Persoalan tentang sambutan Maulid Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ternyata belum selesai. Masih ada suara-suara yang mempersoalkan pihak yang giat mengadakan program sambutan Maulidurrasul. Paling kurang menyenangkan adalah apabila ada yang mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu sama seperti kita sebelum baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Saya bukanlah seorang ulama, tetapi sekadar menghadirkan hujah-hujah para ulama Islam yang bersandarkan kepada dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith sebagai mendokong kewajaran mengadakan sambutan Maulidurrasul. Apa yang penting adalah, kalaupun ada yang enggan menyambut Maulidurrasul, maka janganlah disalahkan atau dikritik pihak yang ingin menzahirkan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Pertamanya, harus kita fahami bahawa mencintai Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu dengan kecintaan yang mendalam, mengatasi kecintaan kita kepada segala yang lain, adalah merupakan satu keutamaan; malah, menjadi pra-syarat lengkapnya keimanan seseorang itu. Di dalam sebuah hadith ada diterangkan dengan jelas kewajipan mencintai Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Daripada riwayat Anas r.a., Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa’ie)
Hadith di atas hanyalah salah satu daripada begitu banyak ayat Al-Qur’an, Hadith serta kisah para salafussoleh yang dijadikan hujah dan sandaran bagi menunjukkan kepada kita betapa mencintai Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu adalah merupakan satu kewajipan buat kita. Namun, seterusnya ada juga hujah-hujah yang menyatakan bahawa kita tidak perlu terlalu ekstrim dalam menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, dengan alasan bahawa baginda adalah manusia biasa seperti kita sebelum baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Kenyataan ini juga tidak tepat.
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah insan yang sangat mulia. Kemuliaan baginda mewajarkan kita untuk menzahirkan kecintaan dan kasih kita kepada baginda secara bersungguh-sungguh, secara ekstrim. Ada banyak dalil yang boleh dijadikan bukti tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang cukup hebat. Seorang ulama yang cukup hebat berasal daripada Tonjah, al-‘Allamah al-Muhaqqiq al-Muhaddith as-Sayyid Abu al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani mengarang sebuah kitab yang memuatkan 40 hadith tentang keistimewaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Dalam kitab itu ditunjukkan bahawa kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bermula sejak alam roh lagi.
As-Sayyid Abu al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani menyebut bahawa Abu al-Husin ibnu Bisyran telah meriwayatkan sebuah hadith melalui jalan Ibnu al-Jauzi dalam kitab “al-Wafa bi Fadhail al-Mustafa” dengan lafaz yang bermaksud:
“Setelah Allah menjadikan bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya kea rah (bahan-bahan) langit, lalu diciptakan tujuh langit dengan sempurna. Setelah itu, Allah menjadikan ‘Arasy, dan menulis pada tiang ‘Arasy “Muhammad Utusan Allah, Penutup Para Nabi”. Dia juga mencipta syurga yang didiami oleh Adam dan Hawa, lalu Dia menulis namaku pada pintu-pintu, daun-daun, kubah-kubah dan khemah-khemah syurga; sedangkan ketika itu Adam masih berada (dalam proses kejadiannya) di antara ruh dan jasad. Setelah Adam dihidupkan oleh Allah, dia memandang kepada ‘Arasy, maka dia melihat namaku. Lalu Allah memberitahu kepada Adam, ‘Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah penghulu keturunanmu.’ Ketika mereka (Adam dan Hawa) berjaya diperdayakan oleh syaitan, mereka bertaubat dan memohon syafa’at dengan (perantaraan dan keberkatan) namaku kepadaNya.” (Beliau mengatakan bahawa isnad riwayat ini adalah kuat.)
Nah, hadith itu sahaja sudah menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah seorang yang sangat mulia. Justeru, mana mungkin kita mengatakan bahawa baginda sama seperti kita sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul? Kerana kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah dipasakkan semenjak awal penciptaan manusia lagi. Malah, dengan sebab kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itulah maka Allah Subhanahu wa ta’ala mengampunkan Nabi Adam a.s., yakni apabila Nabi Adam a.s. berdoa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dengan keberkatan nama Muhammad.
Dalam salah sebuah hadith yang lain yang menceritakan tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam; daripada Anas bin Malik r.a. berkata, sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Allah Subhanahu wa ta’ala mewahyukan kepada Musa a.s., Nabi Bani Israil, bahawa: ‘Sesiapa menemuiKu dalam keadaan menentang kenabian dan kerasulan Ahmad, nescaya Aku akan memasukkannya ke dalam neraka.’ Nabi Musa a.s. bersabda, ‘Wahai Tuhanku! Siapakah Ahmad itu?’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Tidak Aku jadikan seorang makhluk yang lebih mulia daripadanya. Aku menulis namanya di samping namaKu di ‘Arasy sebelum Aku menjadikan langit dan bumi. Sesungguhnya syurga diharamkan ke atas sekalian makhlukKu sehinggalah dia memasukinya terlebih dahulu dan juga umatnya.’...[hingga akhir hadith]” (Riwayat Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah)
Hadith ini adalah antara dalil yang menjadi pegangan ahli sunnah wal jama’ah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala yang paling mulia! Baginda lebih mulia daripada Sayyidina Jibril a.s., baginda lebih mulia daripada ‘Arasy Allah, baginda lebih mulia daripada Kaabah; maka, apatah lagi bandingan baginda dengan seluruh manusia lain. Apakah ini tidak mewajarkan kita untuk memuliakan baginda dengan bersungguh-sungguh, dengan menganjurkan majlis sambutan Maulidurrasul dan sebagainya? Banyak lagi hujah dan dalil lain yang menunjukkan tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang membuktikan bahawa kita tidak boleh mengatakan bahawa Rasulullah itu sama sahaja seperti kita sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Kelahiran baginda sudah menjadi bukti; betapa kelahiran baginda yang mulia tidak sama seperti kelahiran seorang manusia lain pun. Lahirnya baginda dalam keadaan telah berkhatan; lahirnya baginda dalam keadaan bersujud; lahirnya baginda dengan memancarkan cahaya yang menerangi seluruh alam! Itulah kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Dalam majlis sambutan itu dibacakan Qasidah, disebut selawat banyak-banyak, diceritakan kisah kelahiran dan kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Seperti yang disebut oleh tuan guru yang saya kasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki bahawa memuliakan dan mengagungkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah perkara yang dilakukan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala sendiri, maka sudah tentu itu satu tugas yang mulia dan utama untuk dilakukan oleh kita selaku hambaNya. Malah, memuliakan dan mengagungkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan satu perkara yang disukai oleh baginda sendiri. Hal ini sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda tatkala bapa saudaranya, Sayyidina ‘Abbas r.a. meminta izin kepada Rasulullah untuk memuji baginda. Rasulullah tidak melarang, bahkan mempersilakannya dan mengatakan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala tidak akan membinasakan mulutnya; hal itu kerana mulut beliau digunakan untuk memuji kekasih Allah Subhanahu wa ta’la yakni al-Mustafa, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Bagaimanakah pujian Sayyidina ‘Abbas r.a.? Saya memetik sebuah hadith yang termuat dalam kitab Maulid ad-Daiba’ie karangan Al-Hafiz Wajihuddin Abu ‘Abdillah Abdul Rahman ad-Daiba’ie. Hadith tersebut memuatkan kisah dan pujian yang disyairkan oleh Sayyidina ‘Abbas r.a. di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang berkenaan dengan konsep Nur Muhammad yang ditolak oleh sesetengah pihak disebabkan ceteknya ilmu.
Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Abbas r.a., berkata Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Sesungguhnya Quraisy (Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam) dahulu adalah berupa Nur di hadapan Allah ‘azza wa jalla (di antara kudrat dan iradatNya), yakni dua ribu tahun sebelum Dia mencipta Nabi Adam a.s. Nur tersebut sentiasa bertasbih kepada Allah. Dan dengan bacaan tasbihnya itu, para malaikat pun ikut bertasbih kepada-Nya. Maka tatkala Allah mencipta Nabi Adam a.s., dititipkanNya Nur tersebut pada tanah liat yang menjadi asal ciptaannya. Kemudian Allah ‘azza wa jalla telah menurunkan aku (Nur tersebut) ke bumi dalam tulang belakang Nabi Adam a.s. Dan aku telah dibawa belayar juga di dalam bahtera Nabi Nuh a.s. yang di saat itu aku berada di dalam sulbi (tulang belakang)nya. Lalu aku diletakkan pula di dalam sulbi Nabi Ibrahim a.s. ketika ia dilemparkan ke dalam ganasnya kobaran api Raja Namrud. Allah ‘azza wa jalla sentiasa memindahkan aku dari sulbi-sulbi yang suci ke dalam rahim-rahim yang bersih lagi megah, sehinggalah Allah mengeluarkan aku (dengan kelahiran jasad) dari ibubapaku yang kedua-duanya tidak pernah melakukan zina sama sekali.”
Hal di atas menjadi isi kandungan pujian Sayyidina ‘Abbas r.a.; bahawa bahtera Nabi Nuh a.s. itu terselamat daripada banjir besar disebabkan adanya Nur Muhammad di atas bahtera itu; begitu juga Nabi Ibrahim a.s. terselamat daripada dibakar dek api yang ganas dengan sebab adanya Nur Muhammad. Maka puji-pujian yang diberikan oleh Sayyidina ‘Abbas itu tidak langsung ditegah oleh baginda, sebaliknya baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam amat menyukainya. Oleh sebab itulah wajar untuk kita meraikan dan memuliakan hari kelahiran baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan meriah, sebagai menzahirkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Janganlah sampai ke tahap kita menghina dan merendah-rendahkan martabat baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana sesiapa yang menyakiti hati baginda, azab yang besar menantinya sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam Surah Al-Ahzab ayat ke-57.
Pelbagai kritikan dilemparkan terhadap apa yang dibuat oleh para ulama, khususnya daripada kalangan sufi, tentang sambutan Maulidurrasul. Seharusnya, mereka lebih berlapang dada dan menyelidik secara terperinci. Kadang-kadang, antara alasan yang digunakan untuk mengkritik amalan-amalan yang dilakukan adalah kerana ‘tidak wujud’ hadith yang menyatakan wujudnya amalan seperti itu. Saya cuma menghadirkan dua respon mudah bagi tuduhan seperti ini. Pertama, adakah pihak yang menyatakan ‘tidak wujud’ hadith tentang sesuatu amalan itu telah mengetahui dan membaca semua hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang wujud di dunia ini? Sedangkan para sahabat baginda pun tidak mengetahui semua hadith baginda, apatah lagi kita pada hari ini. Kerana itu kita harus belajar untuk berlapang dada dan bersikap seperti ahli ilmu yang benar sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para sahabatnya. Kedua, tidak semua perkara yang tidak dibuat oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu tertolak dalam Islam. Selagimana amalan itu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ‘aqidah dan syariat dalam Islam, serta didokongan dengan pendapat serta pandangan para ulama, maka sudah tentu sesuatu amalan itu boleh dilakukan.
Berdoalah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala agar mencurahkan Rahmat-Nya kepada kita serta mengekalkan kita di atas landasan kebenaran, yakni jalan yang lurus menuju Allah Subhanahu wa ta’ala.
Mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan.
Wallahu’alam.
1 comments:
Click here for commentsAssalamu'alaikum...
Mohon kebenaran untuk menggunakan artikel dalam blog saudara di blog/facebook saya.
Terima kasih.