Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih. Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Maha Suci Allah daripada menyerupai segala sesuatu. Segala lafaz pujian bagi Allah Yang Memiliki, Menguasai dan Mentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul, sebaik-baik ciptaan Allah, penghulu orang-orang bertaqwa, penghilang duka dan pembawa bahagia, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Lafaz salam juga dipanjangkan kepada ahli keluarga baginda Rasulullah yang mulia dan terpelihara, serta para sahabat baginda yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Pesta cinta sudah bermula! Kehangatan sambutan Maulidurrasul semakin terasa. Malam semalam (Rabu, 17 Februari 2010) berlangsung majlis bersama al-Habib Munzir al-Musawa di Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya. Di Indonesia, al-Habib Munzir al-Musawa adalah nama yang tidak asing. Majlis pengajian beliau sahaja mencecah jutaan orang. Sentuhan al-Habib Munzir di Masjid Al-Falah semalam ternyata hebat. Rata-rata hadirin mengalirkan air mata kerinduan dan kecintaan kepada baginda Rasulullah tatkala al-Habib Munzir mengisahkan sirah Rasulullah serta menceritakan tentang keistimewaan, kemuliaan dan keagungan baginda. Begitulah ‘rasa’ cinta – sesuatu yang tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata, tetapi perlu dirasai dan dihayati melalui pengalaman sendiri untuk mengetahui keindahannya. Sungguh, alangkah bahagianya orang-orang yang berhimpun bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.