KEMBARA DI SARAWAK


Sudah lebih seminggu aku kembali daripada Sarawak, setelah hampir sebulan berada di sana kerana terlibat dengan beberapa aktiviti pembangunan belia Islam di Sarawak. Sungguh, sepanjang sebulan berada di Bumi Kenyalang memberikan aku pengalaman yang sangat bermakna. Bermula dengan program Latihan Asas Kefasilitatoran yang dihadiri sekitar 100 orang belia Islam daripada serata negeri Sarawak. Paling jauh, daripada Belaga. Sila rujuk peta negeri Sarawak untuk mengetahui betapa jauhnya Belaga daripada Kuching. Oh ya, program tersebut diadakan di Pusat Latihan Sarawak, Telaga Air, Kuching. Penyertaannya cukup memberangsangkan. Harapan kami dalam menganjurkan dan mengendalikan program tersebut adalah supaya akan lahir lebih ramai lagi belia Islam di negeri Sarawak yang punya kemahiran fasilitator yang baik – cocok dengan acuan Islam – agar dapat membantu kami menggerakkan dengan lebih giat dan meluas program-program pembangunan belia di serata negeri. Kalau sekadar hendak mengharapkan kelompok kami yang terlalu kerdil ini, memang kami tidak mampu.


Aku sedang menelaah buku sebagai persediaan untuk memberikan pembentangan semasa program Latihan Kefasilitatoran Asas, sambil "ditemani" oleh sahabatku di sebelah.

Para peserta program Latihan Kefasilitatoran Asas dalam satu sesi kendalian Sdr. Khairul Anwar Shazali.

Program fasilitator tersebut tamat pada 14 Disember. Sehari selepas itu, pada 15 Disember, kami teruskan lagi aktiviti kami dengan program PEWARIS Siri Ke-3. PEWARIS adalah singkatan bagi Perkampungan Warisan Remaja Islam Sarawak, sebuah projek yang dirangka khas sebagai projek mentor-mentee; di mana kami – para mentor – diberikan dengan beberapa orang pelajar daripada sekolah yang tertentu untuk dibimbing sepanjang tempoh yang tertentu, contohnya setahun, bagi menjadikan mereka remaja yang lebih baik dari segi sahsiah, kepimpinan, akademik dan sebagainya. Pokoknya, projek bagi memperkasakan generasi muda Islam Sarawak. Menarik juga program PEWARIS Siri Ke-3 yang dibuat di Kem PLKN di Bau tersebut. Penyertaan beberapa peserta baru – khususnya daripada kawasan Balai Ringin – memberikan kami satu pengalaman yang sangat berharga. Ternyata masih banyak usaha yang perlu dilakukan di negeri ini! Mudah-mudahan Allah terus memberikan kekuatan.

Sebagai mentor, aku dipertanggungjawabkan untuk menjaga para pelajar lelaki daripada SMK Bandar Semariang, bersama Saudari Nuraniza Sulaiman sebagai mentor khusus bagi pelajar perempuan SMK Bandar Semariang. Syukur kepada Tuhan, kumpulan yang aku jaga ini adalah antara kumpulan yang terbaik. Tidak banyak yang aku lakukan, dan aku rasakan juga tidak perlu banyak yang dilakukan kerana ternyata mereka (para mentee daripada SMK Bandar Semariang) sudah cukup matang dan bijaksana dalam menggerakkan kumpulan mereka bagi meningkatkan ketrampilan diri mereka di samping menyumbang kepada masyarakat di sekitar mereka. Semoga kumpulan ini satu hari kelak akan dapat menjadi kumpulan individu-individu yang hebat, penerus kepada perjuangan dakwah di Bumi Kenyalang ini.


Barisan mentor dan mentee SMK Bandar Semariang - Projek PEWARIS.

Program terakhir di Sarawak, dalam bulan Disember itu, adalah program Kembara Hijrah. Program yang meninggalkan kesan dan kenangan yang begitu bermakna buat diriku. Kesempatan selama seminggu berkembara bersama sekitar 100 orang belia Islam yang lain daripada pelbagai tempat di negeri Sarawak – ada daripada Kuching, Telaga Air, Sebuyau dan Balai Ringin – memberikan aku pelbagai pengalaman yang menarik. Mengendalikan sekitar 100 orang belia Islam dengan latarbelakang yang pelbagai, perangai yang pelbagai, sememangnya menarik. Yang paling penting, aku bersyukur kepada Allah kerana menghadirkan 100 orang belia tersebut bersama dengan kami dalam program ini. Kerana ternyata di penghujung program, aku melihat wajah setiap seorang daripada peserta program tersebut dan terdetik di hatiku: inilah wajah pejuang dan pendokong umat Islam di negeri Sarawak! Biarpun mereka belia yang mungkin dipandang rendah oleh masyarakat, biarpun mungkin di kampung mereka dibenci dan tidak disukai orang ramai, tetapi sepanjang kami berkembara mereka telah membuktikan yang mereka punya potensi yang cukup hebat. Mereka ibarat permata yang kilauannya masih kelam kerana belum digilap. Namun, andai telah digilap, nescaya sinarannya bakal menyinari setiap ceruk dan lorong di negeri Sarawak! Teringat aku akan pesan guru yang dihormati dan disayangi, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwi, bahawa seorang pendakwah itu seharusnya mengambil kira saki baki keimanan yang masih ada pada diri setiap individu dalam mendekatinya. Saki baki keimanan itu ibarat bara api yang kecil, seandainya dijaga dan ditiup dengan betul, nescaya apinya akan marak semula!

Kami berkembara daripada Kuching ke Balai Ringin, kemudian ke Sri Aman, seterusnya ke Betong, kemudian ke Bintulu dan akhirnya ke Miri. Pelbagai kenangan yang diperolehi, yang tidak mungkin mampu aku coretkan semuanya di sini. Cukuplah sekadar aku sertakan di bawah beberapa gambar-gambar pilihan kerana sepertimana kata pepatah Inggeris: a picture is worth a thousand words! Buat semua ahli Kembara Hijrah 1430 sekalian, terima kasih diucapkan atas komitmen dan kerjasama yang luarbiasa yang kalian berikan! Mudah-mudahan Allah merahmati kalian, menyinari hidup kalian dengan pancaran HidayahNya tanpa putus! Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat, antaranya yang semenjak daripada zaman persekolahan lagi telah bersama dalam perjuangan ini. Semoga Allah merahmati kalian.

Santapilah, rakaman wajah Kembara Hijrah:


Para peserta mendengar taklimat di hari pertama, bertempat di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching.

Sesi perbincangan dalam kumpulan sebelum bertolak daripada Kuching bagi membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan di tempat yang akan disinggahi.

Persinggahan pertama adalah di Kampung Melayu, Balai Ringin. Kelihatan para peserta sedang bergotong-royong membersihkan masjid di kampung tersebut.

Persembahan Maulid Daiba'ie semasa penutupan program di Balai Ringin.

Sebahagian peserta Kembara Hijrah bersama ibu angkat mereka di Balai Ringin.

Ketika majlis sambutan di Masjid Bandar Sri Aman.

Bergotong-royong mengecat pagar Masjid Bandar Sri Aman.

Aku bersama tuan Penghulu kampung-kampung Melayu di Betong ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Jamek Betong.

Persembahan silat daripada para peserta Kembara Hijrah ketika malam persembahan di Betong.

Sebahagian para peserta lelaki ketika di Betong.

Sebahagian peserta perempuan ketika di Betong.

Gotong-royong pembersihan Masjid Asy-Syakirin, Bintulu.

Keadaan di dalam salah sebuah daripada tiga buah bas yang digunakan untuk kembara ini.

Ketika sesi resolusi Kembara Hijrah di Perkampungan Sukan Petronas, Miri.

Di akhirnya, Himpunan Belia Islam Sarawak di Dewan Suarah, Miri.


 
Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
8:30 am ×

Assalamualaikum!

Naim, berbanyak terima kasih untuk segala input untuk seluruh prog Unit Sosio-Budaya, BPPMIS sepanjang tahun 1429H...doa senantiasa meiringi ingatan supaya balasan setimpal amal daripada Allah swt. Agar terus diberi kekuatan dan kebijaksanaan untu meneruskan perjuangan pada tahun ini. Kembara Hijrah 2008 tetap segar dalam ingatan, insya'Allah dan prog sepanjang tahun lepas menjadi pengajaran dan pemangkin usaha untuk tahun ini dan tahun-tahun mendatang...semoga Allah memberi kesempatan usia dan kekuatan, insya'Allah!

Reply
avatar
sab solhi
admin
1:24 pm ×

Assalamualaikum...
abg naim, ingat sab agik??
kmk mok mtk gambar2 masa PEWARIS boleh?

Reply
avatar