir yang jelas dan pasti. Oleh sebab itu, di dalam tradisi Islam, kita memahami dengan benar dan jelas bahawa kemuncak ketamadunan manusiawi adalah pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para sahabat baginda yang diiktiraf kemuliaan dan kehebatan mereka oleh Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai khayra ummah[11] (umat terbaik). Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam diturunkan sebagai contoh ikutan yang terbaik[12], yang memberikan kepada kita pedoman tentang bagaimana seharusnya ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ itu dilaksanakan. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan generasi sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in adalah generasi manusia yang terbaik dalam sejarah dunia, yang menetapkan satu piawaian (standard) kualiti manusiawi buat panduan seluruh ummah. Maka, ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang sebenar itu adalah apabila kita semakin hampir untuk mencontohi zaman Rasulullah, bukannya semakin jauh daripada mereka, dalam konteks kualiti manusiawi dan bukannya fizikal atau material.

BELIA DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

Peranan belia dalam membangun ummah adalah sangat penting. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa belia adalah golongan yang paling penting dalam proses membangun ummah. Sejarah sendiri telah membuktikan betapa golongan belia adalah golongan yang seringkali menjadi tonggak dalam mengemudi kejayaan-kejayaan besar. Oleh sebab itulah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri pernah menyatakan bahawa, “tatkala aku ditentang oleh golongan tua, aku didokongi oleh golongan muda” sebagai menunjukkan betapa pentingnya golongan muda dalam membantu perjuangan dakwah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, pentingnya golongan muda memainkan peranan secara langsung dalam proses pembangunan ummah, bukan sekadar sebagai ‘pemerhati’ atau ‘penumpang’ semata-mata.

Paling utama, golongan belia perlu memperkukuh dan seterusnya berusaha untuk memupuk budaya ilmu di dalam masyarakat. Soal ilmu adalah fundamental dalam proses pembangunan ummah. Oleh sebab itulah, ayat Al-Qur’an yang pertama[13] sekali diturunkan kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah ayat yang berkaitan dengan proses pemerolehan ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang benar, yakni ilmu yang akhirnya menjadikan seseorang itu sarat dengan adab. Oleh sebab itu, penting juga ditekankan di sini bahawa di dalam Islam, ilmu-ilmu yang pelbagai itu ada kedudukannya yang tersendiri. Oleh sebab itulah, para ilmuan Islam seperti al-Ghazali mengkelaskan ilmu-ilmu kepada dua, yakni ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah. Maka, seperti yang sedia dimaklumi, ilmu fardhu ‘ain adalah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu; yakni ilmu-ilmu seperti mengenali Allah, mengenali Rasulullah, ilmu al-Qur’an, ilmu fiqh, ilmu akhlak atau ilmu tasawwuf[14]. Maka, dalam keadaan di mana masyarakat kita yang sudah terpengaruh dengan sekularisme sehingga menyamaratakan taraf semua ilmu – malah mungkin ada yang meletakkan ilmu fardhu kifayah itu lebih tinggi kepentingannya daripada ilmu fardhu ‘ain, ataupun mengecilkan dan memperlekeh ilmu fardhu ‘ain – belia harus memainkan peranan penting untuk menyegarkan kembali budaya ilmu yang sebenarnya mekar di dalam tradisi Islam.

Seterusnya, golongan belia juga perlu bertindak sebagai ‘kubu’ bagi mempertahankan jatidiri orang Islam. Paling penting, golongan muda perlu mempersiapkan diri mereka untuk mempertahankan kesucian aqidah ummah yang semakin dicabar daripada segenap sudut. Untuk itu, golongan belia perlu berusaha untuk mendalami dan memahami asas-asas agama, yang terangkum dalam tiga elemen utama ilmu Islam yakni ilmu aqidah (rukun Iman), ilmu fiqh (rukun Islam), dan ilmu tasawwuf (rukun Ihsan)[15]. Pengukuhan ilmu-ilmu asas ini adalah penting agar golongan belia dapat teguh mempertahankan jatidiri mereka sebagai seorang Islam, sekaligus menjadikan mereka sebagai golongan yang layak untuk memacu ummah ke arah kemajuan dan pembangunan[16].

Selain daripada itu, belia juga perlulah terlibat secara aktif dalam segenap sektor di dalam masyarakat. Khususnya, belia tidak boleh mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ khususnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan masa depan ummah. Golongan belia perlu mengambil sikap yang pro-aktif dan berusaha melibatkan diri di peringkat pembuat dasar. Belia perlu terlibat secara langsung dalam membangunkan negeri, apatah lagi apabila golongan majoriti di dalam masyarakat itu adalah golongan belia.

Belia juga perlu aktif melibatkan diri di dalam kerja-kerja kemasyarakatan; bukan sekadar memenuhi masa lapang, tetapi sebagai manifestasi daripada keimanan[17]. Keterlibatan langsung belia dengan ummah secara keseluruhannya adalah penting kerana seperti yang telah dijelaskan, ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’ ummah itu adalah pada kualiti manusiawi. Ummah yang membangun adalah ummah yang hampir setiap individu di dalamnya telah mencapai kualiti manusiawi yang baik. Golongan belia tidak akan membantu membangunkan masyarakat jika hanya sekadar terperap di dalam perpustakaan, tanpa ada usaha untuk menterjemah ilmu yang benar yang dipelajari ke dalam bentuk praktikal di dalam masyarakat. Malah, antara ciri penting generasi khayra ummah yang telah disebutkan terdahulu adalah aktiviti membangun ummah melalui amar ma’ruf (mengajak kepada kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah dari kemungkaran)[18]. Namun, penting juga untuk diingatkan supaya golongan belia yang selalunya bersifat agresif ini agar sentiasa berhikmah[19] dalam pergaulan mereka di dalam masyarakat. Mendekati masyarakat haruslah dengan pendekatan yang bersifat setempat (manhaj Sarawakiyy[20]), tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asasi agama.

Berkait rapat dengan keterlibatan langsung dan aktif dalam membangun masyarakat ini juga bermakna belia haruslah peka dan beriltizam dengan isu-isu semasa, khususnya yang membabitkan kepentingan ummah. Golongan belia harus diajar, bersedia untuk belajar dan seterusnya mengajar, agar menumpukan pemikiran, perhatian dan tenaga mereka untuk ummah dan bukan sekadar untuk diri sendiri sahaja. Keperluan dan kepentingan ummah secara keseluruhan adalah lebih penting daripada keperluan peribadi semata-mata. Perjuangan untuk membangunkan ummah sememangnya akan menuntut pengorbanan; justeru golongan belia, dan juga segenap ahli dalam masyarakat, perlu bersedia dengan jatidiri Muslim yang utuh. Golongan belia harus sentiasa menanam di dalam minda mereka bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala telah memberikan ancaman keras kepada sesiapa yang meninggalkan perjuangan membangun ummah demi kecintaan kepada kesenangan dan kepentingan peribadi[21].

Seterusnya, dalam konteks semasa di negeri ini, golongan belia juga harus mempersiapkan generasi mereka untuk menempati posisi-posisi yang penting dan strategik sama ada di peringkat masyarakat setempat mahupun di peringkat negeri. Persiapan keilmuan dan kemahiran berkaitan yang mantap, yang didasari oleh satu kerangka asas pandangan alam Islam yang benar, haruslah dilakukan. Namun, perlu diingatkan bahawa hal ini bukan bermaksud setiap daripada kalangan belia itu harus menanam cita-cita politik, untuk mengejar jawatan mahupun pangkat. Sebaliknya, apa yang dimaksudkan adalah golongan belia harus mempersiapkan satu generasi – bukan sekadar diri mereka sahaja – yang benar-benar berkualiti, sehingga akhirnya generasi itu dapat memilih yang terbaik di antara mereka untuk ditempatkan di posisi-posisi tertentu yang sesuai dengan kelayakan dan kapasiti masing-masing. Itulah yang telah dilakukan oleh generasi-generasi Islam yang terdahulu, yang bangkit dengan hebat sehingga nama mereka mekar ke hari ini. Sebabnya, yang hendak dikejar adalah kemajuan ummah, bukannya kemasyhuran peribadi. Malah, sejarah telah membuktikan bahawa pencapaian yang besar dalam ummah tidak akan terlaksana melainkan setelah siapnya satu generasi yang benar-benar mantap menurut neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah[22].

PEMERHATIAN: CABARAN DAN HALANGAN

Bagi memastikan pemerkasaan dan pengupayaan peranan belia dapat direalisasikan, adalah perlu untuk dikenalpasti cabaran dan halangan yang seringkali menjadi hambatan kepada golongan belia untuk berperanan dengan baik di dalam pembangunan ummah. Secara umumnya, boleh dikenalpasti bahawa masih terdapat sikap prejudis di kalangan golongan dewasa terhadap golongan belia. Golongan belia terlalu dilabel dengan labelan yang negatif, yang menampakkan golongan belia ini sebagai seolah-olah golongan yang sarat dengan masalah, dan malah menjadi pembawa masalah. Hal ini dapat diperhatikan dengan jelas melalui beberapa keadaan yang dinyatakan di bawah. Melalui pengalaman program Kembara Hijrah 1430H, di mana kontijen kembara telah bersama dengan masyarakat dan melaksanakan aktiviti-aktiviti di kawasan Serian, Sri Aman, Betong, Bintulu dan Miri; dan juga pengalaman baru-baru ini ke Sri Aman, Sarikei dan Bintulu dalam rangka mengaturkan program Kembara Hijrah 1431H, dapat difahami mengapa tidak banyak golongan belia yang terlibat secara aktif dalam usaha pembangunan ummah.

Dapat diperhatikan bahawa di hampir semua kawasan di negeri Sarawak ini, golongan belia tidak dilibatkan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Apa yang dimaksudkan di sini adalah golongan belia tidak dilibatkan di peringkat pembuat dasar, ahli jawatankuasa. Jika ada pun penglibatan golongan belia selalunya hanyalah sebagai tenaga kerja bagi melaksanakan tugas-tugas teknikal. Ataupun, jika ada pun penglibatan golongan belia dalam ahli jawatankuasa, penglibatan itu hanya secara pasif. Sama ada golongan dewasa sememangnya tidak mahu melibatkan golongan belia di peringkat pembuat dasar, ataupun golongan belia itu sendiri yang tidak berminat; kedua-duanya adalah mungkin. Malah, melihat kepada keadaan pengurusan oleh penggerak masyarakat yang tidak begitu profesional serta terlalu rigid dan tidak terbuka, tidak hairanlah jika golongan belia tidak mahu terlibat secara langsung di dalam pembangunan ummah. Apa yang menyedihkan, seringkali golongan belia yang disalahkan, tetapi jarang sekali golongan dewasa membuat penilaian yang serius terhadap kelemahan-kelemahan yang ada pada diri mereka. Malah, di sesetengah tempat, orang dewasa ini pantang sekali ditegur, dinasihati mahupun diajar oleh orang yang lebih muda.

Dalam konteks yang lebih besar, golongan belia yang diberi peluang yang luas di dalam politik dan pentadbiran. Politik yang dimaksudkan di sini bukanlah dalam maksud sempit politik kepartian dan pilihanraya semata-mata; tetapi, yang dimaksudkan adalah proses pentadbiran dan pembuatan dasar-dasar negeri. Paling tidak, pandangan dan suara golongan belia haruslah didengar secara aktif melalui mekanisme dan saluran yang tersusun, dan diambil pandangan mereka secara terbuka. Keyakinan haruslah diberikan kepada golongan muda untuk memimpin persatuan-persatuan belia, persatuan-persatuan masyarakat, jawatankuasa masjid dan sebagainya. Golongan belia juga harus diberikan kepercayaan untuk terlibat langsung di dalam urusan pentadbiran negeri. Paling tidak, harus ada iltizam yang dibuktikan melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan serius di kalangan golongan dewasa untuk menjadikan golongan belia sebagai pelapis kepemimpinan di dalam sesebuah organisasi.

Di samping itu, perlu diakui bahawa suasana yang sedia ada di dalam masyarakat di negeri ini pada ketika ini tidak kondusif untuk memupuk budaya ilmu dan nilai-nilai yang murni di kalangan ahli masyarakat, apatah lagi di kalangan golongan belia yang lebih mudah terpengaruh. Masjid-masjid sebagai contoh, tidak begitu ‘mesra belia’ dan ‘mesra kanak-kanak’. Golongan belia kadang-kadang ‘di-saf-belakang-kan’ di dalam masjid; bukan dalam erti kata yang literal penyusunan saf waktu solat, tetapi di dalam pentadbiran, pengurusan dan penggunaan masjid. Malah, di beberapa tempat, kanak-kanak juga seolah-olah cuba dijauhkan daripada masjid dengan peraturan-peraturan yang begitu ketat dan tidak mesra kanak-kanak. Apakah mereka sudah lupa contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tatkala melayan kerenah cucu-cucu baginda, Sayyiduna Hasan radhiyallahu ‘anh dan Sayyiduna Husain radhiyallahu ‘anh ketika di dalam masjid[23]?

Dalam konteks bahan bacaan pula, salah satu faktor yang mungkin menyumbang kepada tidak berkembangnya budaya ilmu di kalangan golongan belia adalah kerana kurangnya bahan-bahan bacaan yang berkualiti yang boleh didapati dengan mudah. Bahan bacaan yang berkualiti di sini sudah tentu merujuk kepada buku-buku ilmiah serta kitab-kitab agung karya para ilmuan tradisi dan kontemporari yang benar-benar boleh membina intelektualisme. Sayangnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah novel-novel picisan serta karya-karya pop yang melalaikan adalah yang begitu banyak dijual. Malah, untuk mendapatkan majalah-majalah yang ilmiah pun begitu sukar dan sedikit bilangannya. Wacana-wacana yang bersifat ilmiah juga tidak banyak dianjurkan di sekitar negeri ini. Aktiviti-aktiviti di dalam masyarakat lebih banyak menjurus kepada hiburan semata-mata. Malah, yang sering diangkat-angkat, dijulang-julang dan dibangga-banggakan sebagai ikon dan contoh kebangaan masyarakat adalah belia-belia yang menjadi artis. Maka, tidak hairanlah sehingga kini masih ramai belia di negeri ini yang mabuk dalam keasyikan berhibur sehingga semakin terhakis kepedulian mereka terhadap persekitaran, semakin kerdil jiwa mereka sehingga tidak lagi mampu memikirkan idea-idea besar, gagasan dan wawasan untuk negeri dan ummah seluruhnya.

PENUTUP

Tanggungjawab untuk membangunkan ummah adalah tanggunjawab bersama semua pihak. Namun, menyedari bahawa golongan belia adalah merupakan golongan yang mempunyai potensi yang terbesar, maka seluruh lapisan masyarakat harus bergerak secara aktif dalam mengupayakan golongan belia pada hari ini agar mereka dapat memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam membangunkan ummah. Harus kita fahami juga bahawa dalam proses pembangunan ummah itu, hendaklah kita kembali menjadikan generasi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para sahabat sebagai kayu ukur.

Allah jua Yang Maha Mengetahui.


Nota:

[1] Menurut al-‘Allamah Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, ‘ulama ‘amilin adalah para ‘ulama yang benar-benar beramal dengan ilmu mereka. Mereka adalah ‘ulama yang memiliki ilmu yang benar, hati yang bersih, serta dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan cahaya makrifah. Mereka adalah ‘ulama yang benar-benar menguasai ketiga-tiga komponen asasi dalam ilmu Islam yakni aqidah, fiqh dan tasawuf.

[2] Surah Al-Hujurat, ayat 1.

[3] Rujuk Al-Qur’an: Surah Al-Hujurat, ayat 13.

[4] Rujuk Al-Qur’an: Surah Ar-Ra’d, ayat 11.

[5] Dr. Amran Muhammad, “Mengisi Makna Wawasan 2020”, Al-Hikmah Bil. 2 / Tahun 3 (April-Jun 1997), Kuala Lumpur: ISTAC, hlm. 2.

[6] Sila rujuk makalah Dr. Mohd. Sani Badron, “Kebudayaan Barat dan Pegangan Hidupnya”, Al-Hikmah Bil. 2 / Tahun 4 (April-Ogos 1998), Kuala Lumpur: ISTAC, hlm. 18-26.

[7] Sila rujuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Prolegomena to The Metaphysics of Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001), hlm. 1-2.

[8] Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Prolegomena to The Metaphysics of Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001), hlm. 22.

[9] Ibid.

[10] Rujuk Al-Qur’an, Surah Al-A’raaf ayat 172 dan Surah Adz-Dzaariyat ayat 56.

[11] Rujuk Al-Qur’an, Surah Ali Imran ayat 110.

[12] Rujuk Al-Qur’an, Surah Al-Ahzab ayat 21.

[13] Surah Al-‘Alaq, ayat 1 yang lebih kurang bermaksud: “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

[14] Sila rujuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), hlm. 38-41.

[15] Tiga dimensi ini seperti termaktub di dalam hadith yang diletakkan sebagai hadith nombor 2 di dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi; yakni hadith tentang kedatangan malaikat Jibril ‘alayhissalam yang menyerupai manusia, duduk bertemu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam mengajarkan para sahabat tentang urusan agama melalui soalan-soalannya.

[16] Sila rujuk Yusri Mohamad, “Pembinaan Generasi Prasyarat Kebangkitan Ummah”, Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Sanawi ke-38 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur: ABIM, 2009, hlm. 7-8.

[17] Dalam salah sebuah hadith baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang selagi ia tidak mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.

[18] Rujuk Al-Qur’an, Surah Ali Imran ayat 110.

[19] Rujuk Al-Qur’an, Surah An-Nahl ayat 125.

[20] Istilah ini boleh difahami sebagai: “pendekatan ala-Sarawak”.

[21] Rujuk Al-Qur’an, Surah At-Taubah ayat 24.

[22] Sila rujuk Yusri Mohamad, “Pembinaan Generasi Prasyarat Kebangkitan Ummah”, Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Sanawi ke-38 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur: ABIM, 2009, hlm. 7. – untuk mendapatkan pemahaman yang lebih komprehensif, sila baca karya Dr. Majid Irsan Kailani, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam (terjemahan daripada tajuk asal: Hakazha Zahara Jailu Salahu-`l-din wa Hakazha ‘Adat Al-Quda), Selangor: IIIT Malaysia & Thinker’s Library, 2000.

[23] Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah memanjangkan sujudnya di dalam solat kerana pada ketika itu Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain radhiyallahu ‘anhuma yang masih lagi kanak-kanak sedang bermain-main di atas baginda.

No comments: