Keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan sebuah fatwa bahawa perlakuan 'pengkid' adalah haram, nampaknya telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat, khususnya oleh golongan 'pengkid' itu sendiri. Malah, terdapat sekelompok masyarakat yang secara terang dan berani telah mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut. Lebih menyedihkan, sikap yang ditunjukkan dan kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan seolah-olah mereka memperlekeh dan menghina fatwa tersebut.
Apa yang menghairankan adalah ada di kalangan kelompok yang membantah fatwa tersebut merupakan mereka yang bukan beragama Islam. Saya ingin menyatakan persetujuan dan sokongan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz, yang menyatakan bahawa keputusan fatwa hanya tertakluk kepada umat Islam. Justeru, dalam hal ini, umat bukan Islam tidak ada hak untuk mempertikaikan dan mempersoalkan keputusan fatwa tersebut. Apatah lagi apabila pertikaian tersebut hanyalah dilandaskan kepada emosi dan pandangan peribadi semata-mata.
Masyarakat di negara ini, khususnya umat Islam, harus memahami bahawa tugas dan tanggungjawab Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sangat penting kerana mereka bertanggungjawab untuk mengeluarkan hukum. Dalam Islam, soal hukum memainkan peranan penting kerana itu menjadi 'peraturan' dalam kita menjalani kehidupan berasaskan satu sistem nilai yang teratur dan sempurna. Saya kecewa dengan sikap beberapa pihak yang seolah-olah marah apabila ada peraturan-peraturan yang dikeluarkan untuk memandu kehidupan masyarakat. Apakah peraturan itu sesuatu yang tidak baik? Bukankah di mana-mana sahaja, di pelbagai peringkat, terdapat peraturan yang menjadikan kehidupan kita sebagai manusia lebih tersusun dan beradab?
Saya juga kurang bersetuju dengan istilah 'mengawal' (control) yang digunakan oleh sesetengah pihak yang menentang keputusan fatwa tersebut. Pada hemat dan pemahaman saya, keputusan fatwa tersebut (dan juga fatwa-fatwa sebelumnya, dan yang akan datang seterusnya) bukanlah bertujuan untuk 'mengawal' dalam konteks kawalan seperti robot dikawal oleh manusia, tetapi bertujuan untuk memandu umat Islam agar patuh kepada sistem nilai yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Hal ini tidak harus dilihat sebagai 'mengongkong kebebasan', kerana sebenarnya mereka yang bersikap dan berakhlak dengan akhlak yang tidak betul itulah yang terkongkong dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Kebebasan tidak membawa maksud bebas untuk berperilaku sesuka hati mengikut naluri dan kerakusan syahwat, tanpa perlu mengikut undang-undang; sebaliknya, menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, kebebasan bermaksud: “keadaan pemulihan serta penyaksian diri akan hakikat semulajadinya”. Justeru, fatwa, hukum, peraturan dan sebagainya bukanlah bertujuan mengongkong, tetapi sebaliknya untuk memandu manusia mengenali hakikat diri. Sudah tentu juga, untuk mengenali hakikat diri, manusia perlukan kepada panduan dan pedoman yang disediakan oleh agama kerana kemampuan akal manusia itu terbatas.
Justeru, umat Islam di negara ini perlu menghormati dan mematuhi fatwa yang dikeluarkan kerana tujuan fatwa tersebut adalah untuk mewujudkan kehidupan yang lebih baik, bukannya untuk mengongkong. Masyarakat yang lain pula, khusunya yang bukan beragama Islam yang menentang fatwa, perlu diingatkan agar jangan bertindak di luar batasan. Jangan cabar fatwa. Fatwa adalah khusus untuk umat Islam, justeru umat yang bukan beragama Islam tidak seharusnya campur tangan dan mempersoalkan hal-hal agama Islam, apatah lagi dalam keadaan mereka tidak memahami asas-asas dalam agama ini sendiri. Perlu difahamkan juga, bahawa proses untuk mengeluarkan sesuatu fatwa itu adalah satu proses yang cukup ilmiah dan sistematik (boleh rujuk dalam Portal e-Fatwa), yang berasaskan kepada sistem ilmu Islam yang begitu komprehensif dan teliti. Bukanlah fatwa itu dibuat berdasarkan kepada emosi dan sentimen semata-mata. Justeru, jika ada pun pertikaian dan persoalan yang ingin dikemukakan, biarlah hal itu dilakukan secara beradab dan melalui saluran-saluran yang betul.
Namun, dalam masa yang sama, umat Islam juga perlu mengambil sikap yang proaktif di dalam menangani masalah 'pengkid'. Sokongan, dorongan dan bimbingan haruslah diberikan kepada golongan tersebut agar proses untuk berubah itu dapat berlangsung dengan baik. Adalah tidak wajar bagi umat Islam, khususnya ahli keluarga golongan 'pengkid' itu sendiri, untuk menyisihkan, menghina dan mengutuk mereka, tambah-tambah lagi apabila mereka sudah punya kesediaan untuk berubah. Sudah banyak kali berlaku dalam masyarakat kita, mereka yang punya masalah akhlak apabila sudah mula untuk berubah, kembali kepada cara dan perilaku lama dek kerana cercaan dan hinaan masyarakat sekeliling. Contohilah akhlak agung Rasulullah s.a.w., serta pendekatan-pendekatan yang diambil oleh para ulama' terdahulu, khususnya ulama' nusantara, dalam melakukan dakwah dan menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Selain daripada itu, perhatian juga harus diberikan kepada kelompok-kelompok lain yang harus dibimbing dalam masyarakat kita. Antaranya, kelompok 'lelaki yang menyerupai wanita' (pondan), kerana mereka juga bersalah sepertimana salahnya golongan 'pengkid'. Malah, perlakuan 'pondan' yang sudah pun wujud dalam institusi-institusi pengajian tinggi harus dipandang serius dan diambil tindakan yang sewajarnya. Saya juga bersetuju dengan pandangan seorang pembaca dalam Laman Web Forum TV3 bahawa di samping masalah 'lelaki suka lelaki' dan 'perempuan suka perempuan' (homoseksual), masalah lelaki dan wanita bukan muhrim yang sering keluar bersama dan berperlakuan tidak wajar juga perlu diberikan perhatian yang serius dan dibendung.
Semestinya, dalam membincangkan permasalahan dalam masyarakat seperti ini, kita perlu kembali menilai sistem pendidikan kita kerana akar permasalahannya adalah di situ. Kita perlu kembali meletakkan pendidikan agama dan nilai sebagai asas terpenting dalam membina generasi muda berkualiti, seterusnya melahirkan modal insan kelas pertama yang akan dapat menyumbang ke arah mewujudkan masyarakat dan negara yang maju dan bertamadun.
ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
* disiarkan dalam Utusan Malaysia, Selasa, 11 November 2008.
5 comments
Click here for commentsBestnya artikeL ni.
Replyno further comment.
Lengkap diuLas.
Salam Ziarah.
ReplySatau komentar yang sangat baik untuk diberikan perhatian. Moga dipermudahkan segala urusan.
arrazzi alhafiz
KHADAM MAHASISWA
http://arrazzialhafiz.blogspot.com
menunjukkan keprihatinan.menyentuh erti kebebasan sebenar
Replymenunjukkan kprihatinan.menyentuh kebebasan sebenar.satu rujukan yg mudah utk dfahami
ReplyDear compassionate intellects, flower of my heart, brave readers,
ReplySwami Vivekananda said:
"The fear of God is the beginning of religion, but the love of God is the end of religion." (CW, VI 71.2)
Known & Unknown history, source from Arabic Scholar it self saying Islam design many things including borrowing and copying India, Indian, Hindu Hinduism knowledge. Solat for example copied and borrowed from Yoga Sutra.
In historical time, Muslims did consciously borrow from yoga and acknowledged the source. The traveling scholar Abu Rayhan al-Biruni (11th century) translated the Yoga Sutra of Patanjali into Arabic. Shah Muhammad Ghaus of Gwalior (16th century), a leader of the Shattârîyah order of Sufis, incorporated yoga practices into his teaching, based on the yogic text Amrtakunda. Yoga even reached as far as North Africa, where al-Sanusi (19th century) wrote of the yoga âsanas (jalsah); he referred to yoga in Arabic as “al-Jûjîyah“. Hereby source from Arab said Islam praying system design from Yoga Sutra.
Visit blogs for more details:
http://fatwaonyoga.blogspot.com/
http://blogs.ancientyogaconsulting.com/
http://www.crescentlife.com/wellness/islam_and_yoga.htm
A large international yoga organization, 3HO, has adopted the sujûd from Islamic prayer, calling it "Easy Yoga."
Still its mystery, why Malaysia Fatwa Council fatwa on yoga for Muslim.
Fatwa Council what un-mature attitude towards their own man kind Malay Muslim must be save from un-reasonable condition and law!
Radiance of Universal Mind,
Elan.