Sedar atau tidak, kita sedang berada di dalam bulan Rejab yang mulia bagi tahun 1437 Hijri. Di dalam bulan Rejab inilah berlakunya satu peristiwa agung melibatkan Nabi kita, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yakni peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Semua umat Islam di negara ini tahu akan peristiwa ini, kerana tarikh (yang paling masyhur) berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj dijadikan sebagai hari cuti umum. Namun, tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar mengambil prihatin akan peristiwa ini. Ramai yang mengambil kesempatan cuti Isra’ dan Mi’raj untuk melakukan aktiviti-aktiviti peribadi dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan.
Tidak menjadi
kesalahan untuk kita bercuti dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan.
Namun, adalah amat malang sekali jika kita tidak mengambil kesempatan cuti Isra’
dan Mi’raj untuk kita bersama-sama terlibat dalam membesarkan peristiwa yang
agung ini. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj jauh lebih besar maknanya daripada Hari
Raya; bagaimana kita menyambut kedua-dua hari perayaan ini menggambarkan sejauh
mana kekeliruan kita dalam menentukan apakah yang menjadi keutamaan dalam
kehidupan kita ini.
Peristiwa Isra’ dan
Mi’raj adalah peristiwa yang sangat agung untuk kekasih kita, baginda Rasulullah
sallallahu ‘alayhi wasallam. Peristiwa ini sangat bermakna untuk baginda
kerana ketika peristiwa inilah baginda Rasulullah mendapat nikmat yang
tertinggi yakni nikmat melihat Allah, dinobatkan dengan gelaran tertinggi yakni
gelaran habibullah (kekasih Allah), dan dihadiahkan dengan perintah yang
sangat bermakna buat seluruh umat baginda yakni kewajipan ibadah solat.
Namun, ramai dalam
kalangan umat pada hari ini yang tidak dapat “merasai” keagungan dan kehabatan
peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini kerana umat Islam pada hari ini telah dijauhkan
daripada baginda Rasulullah. Terpengaruh dengan aliran pemikiran sekular-liberal,
umat Islam yang diperbodohkan dengan terikut-ikut dengan cara fikir dan
pengalaman Barat dalam beragama telah melihat agama dan segala yang berkaitan
dengan agama sebagai kolot, “outdated”, dan tidak akan membantu untuk pembangunan
dan kemajuan ke arah kemodenan. Manakala yang terpengaruh dengan aliran
pemikiran Wahhabiyyah pula tertipu dengan aktiviti tabdi’ (membid’ahkan)
dan takfir (mengkafirkan) sehingga banyak amalan dan sunnah Nabi yang
terkubur kerana mereka (walaupun mereka sendiri mengaku menegakkan Al Qur’an
dan Al Hadith).
Pengaruh
aliran-aliran fahaman yang menyeleweng daripada prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal
Jamaah tersebut telah menyebabkan umat Islam lemah atau hilang kepercayaan
terhadap salah satu rukun keimanan: yakni percaya kepada perkara ghaib. Dalam
erti kata lain, mereka hilang kepercayaan terhadap hal-hal yang diistilahkan
pada hari ini sebagai hal-hal metafizikal atau spiritual. Oleh sebab itulah
timbul diskusi-diskusi yang cuba menyatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj
itu adalah peristiwa yang berlaku hanya dalam mimpi atau secara roh sahaja,
bukan secara roh dan jasad (sepertimana pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah).
Mereka cuba menjustifikasikan peristiwa Isra’ dan Mi’raj melalui ukuran
saintifik, kerana ilmu sains telah diangkat oleh tamadun Barat sebagai ilmu
yang paling mereka agung-agungkan. Oleh sebab itu jugalah, ramai dalam kalangan
umat Islam pada hari ini ragu-ragu dan malah menolak kebenaran peristiwa yaqazah
– yakni pertemuan dengan baginda Rasulullah atau para awliya’ yang telah
lama meninggal dunia secara sedar dan secara jaga. Mereka menolak peristiwa
seperti itu kerana peristiwa itu adalah sesuatu yang tidak dapat dibuktikan
dengan instrumen saintifik.
Inilah nasib malang
yang menimpa umat Islam pada hari ini. Pengaruh sekular-liberal, pengaruh faham
muktazilah (atau neo-muktazilah seperti diistilahkan oleh sesetengah ilmuan),
telah menyebabkan umat Islam mengikut cara fikir Barat yang meletakkan ilmu
sains itu sebagai ilmu yang tertinggi. Sedangkan di dalam Islam, Al Qur’an dan
Al Hadith itu adalah sumber rujukan yang tertinggi, dan melalui kedua-dua
sumber ini juga mengajarkan kepada kita bahawa para ulama yang merupakan
pewaris Nabi juga adalah rujukan yang perlu diikuti kerana merekalah yang
mempakari dan memahami Al Qur’an dan Al Hadith. Apa sahaja yang datang daripada
Al Qur’an, Al Hadith serta kesepakatan para ‘ulama adalah pegangan kita selaku
umat Islam; apa sahaja yang datang daripada teori mahupun kesimpulan-kesimpulan
kajian saintifik adalah tertolak dan terbatal apabila bercanggah sahaja dengan
sumber-sumber rujukan tertinggi yang disebutkan tadi.
Semoga melalui
peristiwa Isra’ dan Mi’raj 1437 Hijri ini kita akan dapat bersama-sama
membetulkan cara fikir kita serta meluruskan aqidah kita atas manhaj Ahli
Sunnah wal Jamaah, hasil pembelajaran dan renungan kita terhadap peristiwa
agung yang dilalui oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam
ini.
Selamat menyambut
Isra’ dan Mi’raj.