Peringatan Pasca Pilihanraya

Pilihanraya Umum ke-12 yang telah menyaksikan keputusan yang tidak dijangkakan berlaku seolah-olah meletakkan rakyat negara ini dalam keadaan terkejut dan tergamam sehingga ke hari ini. Ada yang gembira, ada yang lega, ada yang sedih dan ada yang risau dengan perkembangan terbaru politik tanahair. Tadi aku menghadiri satu forum bertajuk “Ke Mana Malaysia? Analisa Keputusan Pilihanraya Umum Ke-12” anjuran Strategic Information Research & Development Centre (SIRD) bertempat di KL & Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur. Forum tersebut membincangkan beberapa analisis yang dibuat berkaitan Pilihanraya Umum ke-12 ini. Apa yang pasti, penganjuran dan penyertaan dalam forum itu sendiri menunjukkan bahawa rakyat negara ini sudah lebih matang dan lebih bijak dalam menjalani peranan sebagai masyarakat yang demokratik.

Sekarang ini, apa yang penting dan menarik untuk diperhatikan adalah bagaimanakah para pemimpin politik mencorak suasana politik negara dalam suasana yang baru ini. Antara faktor kemenangan mengejut parti-parti alternatif dalam Pilihanraya Umum Ke-12 baru-baru ini adalah tahap kematangan pengundi yang semakin tinggi. Antara faktornya adalah kerana semakin ramai pengundi mendapat akses kepada informasi dan berita alternatif dengan adanya kecanggihan teknologi seperti Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Teknologi-teknologi ini juga membuka ruang yang lebih besar untuk rakyat berforum dan berbincang tentang isu-isu semasa, termasuklah politik. Justeru, perkembangan terbaru ini harus diperhatikan secara serius oleh semua parti politik. Pengundi kini tidak lagi boleh disogok dengan propaganda-propaganda murahan. Sebaliknya, pengundi kini sudah semakin bijak dan semakin objektif dalam menilai isu serta lebih berani untuk menghukum pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawab.

Antara pengajaran penting yang perlu diambil oleh semua wakil rakyat yang dilantik adalah supaya tidak bersikap sombong. Sikap sombong dan memandang rendah kepada pengundi dan masyarakat keseluruhannya adalah antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon-calon Barisan Nasional (BN). Para pemimpin politik harus memahami hakikat bahawa tanggungjawab yang dipikulkan di atas bahu mereka untuk memimpin masyarakat adalah satu tanggungjawab yang akan dinilai dan dibalas oleh Allah S.W.T. Mereka juga harus memahami dan menyedari bahawa segala kemampuan dan kebolehan untuk mereka memimpin juga datangnya daripada Allah Yang Maha Kuasa. Justeru, pemimpin berjiwa besar yang benar-benar beriman dan bertaqwa sudah tentu akan memahami bahawa setiap tindak-tanduknya sebagai pemimpin akan dibalas oleh Allah. Apabila sudah memahami keadaan ini, apakah mungkin ada pemimpin yang akan sombong dan bongkak merasakan bahawa kekuasaan itu hak milik mereka?

Renungi ucapan Saidina Abu Bakar as-Siddiq tatkala beliau dilantik sebagai khalifah umat Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.; “Wahai manusia, sesungguhnya saya telah diserahkan dengan urusan kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik untuk kamu. Sekiranya saya bertindak baik maka bantulah saya, jika saya tidak betul maka luruskanlah saya. Kebenaran itu amanah, pendustaan itu khianat.

Perhatikanlah dalam kata-kata seorang pemimpin bagi seluruh umat Islam itu, nilai kerendahan diri dan tawadhu’ yang terpancar. Saidina Abu Bakar bukanlah calang-calang pemimpin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menenangkan keadaan kaum muslimin yang kaget setelah kewafatan Rasulullah. Beliaulah yang dengan ketegasan seorang pemimpin memastikan agenda dan perancangan yang telah disusun oleh Rasulullah terus berjalan, walaupun dalam keadaan umat kesedihan kerana menangisi pemergian Rasulullah. Beliaulah juga orang yang dimuliakan oleh Rasulullah seperti yang tercatat dalam beberapa hadis; antara lain digambarkan bahawa iman Saidina Abu Bakar tidak mungkin ditandingi oleh iman seluruh umat manusia sekalipun. Namun, orang yang sehebat ini masih lagi minta untuk ditegur andainya melakukan kesilapan.

Inilah sikap yang penting yang perlu ada di kalangan pemimpin-pemimpin di negara ini. Para pemimpin politik harus ada jiwa besar dan kesediaan untuk mengakui kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Adalah tidak wajar untuk para pemimpin negara menutup kesilapan dan kelemahan dengan laporan-laporan palsu dan memperdaya (deceiving) semata-mata untuk kelihatan unggul dan terus meraih undi.

Para pemimpin politik juga harus ingat bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat untuk memimpin negeri-negeri dan juga negara ini bukanlah tiket untuk melakukan sesuka hati. Janji-janji yang ditabur sebelum pilihanraya haruslah ditunaikan. Jangan berani bermain dengan kepercayaan yang diberikan oleh para pengundi. Dalam Islam sendiri, soal janji adalah soal yang sangat penting sehinggakan memungkiri janji itu adalah salah satu daripada ciri-ciri orang yang munafiq. Oleh sebab itulah para pemimpin politik haruslah bekerja keras dan meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan peribadi dan parti politik masing-masing.

Dalam masa yang sama, semua pihak harus bersikap matang dalam berpolitik. Adalah tidak wajar untuk parti pemerintah negara mengabaikan negeri-negeri yang kini diperintah oleh parti pembangkang. Parti pembangkang serta parti pemerintah perlu bekerjasama demi memastikan pembangunan dapat diteruskan dan rakyat terus menikmati hasil daripada kemajuan negara. Usahlah dijadikan perbezaan ideologi sebagai alasan untuk merencatkan pembangunan serta seterusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan. Apa yang lebih penting sekarang ini adalah nasib rakyat dan negara, bukannya imej dan kedudukan parti-parti politik masing-masing.

Parti-parti pembangkang juga tidak harus terlalu seronok dan ‘terbawa-bawa’ dengan kemenangan besar yang diperolehi kali ini. Seperti yang telah kukatakan tadi, kemenangan di beberapa negeri tertentu itu bukanlah tiket untuk melakukan sesuka hati. Pemerintah negeri haruslah bertindak secara bijaksana, bukannya secara terburu-buru ingin melaksanakan agenda masing-masing. Dalam hal ini, para penyokong parti juga perlu diingatkan bahawa kemenangan parti mereka bukanlah bermaksud mereka punya kebebasan atau tiket untuk melanggar undang-undang negara serta adab etika agama dan bangsa.

Selain daripada itu, adalah penting untuk diperingatkan kepada semua aktivis gerakan Islam khususnya bahawa tugas dan peranan sebagai pendakwah itu harus diteruskan. Prinsip non-partisan yang memberikan kita kebebasan untuk menilai sesuatu isu atau pihak secara objektif dan adil perlu terus dipertahankan. Kewujudan kelompok ‘pendakwah’ adalah penting untuk menjadi kuasa pendesak ketiga serta ejen penyemak dan pengimbang (check & balance) bagi sesiapa sahaja yang berada di tampuk pemerintahan. Kemenangan yang agak besar bagi pihak pembangkang bukanlah bermaksud para pendakwah boleh terus berehat dan menikmati hasil kejayaan bersama parti pembangkang. Sebaliknya, golongan pendakwah perlu terus memainkan peranan mereka untuk membuat teguran dan memberikan peringatan secara adil, tanpa mengira parti mana sekalipun yang menjadi pemerintah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfa’at.
(Surah Al-A’laa, ayat 9)

Previous
Next Post »