Antara Rasulullah dan Politik...


Suasana politik negara, seperti biasa, terus hangat. Pilihanraya kecil Parlimen Sibu yang baru selesai adalah antara fokus terkini. Melayari Internet – e-mel, blog dan Facebook – saya temui beberapa anak muda yang turut sama melibatkan diri sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan perkembangan politik negara. Ini satu perkembangan yang agak baik. Ternyata kewujudan ‘media baru’ telah membuka ruang yang lebih besar untuk rakyat mendapat pelbagai informasi, lalu mungkin mencetus minat yang lebih besar di kalangan generasi muda – khususnya – terhadap politik tanahair.

Namun, pada masa yang sama keterlibatan generasi muda di dalam politik tanahair berlaku dalam keadaan yang mengecewakan kerana rata-rata generasi muda hari ini (bukan semua) terikut-ikut dengan rentak politik kepartian yang tidak matang. Bagi generasi belia Islam, khususnya, ada yang ‘mabuk’ dalam dunia politik kepartian sehingga mereka seolah-olah melupakan soal adab, akhlak serta pertimbangan ilmiah yang serius dan betul di dalam ‘berpolitik’.

Apapun, kerisauan yang paling utama – yang seharusnya difikirkan bersama oleh setiap individu Muslim di negara ini – adalah bagaimanakah generasi muda Muslim pada hari ini menyusun keutamaannya? Ramai di kalangan generasi muda yang ‘bising’ – menulis di e-mel, blog dan Facebook – apabila ada perlakuan ‘parti politik lawan’ yang tidak disenangi, bersalahan dengan etika, bercanggah dengan peraturan ataupun melanggar syariat Islam itu sendiri. Namun, berapa ramai di kalangan generasi muda yang ‘bising’ apabila baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dihina dan diperlakukan secara biadab? Malah, di tahap yang lebih teruk: berapa ramaikah pula di kalangan generasi muda yang sedar bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sedang dihina dan direndah-rendahkan martabat baginda di negara ini?

Sedangkan, mempertahankan serta memperjuangkan kemuliaan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah antara tugas paling penting bagi umat Islam pada hari ini! Tidak ada gunanya berbangga menggelar diri sebagai ‘pejuang’, ‘reformis’ ataupun ‘pendakwah’ seandainya kita jauh daripada mencintai baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Jangan sesekali kita lupa bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri telah mengingatkan kepada kita bahawa tidak sempurna iman kita seandainya kita tidak meletakkan kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu melebihi kecintaan kita kepada seluruh makhluk yang lain!

Mohon maaf dan renung-renungkan.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
1:43 am ×

cuba baca buku 'genius muhammad bin abdullah-mengungkap kepakaran seorang nabi dalam pelbagai dimensi hidup karangan roziah sidik,pensyarah di u.k.m...

agak bagus juga saudara

Congrats bro amar husaini ismail you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar