Diskusi Ilmu Hari Itu

Dua hari lepas (29 November 2008) aku dan beberapa orang rakan menziarahi Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud di kediaman beliau di Sg. Merab, Bangi untuk diskusi ilmiah. Mungkin bukan sangat diskusi, tetapi kepada proses kami menimba ilmu daripada seorang ilmuan besar seperti beliau. Perbincangan yang berlangsung daripada sekitar jam 9.00 malam sehingga 12.30 malam itu mengingatkan aku kepada peristiwa diskusi ilmiah antara dua orang sahabat, Saidina Ali k.w.j. dan 'Abdullah ibn 'Abbas. Dalam peristiwa tersebut, Saidina Ali k.w.j. menghuraikan kepada 'Abdullah ibn 'Abbas dalam ilmu tafsir al-Qur'an, yang mana perbincangan mereka bermula daripada selepas solat Isyak sehingga ke azan Subuh keesokan harinya!

Sudah tentu, bukan niatku untuk menyamaratakan diskusi kami dengan diskusi dua orang sahabat Rasulullah tersebut, kerana yang pasti martabat kerohanian dan keintelektualan kami jauh berbeza. Namun, apa yang ingin aku maksudkan adalah bagaimana budaya ilmu itu sebenarnya merupakan satu tradisi yang berakar teguh dalam ajaran Islam. Cukup seronok apabila berpeluang untuk terlibat dalam diskusi ilmiah dengan seorang ilmuan; perbincangan yang berjam-jam lamanya pun tidak sedikitpun melelapkan mata. Sedangkan, dalam keadaan yang lain, mungkin ceramah oleh seorang penceramah yang penyampaiannya tidak sampai setengah jam pun boleh menghadirkan kebosanan dan rasa mengantuk. Justeru, jelas sekali apabila al-Qur'an mengajukan satu persoalan yang provokatif: “Apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”, sudah tentu jawapannya tidak!

Adalah sesuatu yang menyedihkan, dan merisaukan juga, apabila 'ilmu' itu tidak lagi diletakkan di tempatnya yang betul. Institusi pendidikan (mungkin lebih tepat: pelajaran) juga tidak lagi berfungsi sepertimana sewajarnya. Institusi pendidikan yang kita ada pada hari ini lebih cenderung melahirkan 'pekerja industri' atau 'robot' daripada melahirkan 'manusia berkualiti', yang mana jika menurut perspektif al-Qur'an, manusia yang berkualiti itu adalah manusia yang bertaqwa kepada Allah. Ketaqwaan itulah sebenarnya ciri orang yang baik, bukanlah sekadar kemahiran dalam sesuatu industri atau kemampuan untuk membantu memajukan teknologi, ataupun memajukan perniagaan dan menambah pendapatan – sepertimana yang berlaku pada hari ini. Kita sudah meletakkan sistem yang cacamarba dan serba tidak teratur dalam usaha untuk melahirkan insan yang berkualiti, justeru kerana pemahaman kita terhadap apa yang dikatakan 'berkualiti' itu pun tidak tepat. Penekanan terhadap pendidikan nilai, asas agama, dan asas akhlak begitu lemah; malah, sampai ke tahap menyamaratakan (malah kadang-kadang merendahkan lagi) pendidikan asas-asas agama (revealed knowledge) dengan pendidikan ilmu-ilmu terbitan (acquired knowledge).

Penulisan ini akan aku sambung di kesempatan lain...

Previous
Next Post »