Sejenak Di Hillcrest

Pada asalnya saya tidak terfikir untuk menulis tentang program ringkas di SMK Hillcrest, Taman Seri Gombak. Antara sebabnya kerana saya terlupa untuk mengambil gambar sepanjang program tersebut berlangsung. Namun, atas permintaan daripada salah seorang peserta program, adik Farith (blog), maka saya menulis jugalah tentang program tersebut. Program tersebut yang telah dilangsungkan pada 27 Jun 2009 yang lalu adalah merupakan sebuah program yang dirangka khusus untuk semua Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas di SMK Hillcrest. Programnya ringkas, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 1.30 petang. Dengan penyertaan sekitar 100 orang peserta, sememangnya bilangan fasilitator yang dibawa tidak mencukupi.

Dengan persediaan yang agak terbatas, saya hanya bertawakal kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, dengan membanyakkan doa serta melakukan solat sunat hajat agar program tersebut dapat dikendalikan dengan baik. Harapan saya mudah-mudahan apa yang kami sampaikan dalam masa yang terbatas itu dapat meninggalkan sedikit, jika tidak banyak, kesan kepada para pelajar agar tidaklah sia-sia kedatangan kami ke sekolah tersebut. Untuk mengharapkan perubahan yang drastik itu pastinya satu harapan yang terlalu ambitious, tidak realistik. Mengubah peribadi seorang manusia tidak mungkin tercapai dalam program setengah hari! Manusia paling hebat dalam sejarah kehidupan manusiawi, yakni Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pun mengambil masa bertahun-tahun untuk mengubah personaliti manusia. Maka, itulah sunnahnya; bahawa perubahan itu memakan masa.

Syukur, sepanjang program itu dijalankan kami mendapat kerjasama dan partisipasi yang cukup baik daripada para peserta program. Maklumlah, yang menjadi peserta semuanya daripada kalangan pemimpin pelajar; ketua-ketua dan penolong-penolong ketua kelas. Setelah beberapa kali saya hadir ke SMK Hillcrest memberikan ceramah dan pengisian, saya rasa para peserta kali ini adalah yang terbaik. Memang tidak salah mereka dipilih sebagai pemimpin. Cuma, kerisauan di pihak guru-guru sekolah yang merasakan mereka masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebagai ketua dan penolong ketua kelas. Bagi saya, hal itu normal. Mereka dalam proses belajar. Tidak mungkin kita boleh mengharapkan kesempurnaan. Banyak faktor yang harus diambil kira dalam kita menilai proses pembinaan kualiti individu seseorang pelajar itu.

Apa yang saya harapkan mudah-mudahan apa yang telah saya sampaikan semasa kursus pendek tersebut, ada yang mampu diingati oleh para pelajar dan dijadikan sebagai panduan dalam mereka berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti insani yang ada pada diri mereka. Hal ini demikian kerana, apabila menyebut tentang soal kepimpinan, maka perkara asasi yang perlu dibina adalah kualiti insani setiap diri itu; kerana, seperti yang termaktub dalam hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, “setiap diri adalah pemimpin”. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala mengurniakan petunjuk, kekuatan dan Rahmat-Nya ke atas adik-adik ketua dan penolong ketua kelas di SMK Hillcrest.

Saya rasa di kesempatan ini adalah wajar untuk saya rakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua fasilitator yang telah membantu untuk menjayakan program tersebut: Fakhrul Hazim bin Azmi (Monash University), Muhammad Aizuddin bin Mohd. Zamrin (UiTM Shah Alam), Mohd. Syahiran bin Muhammad (KUIS), Mohamad Fairul bin Mohd. Nawawi (UIAM), Shazwani binti Sanusi (Johor), dan khususnya kepada Noor Adibah binti Othman (UIAM). Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala membalas sumbangan dan pertolongan kalian dengan sebaik-baik balasan.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
1:11 am ×

salam..ana pun nak ucapkan terimas yg banyak3 kepada abg naim kerana sudi menjemput ana ke sana...banyak input2, dan pengajaran yang saya belajar dari kursus yg singkat tersebut...hope, there is maybe some follow up for all of the ketua n penolong ketua kelas...insyaallah...

Congrats bro ilusi_Realiti you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar