Nasihat Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri

Rasanya sudah agak lama saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan ulama daripada luar negara. Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala yang telah mengizinkan saya dan rakan-rakan sekalian untuk berkesempatan menghadiri majlis bersama seorang ulama daripada Madinah, Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri, bertempat di Pusat Pengajian Al-Jazari, Bukit Indah, Ampang kelolaan Yayasan Sofa Kuala Lumpur. Kesempatan untuk bersama dengan para ulama yang datang daripada luar negara sudah tentu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Cahaya ilmu dan keberkatan yang diperolehi daripada pertemuan dengan para ulama ini mampu mengubati keresahan dan kerunsingan jiwa. Begitulah, seringkali kuliah-kuliah tuan guru, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menjadi penawar tatkala hati saya diselubungi keresahan.

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyatakan kesyukuran beliau kerana dapat bersama-sama di dalam majlis tersebut. Beliau menyatakan kegembiraannya melihat wajah-wajah penuntut ilmu yang bercahaya. Memang, seperti biasa, para pelajar di Pusat Tahfiz Al-Jazari (Darul Maliki) akan menempati tempat duduk di hadapan pada setiap kali majlis pengajian umum diadakan. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyatakan bahawa sebelum beliau telah pernah datang ke Malaysia, tapi tidak berkesempatan menghadiri majlis seperti ini.

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menceritakan perihal ‘sufi’. Menurut beliau, hasil daripada perbincangan beliau sebelum ini dengan beberapa orang di negara ini, terdapat banyak pendapat dan pandangan tentang sufi yang boleh mengelirukan masyarakat dan orang awam tentang hakikat sufi yang sebenar. Beliau menekankan bahawa para sufi, yakni orang yang mengamalkan ilmu tasawuf, adalah orang Islam yang benar. Beliau menekankan juga bahawa ilmu tasawuf itu adalah daripada Islam; ilmu yang sahih dan benar dan berasal daripada akar ajaran Islam.

Beliau seterusnya menerangkan tentang beberapa sendi dalam agama Islam itu. Pertamanya, dalam Islam ada lima rukun Islam yakni mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Kedua, dalam Islam ada rukun Iman yang terdiri daripada enam perkara yakni beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada para rasul, beriman kepada kitab-kitab yang diwahyukan, beriman kepada hari kiamat, dan beriman kepada qada’ dan qadar Allah. Kemudian, dalam Islam juga ada rukun Ihsan. Rukun Ihsan ini cuma ada satu yakni ‘engkau beribadah dalam keadaan (seolah-olah) engkau melihat Allah, atau dengan mengetahui bahawa Allah melihat engkau’.

Maka, menurut Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri, untuk mencapai darjat Ihsan dalam amal yakni untuk ‘merasakan’ kehadiran Allah Subhanahu wa ta’ala dalam setiap ibadah yang dilakukan, bukanlah suatu hal yang mudah. Namun, menurut beliau, para sufi lah orang yang akan dapat mencapai darjat Ihsan ini. Hal ini demikian kerana pengertian yang sebenar bagi sufi ini adalah orang yang memperelok, memperkemas, serta mencantikkan lagi ibadah mereka. Justeru, secara tidak langsung, apa yang disampaikan oleh Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri membawa pengerti bahawa para sufi adalah orang yang benar-benar mematuhi segala sendi agama; yakni memenuhi tuntutan rukun Islam, rukun Iman, dan rukun Ihsan.

Oleh sebab itu, adalah suatu hal yang penting untuk difahami bahawa bermulanya perjalanan (ke arah meningkatkan darjat dalam ibadah) seorang ahli sufi itu haruslah bermula dengan ilmu. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri memetik kata-kata masyhur seorang ulama berkenaan dengan hal ini. Imam Malik rahimahullah pernah berkata: “Barangsiapa yang mengambil tasawuf tanpa mempelajari fiqh, maka orang itu adalah zindiq. Barangsiapa yang mengambil fiqh tanpa mempelajari tasawuf, maka orang itu adalah fasiq. Barangsiapa yang menghimpunkan kedua-duanya (tasawuf dan fiqh), maka orang itu adalah haq (benar).

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri seterusnya menekankan bahawa bagi para penuntut ilmu, mereka haruslah mengutamakan aktiviti menuntut ilmu daripada menyibukkan diri dengan perkara-perkara sunat seperti zikir-zikir, solat-solat sunat dan sebagainya. Hal ini bukanlah bermaksud mereka tidak boleh beramal dengan perkara-perkara tersebut. Namun, keutamaan harus diberikan kepada aktiviti menuntut ilmu. Dalam erti kata lain, sebahagian besar daripada masa mereka harus diberikan kepada aktiviti menuntut ilmu. Ini adalah kerana menuntut ilmu itu lebih utama daripada amalan-amalan sunat. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyebut satu hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang kira-kira bermaksud: “Satu rakaat oleh orang yang ‘alim, lebih baik daripada 1000 rakaat oleh orang yang jahil.

Di akhirnya, Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri memberikan beberapa pesanan berkenaan dengan hati. Menurutnya, penuntut ilmu yang sebenar itu adalah orang yang memelihara hatinya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terkandung di dalam hati-hati manusia. Justeru, hati manusia itu perlu dijaga agar hati berkata-kata dengan apa yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Sungguh, bagi orang yang berjihad, yakni berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan memelihara hatinya serta berkorban untuk mendapatkan ilmu, pasti Allah akan membukakan pintu-pintu ilmu serta memberikan kemudahan dan pertolongan.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, selesai solat Isyak pada malam itu sempat juga aku bersalaman dan mengucup tangan Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri dan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Semoga Allah merahmati mereka, dan terus mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kepada seluruh para ulama ahli sunnah wal jama’ah yang berdiri teguh atas manhaj Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam agar tabah menghadapi segala ujian dan dugaan serta terus konsisten dalam mendidik hati-hati kami.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »