Fahaman Wahhabiyyah Itu Memang Ada


Semenjak kebelakangan ini ada kecenderungan dalam kalangan mereka yang berfahaman Wahhabiyyah, atau setidak-tidaknya terpengaruh dengan fahaman tersebut tanpa mereka sedari, untuk mendakwa bahawa tuduhan sesetengah ilmuan kepada sesetengah tokoh sebagai berfahaman Wahhabiyyah adalah tidak berasas. Mereka mendakwa bahawa label “Wahhabiyyah” adalah ciptaan dan rekaan golongan ilmuan tersebut untuk mengenepikan atau merendah-rendahkan tokoh-tokoh yang tidak sefahaman dengan mereka.

Hakikatnya, fahaman Wahhabiyyah adalah fahaman yang wujud dan secara jelasnya berpegang kepada prinsip-prinsip yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kemunculan, dan seterusnya perkembangan fahaman Wahhabiyyah ini dirakam kemas dalam sejarah. Sejarah tidak menipu. Oleh sebab itu, perkembangan fahaman Wahhabiyyah ini dirakam dan diceritakan oleh ramai para ilmuan dan sejarawan, termasuk daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam mahupun yang bukan beraliran Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Buku bertajuk “Wahhabism: A Critical Essay” ini adalah sebuah karangan yang ditulis oleh seorang yang berfahaman Syi’ah, Prof. Emeritus Dr. Hamid Algar. Beliau merupakan seorang professor di University of California, Berkeley (UC Berkeley). Kepakaran beliau adalah dalam kesusasteraan Farsi dan Arab, dan juga dalam sejarah kontemporari Iran, Turki, negara-negara Balkan, dan Afghanistan. Melalui perspektif kajian sejarah, beliau menerangkan bagaimana fahaman Wahhabiyyah berkembang bermula daripada gerak kerja yang dibuat oleh Muhammad bin Abdul Wahab sehinggalah beberapa generasi selepas kewafatannya. Dalam buku ini juga beliau menegaskan bahawa Wahhabiyyah tidak boleh dianggap sebagai fahaman “ahli sunnah yang melampau”, kerana fahaman Wahhabiyyah ini telah ditolak oleh para ‘ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah semenjak daripada awal kemunculannya lagi sebagai fahaman yang “menyeleweng”.

Malah, dalam buku “Wahhabism: A Critical Essay” ini juga penulis telah menerangkan bagaimana kumpulan pengganas Taliban di Afghanistan terbit hasil daripada fahaman Wahhabiyyah. Justeru, memahami sejarah fahaman Wahhabiyyah ini adalah antara perkara yang boleh membantu kita dalam memahami ancaman dan bahaya yang dibawa oleh fahaman Wahhabiyyah, dan kenapa fahaman ini ditentang oleh majoriti ‘ulama dalam dunia Islam. Buku yang saya sebutkan di dalam penulisan ini hanyalah salah satu buku daripada begitu banyak penulisan yang mengingatkan tentang bahaya dan penyelewengan fahaman Wahhabiyyah ini. Jika fahaman Wahhabiyyah itu hanyalah rekaan semata-mata, mana mungkin ada banyak penulisan sama ada daripada aspek sejarah mahupun daripada aspek pemikiran Islam yang menceritakan dan menolak fahaman tersebut.

Semoga Allāh Subhānahu wa ta’āla membuka pintu-pintu hati kita untuk melihat yang hak sebagai hakikat, dan yang batil sebagai kebatilan.

Wallahu’alam.

Naim Zulkipli
15 Februari 2023
Previous
Next Post »