Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi

Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pelbagai bentuk Rahmat kepada hamba-hambaNya. Antara Rahmat yang begitu besar yang boleh diperolehi oleh seorang hamba adalah peluang untuk bersama dengan orang-orang yang soleh, yang dengan cahaya ilmu mereka mampu membimbing dan menunjuki jalan untuk manusia itu kembali mengenali hakikat kedudukan dirinya dalam sistem kewujudan serta memahami maksud dan tujuan kehidupannya di atas muka bumi ini. Aku terpanggil untuk memasukkan di dalam blog aku satu artikel yang dikeluarkan pada tahun 2006 oleh Utusan Malaysia tentang seorang tokoh yang aku kagumi. Beliau adalah guru yang sangat aku kagumi, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi. Semoga Allah terus melimpahi RahmatNya ke atas beliau dan semoga beliau terus diberikan kekuatan untuk konsisten di atas jalan dakwah ini; mendidik kami untuk mengenali Tuhan, mencintai Rasulullah s.a.w., serta memahami hakikat kehidupan ini.


Sumber: Arkib Utusan Malaysia
Ruangan: Bicara Agama
Arkib: 13 Februari 2006
Tajuk: Muhammad Fuad Azam Hasilkan Empat Kitab Sebulan
Penulis: Tarmizi Abdul Rahim

PEPATAH Arab menyebut, "masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita." Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia' Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada 'kulit ke kulit'.

Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.

Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.

"Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

"Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

"Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.

Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.

Disiplin

Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.

Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.

Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

"Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

"Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

"Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.

Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.

"Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan," katanya.

Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

"Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.

Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.

"Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat," katanya.

Previous
Next Post »

8 comments

Click here for comments
Admin KBloG
admin
3:18 am ×

Jemput ke laman kami ( KBloG) Tuan Guru :D

www.kuisbloggergroup.blogspot.com

Reply
avatar
Atiqah Talib
admin
1:41 pm ×

salam, abg naim..
mohon izin utk 'salin dan tampal' artikel mngenai ust Fuad ini di blog saya. Jazaakallahu khair!

Reply
avatar
MeMrShidi
admin
5:43 pm ×

salam, Saudara Naim..
mohon izin utk 'salin dan tampal' artikel mngenai ust Fuad ini di blog cintanabi.com

Reply
avatar
Unknown
admin
6:06 pm ×

Salam Naim,
Saya dan suami sering mengikuti Kuliah Tafsir ,Hadith dan bbp pengajian lagi di bawah bimbingan Sheikh Fuad..di Masjid Taman TAR ,KL..dan amat mengkagumi ketokohan beliau.
Alhamdulillah.kami akan terus mengikuti Kuliah2 tersebut..dan upacara Peng'ijazahan'..yg beliau adakan pada hari2 Istimewa..sepanjang tahun..

Reply
avatar
2:26 am ×

Salam, lama betul tak jumpa Naim selepas Kembara amal abim Sarawak.
Artikel yang menarik, namun belajarlah ilmu atas dasar ilmu, bukan atas ketaksuban dan background menakjubkan seseorang. Letakkan satu panduan- Alquran dan Hadith first, bukan telan bulat2 apa tok guru ajar.

Sekadar kongsi bersama sahabat lama di Sarawak ni...

Reply
avatar
Naimz
admin
12:53 am ×

Asri: betul, kita tidak boleh taksub pada seseorang. tetapi tidak salah mengkagumi dan mencintai seseorang yang hebat ilmunya. lagi satu, sebagai peringatan buat kita semua, memang benar al-Quran dan hadith itu yang utama, tetapi kita perlukan kepada tok guru untuk menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang al-Quran dan al-Hadith. jangan sampai kita sombong dan merasakan kita boleh faham al-Quran dan al-Hadith hanya dengan sekelumit ilmu yang ada pada kita.

Wallahu'alam.

Reply
avatar
2:50 am ×

Syukran Naim, dulu masa travel kat Sarawak dalam Kembara Amal Abim 2006, ada seorang volunteer (specky) yang minat betul dengan 'Perbandingan agama dan dakwah kepada non-muslim'- especially Christian di Sarawak, alhamdulillah, ana rasa ada juga orang Sarawak yang giat berdakwah kat sana, semangat betul, walau muda lagi- namun sebenarnya banyak kekangan dalam dakwah kepada Christians ni- mereka ni lebih percaya dengan apa yang paderi cakap/ajar berbanding dengan teks Bible itu sendiri- terutamanya tentang pengakuan Jesus AS sebagai tuhan- mana ada dalam Bible- Jesus AS mengaku baginda tuhan dan suruhan supaya pengikut Christian sembah baginda. Tok guru mereka dah selewengkan fakta- walhal kalau baca teks secara terus memang xde unsur kesyirikan dari kata2 Jesus AS (boleh check dalam red lettered bible). Harap penyakit ini tidak ditimpakan keatas kita- sekadar peringatan- sama2lah kita ingat-mengingati- apa2 pun, kalau Naim ke Perlis, atau 'maila jalan ke Perlis'- silakan ke guesthouse saya foc-tapi beitahu awal untuk saya reservekan untuk Naim sekeluarga... wallahualam

Reply
avatar
Anonymous
admin
1:37 pm ×

salam~ sistem di universiti al-azhar tak sama ke dgn lain2 uni? sbb kalu di lain2 uni, attendance memainkan peranan juga. if skip classes, tak boleh sit for exams. at least 60% attendance, rasanya. pastu ada marks utk assignments, quizes, test, etc,

Reply
avatar