Syabas semua, selamat datang ke gelanggang intelektual!

Keghairahan orang ramai menganalisis dan memerhatikan perkembangan politik terbaru tanahair telah membayangi pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2007. Seramai 439,255 orang calon SPM, 66,047 calon STPM dan 4,920 calon STAM mendapat keputusan mereka semalam namun kehangatan suasana negara selepas Pilihanraya Umum ke-12 ternyata masih mendominasi dada-dada akhbar. Kepada semua calon-calon SPM, STPM dan STAM: syabas dan tahniah diucapkan!

Bagi yang telah berjaya mencapai keputusan yang baik (dari segi koleksi ‘A’ yang anda perolehi), sekalung tahniah diucapkan. Mudah-mudahan pencapaian itu mampu dijadikan sebagai batu loncatan untuk kalian terus mengembangkan kapasiti intelektual. Bagi yang tidak mampu mendapat ‘A’ yang banyak, usah berdukacita kerana keputusan itu bukanlah bermakna masa depan anda sudah gelap. Kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup bukanlah (semata-mata) dinilai berdasarkan bilangan ‘A’ yang anda perolehi dalam peperiksaan. Sama ada anda memperolehi ‘A’ yang banyak atau sedikit, atau tiada ‘A’ langsung, apa yang penting sekarang adalah bagaimana anda menyikapi keputusan yang telah diperolehi. Sikap dan reaksi anda terhadap keputusan peperiksaan itulah yang akan menentukan hala tuju anda dalam kehidupan.

Wajar juga untuk diberikan kalungan tahniah yang istimewa buat adik Azali Azlan yang mendapat 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan SPM. Pencapaian adik Azali mengatasi pencapaian yang telah dibuat oleh adik Siti Fatimah Binti Mukhtar yang mendapat 17 1A dan dua 2A pada peperiksaan SPM 2006. Apa yang menarik untuk diperhatikan adalah latarbelakang adik Azali Azlan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan. Sepertimana adik Siti Fatimah Mukhtar daripada Maahad Muhammadi (P), Kelantan, adik Azali Azlan juga belajar di sekolah agama yang sudah tentunya mempunyai, sedikit sebanyak, pendidikan asas agama yang baik.

Agak menarik apabila kita memerhatikan petikan kata-kata adik Azali Azlan seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian;

Memang guru ada menasihati saya supaya menimbangkannya baik-baik kerana bimbang saya tidak boleh ‘cope’, tetapi saya percaya pada Tuhan dan diri sendiri,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Saya belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di kelas. Saya tiada sebarang jadual waktu, sebaliknya hanya belajar apabila ada semangat dan keinginan kerana bagi saya, jadual waktu memberi tekanan,” katanya.

(Sumber: Berita Harian, 13 Mac 2008)

Dua perkara yang menarik untuk diperhatikan dalam kata-kata adik Azali Azlan tersebut. Pertama, soal kepercayaan dan kebergantungan kepada Tuhan yang menggambarkan latarbelakang pendidikan asas agama yang wujud dalam diri adik Azali. Hal yang sama telah turut ditunjukkan oleh adik Siti Fatimah Binti Mukhtar pada tahun lepas, yakni soal tawakal kepada Tuhan setelah usaha yang gigih dilakukan. Keadaan ini seharusnya memberikan motivasi dan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan kepada generasi muda Muslim bahawa orang Islam adalah orang yang berakar teguh dalam dirinya teras budaya ilmu yang murni. Penghayatan dan pegangan yang teguh terhadap asas-asas agama akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan intelektual dan akademik. Perhatikanlah bagaimana tokoh-tokoh ilmuan Islam terdahulu seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Haitham dan yang lain-lainnya, semuanya merupakan ilmuan yang multi-disiplin. Peribadi-peribadi seperti itulah yang kita ingin lahirkan buat umat Islam; dan peribadi itu hanya mungkin lahir melalui adunan ilmu-ilmu asas (fardhu ‘ain) dan ilmu-ilmu alat (fardhu kifayah).

Apa yang menarik juga tentang adik Azali adalah beliau belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di kelas. Disiplin yang menebal yang wujud ini semestinya hanya mungkin terhasil apabila soal pengurusan diri, yang diajar melalui asas-asas agama, telah dibentuk terlebih dahulu. Anak muda dan masyarakat keseluruhannya juga perlu mengambil pengajaran, bahawa untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan itu tidak semestinya hanya dengan satu cara. Kadang-kala, adalah penting untuk para guru, para ibubapa dan para pelajar sendiri untuk keluar daripada kepompong pemikiran konvensional serta budaya-budaya lapuk yang tipikal dan mencuba kaedah-kaedah baru untuk mencapai kecemerlangan. Mungkin menarik untuk kita renungi tulisan Sean Covey, dalam bukunya “The 7 Habits of Highly Effective Teens”: “Don’t let school get in the way of your education.

Apapun, buat adik Azali dan semua calon SPM, STPM dan STAM, apa yang penting kini adalah langkah seterusnya. Anda kini sudah melepasi tahap persekolahan menengah dan masuk ke dalam satu alam baru, yakni alam pengajian tinggi. Di alam pengajian tinggi inilah dunia intelektual serta dunia akademik yang lebih mencabar bermula. Keputusan peperiksaan anda tidak akan memberikan erti yang besar dalam dunia intelektual ini. Sebaliknya, apa yang penting adalah sejauh manakah budaya ilmu sudah berakar dalam diri anda. Cabaran dalam kehidupan, dalam dunia sebenar, tidak melihat kepada bilangan ‘A’ atau setinggi mana markah gred yang diperolehi, tetapi sebaliknya melihat kepada kebijaksanaan anda menterjemah serta menatijahkan ilmu yang ada kepada realiti.

Dalam dunia pengajian tinggi inilah anda akan diuji, sama ada anda seorang yang benar-benar mencintai ilmu atau sekadar mengejar segulung kertas bernama ijazah. Dalam dunia ini jugalah tempat anda mencabar dan dicabar pemikiran, yang akhirnya kelak akan menentukan bagaimanakah peranan anda dalam masyarakat. Manfaatkanlah ruang berada di Menara Gading dengan sebaik-baiknya. Timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak-banyaknya. Ingatlah bahawa ilmu dan pengalaman itu bukan hanya ada dalam bilik kuliah, tetapi juga berada di persekitaran anda, terkunci dalam peranan mahasiswa yang perlu anda jalankan dengan sebaik-baiknya.

Ramai mahasiswa yang lahir daripada dunia pengajian tinggi menjadi tidak lebih daripada seorang ‘robot’, yang hanya tahu membuat apa yang disuruh dan hanya pandai dengan apa yang telah tercatat dalam nota-nota kuliah di universiti. Inilah antara faktor yang menyebabkan negara masih mempunyai lebih daripada 300,000 penganggur. Kerana, untuk melahirkan manusia berperibadi unggul daripada alam pengajian tinggi memerlukan kepada kepada pengembangan pemikiran serta pemupukan budaya ilmu yang menebal. Budaya ilmu yang menebal akan ditandai oleh kesungguhan mahasiswa itu untuk melakukan kajian, membuat analisis secara objektif, mendampingi para ilmuan dan intelektual, membanyak dan meluaskan pembacaan, serta mencabar idea-idea dan maklumat yang tidak tepat. Inilah budaya sebenar di Menara Gading.

Bakal mahasiswa sekalian, selamat datang ke gelanggang intelektual!

Previous
Next Post »