Umat Melayu-Islam Kaya


Ketika membawa rombongan Perkampungan Intensif Al-Qur’an Sesi ke-3 membuat lawatan sambil belajar ke Muzium Kesenian Islam baru-baru ini, saya menemui di sana satu koleksi manuskrip yang tidaklah begitu besar, tetapi cukup untuk menyampaikan kefahaman dan mesej tentang tradisi gemilang orang Melayu dan rantau Melayu: bahawa orang Melayu, diperkasakan dengan pegangan yang amat teguh terhadap agama, adalah kaya. Sangat kaya. Bukan kaya dengan harta semata-mata, tetapi yang lebih penting dan bermakna bagi saya adalah kaya dari segi khazanah ilmiahnya.



Kitab-kitab yang ada yang tarikhnya sekitar kurun ke-19 (tetapi seawal kurun ke-10 di rantau lain dunia Islam seperti di Turki), yang kesemuanya bertulis tangan, membuktikan kepada kita betapa orang Melayu dan agama Islam itu begitu sebati. Saya belum pernah mendengar tentang koleksi lama kitab-kitab atau penulisan tentang agama atau ideologi lain di rantau ini, yang sebanyak koleksi kitab-kitab agama Islam yang ditemui di rantau Melayu ini. Hal ini juga membuktikan betapa kuatnya, betapa sebatinya, dan betapa dekatnya orang Melayu dengan agama Islam – kerana teras atau asas penting dalam agama Islam adalah ilmu.

Bayangkan, dalam suasana atau zaman yang kita anggap belum “moden” itu, umat Melayu-Islam sudah memiliki peradaban yang sangat tinggi. Suasana serta semangat keilmuan yang begitu menebal dapat dirasakan tatkala melihat khazanah kitab-kitab tersebut yang terdiri daripada segenap bidang ilmu: ada kitab tauhid, ibadah, doa, tasawwuf, usul fiqh, balaghah, nahu, mantiq, astronomi, biologi, matematik dan sebagainya.


Apa yang penting juga adalah koleksi kitab-kitab yang ada juga membuktikan betapa umat Melayu-Islam sejak dahulu lagi sudah menulis, memiliki dan berpegang kepada amalan-amalan tradisi yang ditinggalkan para ‘ulama. Kewujudan kitab-kitab maulid yang begitu banyak, termasuk kitab-kitab madih – puji-pujian kepada Sayyiduna Rasulullah, membuktikan bahawa amalan maulid adalah amalan yang diwarisi semenjak zaman-berzaman (kerana kitab-kitab maulid yang dipaparkan daripada zaman Uthmaniyyah adalah seawal kurun ke-10) dan bukannya satu perkara baru di rantau ini sepertimana yang dicanang-canangkan oleh golongan Wahabbiyyah.

Hakikat bahawa amalan maulid ini telah wujud lama di rantau ini, dan kekal sehingga kini menunjukkan kepada kita beberapa hal. Pertama, boleh kita fahami bahawa agama Islam tersebar di rantau ini melalui jalan tersebut, yakni jalan mahabbah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, jalan tasawwuf. Kedua, menunjukkan bahawa amalan maulid – yang selalunya dibawa melalui disiplin tasawwuf – adalah tradisi yang benar dan sahih kerana Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri pernah mengisyaratkan bahawa akan sentiasa wujud di kalangan umat ini satu golongan yang benar, yang tidak pernah terputus (golongan yang berpegang dengan kebenaran itu) semenjak daripada zaman Rasulullah sehinggalah ke hari ini.


Tambah menarik, tatkala saya merayau-rayau di dalam galeri khas yang mempamerkan tentang pengembara-pengembara Islam yang awal di Australia, saya menemukan beberapa kitab-kitab yang masih terpelihara. Ada dua kitab yang tidak mungkin saya lupakan: satu kitab belajar membaca Al-Qur’an (semacam kitab Iqra’ yang digunakan di Malaysia hari ini), dan satu lagi kitab puji-pujian kepada Rasulullah!

Semoga kita pada hari ini dapat meneruskan dan mengembangkan tradisi Islam yang terpelihara sejak zaman-berzaman, dan bukan menghancurkannya.

Wallahu’alam.






Previous
Next Post »