Semenjak lebih 10 tahun kebelakangan ini, satu konflik yang telah
sekian lama merobek dan menghancurkan dunia Islam mula dibangkitkan dan di-arus-perdana-kan
di negara ini. Konflik yang dimaksudkan itu adalah aliran pemikiran Wahhabiyyah
yang muncul ke dalam masyarakat, membawa fahaman-fahaman yang menyeleweng, dan
memporak-perandakan umat Islam dengan membawa pendapat-pendapat yang pelik dan
mengelirukan. Apabila ada dalam kalangan umat Islam yang masih murni pemikiran
mereka dengan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah khususnya daripada kalangan ilmuan
yang cuba untuk menegur dan seterusnya mengingatkan masyarakat akan bahayanya
fahaman Wahhabiyyah ini, maka dituduhlah para ilmuan itu sebagai golongan yang
berfikiran kolot, cuba mengeksploitasi agama, mengamalkan bid’ah, taksub kepada
para guru, dan sebagainya.
Sebelum kita selaku orang awam ini terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan
balas daripada para pemuka Wahhabiyyah di negara ini, marilah kita bersama-sama
merenungi beberapa perkara.
Baginda Rasulullah sudah pernah mengisyaratkan bahawa umat baginda
akan terpecah kepada 73 golongan dan hanya ada satu sahaja berada di atas jalan
kebenaran. Sepakat para ulama dan majoriti umat Islam atas kefahaman bahawa
satu golongan yang berada atas jalan kebenaran itu adalah kelompok Ahli Sunnah
wal Jamaah. Namun satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian daripada
hadith Nabi tersebut adalah: terdapat 72 golongan yang tidak benar! Diulangi:
72! Bermakna, ada banyak kelompok pada hari ini yang tidak berada di landasan
kebenaran. Maka, dalam kepelbagaian aliran pemikiran yang wujud dalam dunia
Islam pada hari ini, ada kemungkinan yang sangat besar ramai orang yang tidak
mempelajari ilmu-ilmu Islam melalui sumber dan dengan cara yang betul akan
terpengaruh dengan aliran-aliran yang salah yang begitu banyak itu.
Wahhabiyyah bukanlah sebahagian daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kelompok yang kita gelari dengan Wahhabiyyah ini juga mengaku mereka
sebahagian daripada Ahli Sunnah wal Jamaah, dan malah ada segelintir pihak
berkuasa agama di negara ini juga menyatakan demikian dengan alasan bahawa
fahaman Wahhabiyyah hanyalah khilaf
(perselisihan pendapat) yang perlu diraikan.
Hakikatnya Wahhabiyyah bukanlah daripada Ahli Sunnah wal Jamaah,
sepertimana kenyataan yang telah dikeluarkan antaranya oleh Jawatankuasa Fatwa
Kerajaan Negeri Sembilan hasil mesyuarat jawatankuasa tersebut. Ada beberapa
perkara yang sebenarnya menjadi asas mudah untuk kita memahami kenapa
Wahhabiyyah bukan sebahagian daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Pertama, setiap aliran pemikiran atau kelompok ditandai dan
dikategorikan oleh prinsip-prinsip asas yang menunjangi pemikiran kelompok
tersebut. Nama yang diberikan atau dilabelkan kepada sesuatu kelompok itu
hanyalah bagi memudahkan kita untuk mengenalpasti dan menyebut kelompok
tersebut. Setiap kelompok yang diberikan nama ini adalah berdasarkan kepada
prinsip-prinsip yang menjadi tunjang pemikirannya. Prinsip-prinsip penting
dalam aliran Wahhabiyyah adalah tidak sama dengan prinsip-prinsip penting dalam
Ahli Sunnah wal Jamaah.
Bila menyebut perkara prinsip (usul),
maka tidak ada khilaf padanya. Khilaf hanya boleh diterima pada perkara
cabang (furu’). Jika pada hal prinsip
ada khilaf, maka mana mungkin hal
tersebut boleh menjadi prinsip?
Prinsip aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah adalah berpegang kepada aliran
Al Asya’irah wal Maturidiah, yang antara lain mengajarkan prinsip-prinsip
penting ketuhanan melalui Sifat 20. Aliran Wahhabiyyah menolak ajaran Sifat 20,
menuduhnya sebagai bersumberkan falsafah Yunani. Sebaliknya Wahhabiyyah
menggunapakai kaedah tauhid tiga serangkai (tauhid uluhiyyah – tauhid rububiyyah
– tauhid asma’ wa sifat) yang tidak ada langsung asalnya daripada salafussoleh. Ramai dalam kalangan para
ulama yang telah menulis kitab-kitab aqidah, menjelaskan tentang kebatilan
konsep tauhid tiga serangkai ini. Malangnya, silibus pendidikan di negara ini
juga menggunakan konsep tauhid yang batil ini (hasil daripada gerak kerja
Wahhabiyyah yang cuba merosakkan umat Islam di negara ini).
Antara kebatilan tauhid tiga serangkai adalah membawakan kekufuran
kepada umat Islam atas tuduhan tidak menyembah Allah. Contohnya, melalui ajaran
tauhid tiga serangkai ini, kelompok Wahhabiyyah menghukum kafir umat Islam yang
berdoa di kuburan orang soleh atau wali Allah, atas tuduhan bahawa mereka
menyembah kubur. Konsep tauhid tiga serangkai telah menyebabkan penganutnya
berfikiran cetek dan terlalu mudah menghukum kafir. Sedangkan dalam Ahli Sunnah
wal Jamaah, berdoa di kuburan orang soleh atau wali Allah itu termasuk dalam
perbuatan tawassul dan istighathah – yang merupakan perbuatan
yang dibolehkan (dengan dalil-dalil daripada hadith Nabi) yang sama sekali
tidak merosakkan i’tiqad kelompok
Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa hanya Allah tempat bergantung dan memohon
pertolongan.
Kemudian, melalui tauhid tiga serangkai ini juga kelompok Wahhabiyyah –
hasil kerapuhan fahaman aqidah mereka – telah menetapkan jisim dan sifat
makhluk bagi Allah. Menetapkan jisim dan sifat makhluk bagi Allah ini merupakan
syirik yang merupakan sebesar-besar dosa. Antaranya, kelompok Wahhabiyyah ini
menyatakan bahawa Allah “mempunyai tangan”, “mempunyai kaki”, serta “duduk”, “turun”,
“berada di langit” dan sebagainya. Hal ini demikian kerana kecetekan faham
aqidah mereka menyebabkan mereka menterjemah ayat-ayat seperti ( يد الله
فوق أيديهم ) dengan “tangan Allah” atas alasan mereka
tidak mahu “menta’wil” atau “mentafsir” ayat-ayat mutasyabihat seperti itu. Namun, pada hakikatnya tanpa mereka
sedari mereka telah memberikan jisim kepada Allah dengan perkataan “tangan”,
atas alasan ( يد ) dalam
bahasa Arab bermaksud “tangan”. Dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, ayat-ayat
mutasyabihat ini dilalukan sahaja tanpa ditafsirkan, yakni ( يد ) disebut sebagai ( يد ) tanpa diterjemahkan, dan
hakikat maksudnya yang sebenar diserahkan kepada Allah. Ataupun, untuk
mensejahterakan pemikiran yang mungkin akan tertanya-tanya akan maksud ( يد ) itu maka diterjemahkan
kepada maksud lain yang tidak menyalahi prinsip-prinsip ketuhanan seperti dengan
maksud “kekuasaan”. Inilah yang gagal difahami oleh kelompok Wahhabiyyah,
mereka beranggapan bahawa hanya ada satu maksud sahaja bagi perkataan ( يد ). Sedangkan, dalam apa-apa
bahasa sekalipun, sesuatu perkataan itu boleh sahaja membawa terlalu banyak
maksud. Maka, bagi Ahli Sunnah wal Jamaah yang benar-benar menguasai
prinsip-prinsip ilmu aqidah, perkataan-perkataan yang mutasyabihat ini sama ada dibiarkan sahaja tanpa diterjemah
langsung atau jika perlu diterjemahkan, maka diterjemahkan dengan kalimah yang
tidak menyalahi sifat-sifat kesempurnaan Allah.
Maka, sudah jelas bahawa antara Wahhabiyyah dan Ahli Sunnah wal Jamaah
terdapat perbezaan pada prinsip, yakni perbezaan yang fundamental sifatnya. Hal
ini bermakna Wahhabiyyah bukanlah sebahagian daripada Ahli Sunnah wal Jamaah;
dan perbezaan-perbezaan yang fundamental inilah yang menyebabkan para ilmuan
Ahli Sunnah wal Jamaah merasa terpanggil untuk menyedarkan masyarakat akan
bahayanya fahaman Wahhabiyyah ini.
Kedua, setelah kita memahami bahawa Wahhabiyyah ini bukan Ahli Sunnah
wal Jamaah, maka tidaklah susah untuk kita menerima bahawa Wahhabiyyah ini
adalah aliran pemikiran yang salah setelah Nabi mengisyaratkan bahawa ada 72
kelompok umat baginda yang berada atas jalan yang salah. Apatah lagi setelah
Rasulullah sendiri juga telah mengisyaratkan melalui banyak hadith berkaitan
akhir zaman yang menerangkan tentang ciri-ciri kelompok-kelompok yang sesat
seperti Syi’ah Imamiah, Wahhabiyyah, dan lain-lainnya, serta betapa jauhnya
kelompok-kelompok ini daripada Islam. Antara ciri-ciri mereka seperti
diterangkan oleh Rasulullah adalah mereka “rajin
solat, rajin berpuasa, rajin beribadah (lebih rajin daripada Ahli Sunnah wal
Jamaah)” tetapi “terlepas daripada
Islam seperti anak panah yang terlepas daripada busurnya”.
Oleh sebab itu, jauhilah fahaman Wahhabiyyah. Langkah pertama untuk
menjauhi fahaman Wahhabiyyah ini adalah dengan menundukkan sifat ego dan
sombong dalam diri, iktiraf bahawa diri kita ini jahil dan bodoh, dan bahawa
tidak mungkin kita meneruskan kehidupan ini atas jalan agama yang lurus
melainkan dengan bimbingan seorang guru mursyid,
seorang murabbi yang benar-benar
membimbing kita mengikut ajaran Al Quran dan Al Sunnah yang ilmunya merangkumi
segala dimensi aqidah, fiqh dan tasawuf.
#PertahankanAhliSunnahWalJamaah
#SayNoToWahhabi