Guru Hukum Murid: Cadangan Ringkas Untuk Penambahbaikan

Guru Hukum Murid: Cadangan Ringkas Untuk Penambahbaikan




Sekali lagi, negara dihebohkan dengan isu guru merotan pelajar. Berikut pandangan dan cadangan saya. Pandangan ini tiada disebabkan atau ditujukan kepada mana-mana parti politik - kerana isu yang sama pernah berlaku semasa zaman pemerintahan BN, dan berlaku juga pada zaman pemerintahan PH kini.

[1] Perkara pertama yang perlu difahami, adalah bahawa seorang guru itu adalah insan yang mulia dan mempunyai kedudukan yang tinggi - lebih tinggi daripada para Menteri dan Perdana Menteri. Peranan seorang guru lebih penting dan besar daripada para Menteri, Perdana Menteri, mahupun mana-mana CEO. Ketinggian kedudukan para guru adalah kerana mereka mengajarkan ilmu. Ilmu itu mulia. Kegagalan seseorang itu untuk memahami dan melihat seorang guru dengan penuh ketinggian dan rasa hormat adalah salah satu bentuk kekeliruan dalam cara fikir, terbit daripada pandangan alam yang merendah-rendahkan ilmu. Akhlak yang mulia terbit daripada ilmu yang benar, maka seseorang yang merendah-rendahkan ilmu akan terbitlah daripada dirinya akhlak yang tidak sempurna.

[2] Guru bukan malaikat. Guru adalah manusia. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini melainkan baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. Justeru, menghukum seorang guru hanya kerana satu kesalahan (sedangkan guru itu telah bertahun-tahun berkhidmat mengajarkan ilmu) adalah sesuatu yang pelik dan tidak wajar sama sekali. Kita seringkali mengajar masyarakat supaya tidak terlalu cepat menghukum orang yang melakukan kesalahan, tetapi dalam masa yang sama ibubapa begitu pantas ingin menghukum guru yang pada pendapat mereka telah melakukan kesalahan terhadap anak mereka.

[3] Kemuliaan dan ketinggian kedudukan seorang guru itu bermakna kedudukan (kemuliaan) seorang guru tidak sama dengan kedudukan seorang murid. Justeru, layanan yang diberikan kepada guru tidak boleh sama dengan layanan kepada anak murid. Dalam tradisi Islam, dan juga dalam tradisi semua tamadun-tamadun keilmuan yang hebat, kemuliaan seorang guru itu begitu dipelihara sehingga seorang anak murid itu mewajibkan dirinya untuk berkhidmat kepada gurunya ibarat seorang hamba abdi. Berkhidmat serta merendah dan menghinakan diri di hadapan seorang guru itu adalah rahsia keberkatan ilmu pengetahuan, dan dengan sebab itu ilmu itu mudah difahami. Jika memuliakan seorang guru itu memudahkan kefahaman, maka menghina seorang guru itu akan menyukarkan kefahaman ilmu.

[4] Jika kita benar-benar ingin memajukan diri, keluarga, dan negara ini, maka tidak boleh tidak budaya ilmu mesti diterapkan. Tidak pernah wujud dalam sejarah dunia sebuah tamadun yang membangun hebat dan kekal lama atas sebab selain daripada perkembangan ilmu pengetahuan. Untuk mencapai hasrat yang besar itu, adalah penting untuk kita fahami bahawa tujuan menuntut ilmu adalah untuk menjadikan seseorang itu manusia yang baik. Tujuan belajar bukan untuk mendapatkan "A" yang banyak dalam peperiksaan awam. Tujuan belajar juga bukan untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar. Tujuan belajar yang sebenar, adalah untuk menjadikan kita manusia yang baik dan berakhlak mulia, berkemahiran tinggi, dan memberikan manfaat kepada umat manusia dan alam seluruhnya.

[5] Cadangan saya yang pertama, wujudkan satu polisi di mana guru diberikan kekebalan daripada undang-undang biasa dalam kes-kes yang tidak melibatkan kecacatan kekal, kehilangan jiwa, dan pencabulan maruah. Dalam kes di mana para guru merotan, mencubit atau menghukum murid dengan cara yang mengakibatkan kesakitan kepada murid, sekiranya didapati hukuman tersebut diberikan dalam keadaan yang tidak wajar, maka saya mencadangkan supaya hukuman maksima yang diberikan kepada guru terbabit adalah dipotong sebahagian gajinya. Sekiranya hukuman diberikan adalah wajar (kerana murid memang melakukan kesalahan), maka pertahankan hukuman tersebut sebagai hak seorang guru.

[6] Cadangan saya yang kedua, adalah supaya diwujudkan polisi atau undang-undang yang menghalang para ibubapa daripada masuk ke dalam kawasan sekolah tanpa kebenaran secara eksplisit daripada guru besar. Kawasan sekolah perlu mempunyai autonomi yang tersendiri. Para guru perlu diberikan ketenangan dan kebebasan untuk melaksanakan tugas mereka tanpa diganggu oleh ibubapa. Sekiranya ibubapa tersebut tidak yakin atau tidak percaya dengan para guru, maka usah dihantar anak ke sekolah. Ajar sendiri anak di rumah (homeschool).

[7] Cadangan saya yang ketiga, hapuskan polisi atau hentikan praktis mewujudkan grup WhatsApp untuk komunikasi antara para guru dan ibubapa. Grup WhatsApp ini adalah antara perkara yang hanya menambah bebanan dan tekanan kepada para guru. Jika perlu, gantikan grup WhatsApp itu dengan channel satu-hala di dalam aplikasi Telegram atau WhatsApp (fungsi itu kini sudah ada). Cukuplah para guru sahaja yang menghantar informasi-informasi penting kepada para ibubapa, tanpa perlu ada apa-apa maklumbalas dan (maaf) soalan-soalan bodoh yang ditanyakan kepada guru-guru.

[8] Di peringkat sekolah rendah, kurangkan subjek dalam kurikulum. Saya cadangkan agar dihapuskan matapelajaran Sains. Gantikan dengan membanyakkan aktiviti ko-kurikulum yang memfokuskan kepada pengukuhan faham agama, asas akhlak, ilmu bahasa, dan soft-skills. Hal ini akan melahirkan para pelajar yang lebih bersedia untuk menguasai ilmu yang mereka minati serta membesar menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada umat manusia dan alam seluruhnya.

[9] Cadangan saya yang kelima, adalah supaya kerajaan dengan segera menghapuskan sekolah vernakular. Kewujudan sekolah vernakular adalah antara hal yang sangat menghambat integrasi nasional dan keharmonian kaum. Sikap saling memahami antara kaum dan hormat-menghormati juga terhambat dengan kewujudan sekolah vernakular. Jika masih ada kaum yang ingin juga ada sekolah aliran mereka, benarkan hanya sekolah swasta yang terus beroperasi. Sebagai ganti kepada penghapusan sekolah vernakular, tambah mata pelajar bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan lain-lain yang difikirkan perlu kepada kurikulum sekolah kebangsaan.

[10] Seterusnya, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan menaikkan taraf gaji para guru - sekurang-kurangnya sekali ganda. Dalam masa yang sama, ketatkan syarat untuk menjadi guru dan tinggikan syarat kemasukan ke institusi pendidikan guru supaya kita dapat memastikan bahawa para guru yang dihasilkan adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar berkualiti dan mempunyai minat yang tinggi terhadap ilmu. Sudah tentu, "syarat" yang saya maksudkan di sini bukan hanya merujuk kepada syarat kelayakan akademik, tetapi melangkaui lebih tinggi daripada itu -- akhlak, adab, dan kecintaan terhadap ilmu.

Sekian beberapa cadangan saya secara ringkas dan spontan untuk difikirkan bersama dan diambil tindakan oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan.
Previous
Next Post »