KEGAWATAN EKONOMI DAN SIKAP KITA



Secara purata, kadar inflasi di Malaysia sepanjang enam tahun lepas adalah 2.5% (sumber). Tahun ini (2017) mencatatkan kadar inflasi tertinggi sepanjang enam tahun lepas; pada ketika artikel ini ditulis, kadar inflasi negara adalah pada 3.8%. Namun, tanpa memerlukan kepada statistik pun, pastinya ramai yang sudah mula merasai kesan perit inflasi. Kos kehidupan bertambah tinggi dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang lain.

Satu perkara yang perlu difahami oleh semua orang adalah: bahawa inflasi itu satu fenomena yang tidak dapat dielakkan selagi kita masih berada dalam sistem kewangan yang menggunapakai wang fiat. Penyelesaian terbaik, sudah tentu, adalah untuk mengubah sistem tersebut. Walau bagaimanapun, kita perlu bersikap realistik. Untuk mengubah sistem memerlukan kepada kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat serta political will yang tinggi dalam kalangan para pemimpin politik -- kedua-duanya berteraskan kepada ilmu pengetahuan yang benar. Hal tersebut masih belum kita miliki, dan menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha mencapainya melalui jalan pendidikan.

Menyedari keadaan bahawa harga barang akan sentiasa meningkat naik, dan kita tidak mempunyai kapasiti untuk mengubah sistem sedia ada dalam masa yang singkat, maka perkara yang boleh kita lakukan sekarang adalah untuk kita mengawal atau mengubah sikap kita sendiri. Ada orang, apabila merasakan kesan perit daripada kegawatan ekonomi, akan mula menjadi emosional. Salah satu respon biasa yang sering kita dengar dan lihat adalah, mereka akan mula menyalahkan orang lain. Tanpa menafikan bahawa sememangnya ada ramai individu dan pihak-pihak yang tidak amanah akan tanggungjawab mereka serta melakukan kesilapan-kesilapan yang menyumbang kepada kesan buruk ekonomi, perlu kita ingat bahawa perkara tersebut telahpun berlaku dan kita tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sikap orang lain. Namun, kita boleh mengubah sikap kita sendiri.

Menghabiskan masa dan tenaga kita untuk menyalahkan orang lain, dan seterusnya mengutuk-ngutuk orang tersebut di laman sosial, adalah sikap yang sangat tidak sihat. Melayan kemarahan dengan emosi, dalam konteks Islam, hanyalah melayan bisikan-bisikan jahat syaitan. Kita hanya menambah hal-hal negatif dalam kehidupan kita, yang menyebabkan kita terus-menerus berada dalam situasi yang sama (jika tidak pun bertambah teruk).

Sikap yang terbaik yang perlu kita ambil adalah memfokuskan seluruh tumpuan, masa dan tenaga untuk memikirkan dan mengusahakan cara-cara untuk mengeluarkan diri kita daripada tekanan ekonomi. Ada banyak cara dan usaha yang boleh kita lakukan. Antara contoh yang baik, yang semakin popular semenjak kebelakangan ini, adalah melibatkan diri dalam perniagaan sampingan. Ada banyak perniagaan yang anda boleh ceburi tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar. Anda boleh melakukan perniagaan berbentuk dropship, atau melibatkan diri dalam perniagaan multi-level marketing. Ada juga orang yang melibatkan diri dalam perdagangan saham dan perdagangan matawang (forex). Semua ini adalah bentuk-bentuk usaha yang boleh anda lakukan.

Selain daripada itu, anda juga boleh menyimpan emas sebagai pelaburan jangka masa panjang. Anda juga boleh melaburkan wang melalui platform yang sah dan mudah - seperti Unit Trust, demi membina aset anda di masa hadapan. Melabur wang untuk mengembangkan aset adalah salah satu perkara lazim yang dilakukan oleh orang yang kaya -- kerana mereka faham bahawa itulah salah satu cara terbaik untuk mengembangkan aset mereka. Pesan mudah Robert Kiyosaki dalam bukunya "Rich Dad, Poor Dad" adalah: orang kaya bertambah kaya kerana mereka menghabiskan duit membeli aset, manakala orang miskin bertambah miskin kerana menghabiskan duit membeli liabiliti. Tirulah mereka. Asingkan sedikit duit untuk dilaburkan dan dikembangkan, kerana seperti yang anda sendiri sedia maklum, pada masa hadapan harga barangan akan menjadi semakin mahal. Anda pasti tidak akan mampu untuk menempuh alam tersebut sekiranya wang simpanan anda kekal tidak berkembang.

Semua ini anda boleh lakukan -- tetapi hanya jika anda membuang pemikiran-pemikiran yang negatif. Perlu diingatkan juga bahawa "usaha tangga kejayaan". Anda tidak mungkin akan mampu keluar daripada kesempitan sekiranya anda tidak berusaha dan bekerja. Tidak ada jalan pintas; semua usaha yang disebutkan di atas memerlukan kepada pelaburan wang, masa, dan tenaga.

Jika anda mula melaburkan wang, masa dan tenaga daripada sekarang, maka ada kemungkinan pada satu hari nanti anda akan mengecapi kelapangan harta. Tetapi jika anda tidak bermula daripada sekarang, maka pasti sampai bila-bila pun anda tidak akan mampu mengecapi kelapangan harta tersebut.

-----
Abdul Muntaqim bin Zulkipli
Licensed Unit Trust Consultant
📲 019-8285019
Previous
Next Post »