Pelajar sekolah vernakular wajib kuasai Bahasa Malaysia

Pada ketika Malaysia masih berdepan cabaran-cabaran daripada luar dan dalam, khususnya cabaran terhadap kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, Sultan Perak tampil (sekali lagi) dengan titah yang sangat penting dan relevan. Beliau sultan yang wajar diangkat sebagai pemimpin contoh di negara ini.

Daripada dahulu lagi saya selalu menekankan tentang kepentingan bahasa Melayu. Bukan hanya kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara ini seperti dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi lebih penting daripada itu adalah kerana bahasa mempengaruhi budaya dan pandangan alam penuturnya. Sekiranya bahasa Melayu yang merupakan bahasa utama rakyat negara ini tidak dikuasai oleh semua penduduknya, maka mustahil kesepaduan dan keharmonian yang sebenar akan dapat dibina kerana pada peringkat yang sangat fundamental - sistem nilai - rakyat tidak mempunyai kesepakatan.

Pelajar sekolah vernakular wajib kuasai Bahasa Malaysia - Sultan Nazrin

Shafiq Noordin, Astro Awani | Diterbitkan pada Oktober 23, 2017 12:50 MYT


IPOH: Sekolah vernakular wajar mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar yang mengikuti persekolahan aliran itu menguasai Bahasa Malaysia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar sekolah vernakular seharusnya berada pada tahap tertinggi iaitu kefasihan setanding atau lebih baik daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

"Ia sesuatu yang janggal dan ironis jika terdapat seseorang individu bertaraf warganegara Malaysia dan mendapat segala nikmat dan keistimewaan sebagai seorang warganegara tetapi tidak boleh memahami, bertutur, menulis serta membaca dalam bahasa kebangsaan.

"Bahasa merupakan medium yang dapat menjalin dan merapatkan hubungan manusia. Keupayaan menguasai bahasa pertuturan serta penulisan yang sama adalah prasyarat memungkinkan berlakunya komunikasi," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Menteri Besar Datuk Seri Dr, Zambry Abd Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sultan Nazrin menambah, usaha untuk memastikan setiap pelajar sekolah vernakular menguasai sekali gus fasih perlu diterima sebagai satu cabaran selain dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pencapaian sekolah vernakular.

Dalam pada itu, beliau bertitah, keterbukaan kerajaan membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi wajib dihargai dengan membuktikan sekolah vernakular juga berupaya menjadi sebuah sekolah sebagai tapak memupuk perpaduan.

"Kejayaan sekolah vernakular mendidik pelajar hingga menguasai dan fasih bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu selain meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini terhadap sekolah vernakular," titah baginda.

[ Sumber: Astroawani.com ]

------
p.s.: sebagai seorang yang mempunyai darah keturunan negeri Perak, saya bangga dengan Tuanku Sultan. Daulat Tuanku!
Previous
Next Post »