DIA MAHA MENGETAHUI

Wahai manusia,
berapa kalikah kerdipan kelopak matamu,
dari semenjak kau lahir sehingga ke hari ini?
Berapa helaikah rambut di kepalamu?
Berapa helaikah pula yang telah tercabut daripada kepalamu,
dari saat kau lahir sehingga ke hari ini?
Berapa kalikah jantungmu telah berdegup,
yang dengan sebab itu kau terus hidup,
dari dulu sehingga kini?

Sungguh, engkau langsung tidak mengetahui!

Wahai manusia,
apakah engkau mengetahui,
bilangan manusia yang pernah hidup di atas bumi,
dari zaman Adam a.s. sehingga kini?
Apakah engkau menguasai,
semua bahasa manusia yang dituturkan di atas dunia kini?
Apakah engkau mengetahui,
semua nama manusia yang hidup pada hari ini,
di segenap empat penjuru bumi?

Sungguh, engkau langsung tidak mengetahui!

Wahai manusia,
apakah engkau mampu mengira,
berapakah banyaknya bilangan semut di dalam kamarmu?
Atau,
berapakah banyaknya bilangan nyamuk di seluruh lamanmu?
Atau,
berapa banyaknya kuman yang sedang terapung-apung di udara negerimu?

Sungguh, engkau tidak akan mampu!

Wahai manusia,
andai semudah mengira itu pun engkau tidak mampu,
maka usahlah engkau sombong dengan ilmu.
Kerana pada hakikatnya,
ilmu itu bukanlah daripada engkau,
tetapi ilmu itu daripada Yang Maha Mengetahui,
ilmu itu daripada Dia Yang Mengetahui jawapan bagi segala persoalan,
kerana hakikatnya soalan itu pun bersumberkan Dia,
maka sembahlah Dia,
tundukkanlah dirimu di hadapan-Nya dengan penuh hina,
kerana Dia-lah Rabbul-‘Alamin,
kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui.


Karya:
Al-Faqir ilaLlah Al-Ghaniy,
‘Abdullah ibn ‘Abdullah al-Maliziy.

Previous
Next Post »