Takziah buat keluarga Adibah Ali

Manusia adalah hak milik Allah Subhanahu wa ta’ala. Ketika mula-mula dihimpunkan di alam roh, manusia yang pada ketika itu di dalam bentuk roh diambil suatu persaksian yang mana dengan persaksian itulah manusia dihantar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Persaksian itu adalah pengakuan seluruh roh-roh manusia bahawa Allah adalah Tuhan! Namun, apabila roh masuk ke dalam jasad, lantas manusia dilahirkan di atas muka dunia ini, manusia lupa akan perjanjian tersebut. Manusia lupa siapa dirinya, manusia lupa siapa Tuhannya. Oleh sebab itulah kita dinamakan “insan” – yang berakar daripada kata yang membawa maksud “lupa”. Justeru, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memberikan kepada kita panduan, pembimbing dan petanda-petanda (ayat-ayat) yang gunanya untuk mengingatkan manusia serta membawa manusia untuk kembali memenuhi tuntutan persaksian yang telah dibuat.

Dan sesungguhnya, Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan ujian dan cubaan kepada hamba-hambaNya, buat menguji siapakah di kalangan hamba-Nya yang sabar dan benar-benar tegar keimanan mereka. Sesiapa yang sabar, dan dengan teguh hati menerima dengan redha ujian daripada Allah – menanam utuh di dalam hati bahawa “sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita akan kembali” – maka Allah Subhanahu wa ta’ala, melalui lisan Kekasih-Nya, menjanjikan balasan yang sangat baik kepada mereka; Allah menjanjikan untuk menggantikan kesusahan dan kesedihan yang dialami dengan suatu kesenangan dan kebaikan yang berlipat ganda. Allah Maha Kaya!

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudari Adibah binti Ali, sahabat PKPIM, penuntut UIAM, yang berasal daripada Johor. Saudari Adibah Ali telah mengalami kemalangan yang agak teruk sekitar lebih seminggu yang lepas, dan telah berada dalam keadaan traumatik yang berpanjangan. Belumpun pulih saudari Adibah Ali, pagi tadi (8 Disember 2009) kami menerima berita bahawa bonda kepada saudari Adibah Ali telah meninggal dunia, kembali menghadap Tuhannya.

Sama-sama kita doakan semoga keluarga saudari Adibah Ali tabah dalam menghadapi cubaan dan dugaan yang bertimpa ini; mudah-mudahan ujian dan dugaan ini sebagai tanda pengiktirafan kentalnya keimanan keluarga saudari Adibah Ali. Sama-sama kita doakan semoga roh ibunda Adibah Ali ditempatkan di kalangan orang-orang yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Juga, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada roh ibunda Adibah Ali, semoga roh beliau mendapat manfaatnya. Kita hadiahkan juga kepada saudari Adibah Ali, semoga beliau segera pulih daripada kesakitannya. Juga, hadiahkan kepada keluarga mereka, semoga tabah dan sabar dalam melalui ujian Allah Subhanahu wa ta’ala.

Al-Fatihah.

Previous
Next Post »