Imam al Bukhari Sandaran Ahli Sunnah wal Jamaah

Pada penghujung bulan Julai yang lepas, kami telah berjaya menganjurkan sebuah seminar yang cukup penting yakni "Seminar Antarabangsa Imam al Bukhari: Imam Ahli Sunnah wal Jamaah". Seminar ini dianjurkan bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat lagi seorang tokoh yang namanya sangat tidak asing dalam kalangan umat Islam, tetapi hakikat kedudukan serta ketinggian maqam beliau mungkin tidak disedari oleh ramai. Kegagalan untuk mengenali hakikat kedudukan serta kecemerlangan ilmu Imam al Bukhari adalah merupakan salah satu manifestasi daripada fahaman Wahhabiyyah; yang disebabkan kehilangan adab mereka, menyebabkan ada daripada mereka yang merasakan mereka boleh / layak / mampu untuk mempertikaikan atau mempersoalkan penilaian Imam al Bukhari terhadap hadith Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.




Pentingnya untuk umat Islam pada hari ini kembali disedarkan akan hakikat kehebatan dan ketokohan Imam al Bukhari sebagai imam bagi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah kerana pemikiran-pemikiran yang menyeleweng daripada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah seperti fahaman Wahhabiyyah boleh difahami kesalahan mereka apabila umat Islam mengikuti panduan dan pedoman yang telah ditinggalkan oleh Imam al Bukhari. Fahaman mujassimah yang merupakan fahaman songsang yang digunapakai oleh kelompok Wahhabiyyah, khususnya dalam menterjemahkan ayat-ayat al Quran yang bersifat mutasyabihat, adalah pemikiran yang ditolak oleh Imam al Bukhari kerana Imam al Bukhari sendiri telah menunjukkan contoh pentakwilan ayat-ayat mutasyabihat yang betul di dalam kitab al Jami' al Sahih beliau.

Kelompok Wahhabiyyah akan berhujah bahawa mereka tidak mahu mentakwilkan ayat al Qur'an justeru secara langsung menterjemah kalimah-kalimah seperti [يد] dengan maksud "tangan" dan [وجه] dengan maksud "muka" -- kononnya atas dasar mengikut sahaja panduan al Quran dan al Hadith dalam hal tersebut. Imam al Bukhari -- seorang imam agung, pakar hadith Rasulullah -- pun tidak melakukan penterjemahan yang bersalahan dengan sifat Allah tersebut. Imam al Bukhari, apabila perlu, mentakwilkan kalimah seperti [وجهه] dengan makna "kerajaanNya" kerana itulah kaedah yang paling dekat dengan kebenaran. Akan tetapi kelompok Wahhabiyyah menolak pentakwilan seperti itu -- malah mengkafirkan orang yang melakukan pentakwilan seperti itu -- sekaligus bermakna mereka juga mengkafirkan imam kita yakni Imam al Bukhari. Agaknya mereka lupa bahawa Imam al Bukhari adalah seorang hafiz al Quran yang lebih menguasai hadith-hadith Rasulullah daripada mereka!

Kehebatan ilmiah Imam al Bukhari, serta pengajaran-pengajaran penting yang boleh diambil daripada Imam al Bukhari khususnya bagi Ahli Sunnah wal Jamaah, telah dihuraikan dengan amat baik oleh para pembentang sepanjang seminar tersebut. Dimulai dengan ucaptama oleh Y.Bhg. Dato' Haji Muhammad Fuad bin Kamaluddin; kemudian diikuti dengan pembentangan kertas-kertas kerja oleh Maulana Muhammad Abdullah bin Muhammad Amir, Ustaz Haji Muhammad Khafidz bin Soroni, Ustaz Salahuddin bin Azarai dan al Muhaddith Dr. Sayyid Abd al Mun'im ibn Abd al Aziz al Ghumari yang merupakan pembentang istimewa daripada Maghribi.




Saya bersama beberapa orang ahli jawatankuasa seminar sekarang sedang menyiapkan buku prosiding seminar tersebut, yang menghimpunkan semua kertas kerja beserta transkrip ucaptama Dato' Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin yang kami harapkan akan dapat menjadi satu bahan bacaan dan rujukan yang penting bagi umat Islam di Malaysia secara khususnya, dan akan menjadi salah satu sumber (walaupun kecil) bagi mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah.


Previous
Next Post »