Beliau menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi di sisi dua anaknya selepas tidak sedarkan diri sejak malam kelmarin.
Anak ketiganya, Jamaluddin Ibrahim, 46, berkata Shamsiah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 24 September lalu akibat jangkitan paru-paru dan dibenarkan keluar, Sabtu lalu.
“Keadaannya baik pada hari pertama di rumah, namun semakin lemah dan tidak sedarkan diri semalam (kelmarin). Kami menghubungi ambulans selepas dia masih tidak sedarkan diri pagi tadi (semalam) dan dia disahkan meninggal dunia jam 9 pagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Besi selepas solat Asar.
Allahyarham mula aktif dalam gerakan nasionalis sekitar 1945 dan 1946 dengan menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy serta dilantik sebagai ketua sayap wanita parti itu.
Sayap wanita PKKM itu kemudian ditukar nama kepada Angkatan Wanita Sedar (Awas) bagaimanapun diharamkan di bawah Undang-Undang Darurat yang diisytiharkan British di seluruh Malaya pada 20 Jun 1948, untuk menyekat kegiatan politik radikal dan berhaluan kiri, terutamanya Parti Komunis Malaya (PKM).
Ekoran itu, Shamsiah dan beberapa pemimpin PKMM melarikan diri ke hutan di Benta, Pahang untuk menyertai perjuangan bersenjata PKM yang melancarkan perang gerila terhadap kerajaan British.
Peperangan gerila itu bermula selepas Jepun menyerah kalah pada 1945 dan hanya berakhir selepas Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dengan PKM dan Kerajaan Thailand pada 2 Disember 1989.
Jawatan terakhir yang dipegang Shamsiah dalam PKM ialah sebagai pemimpin Rejimen 10 (sayap Melayu).
Ketika di hutan, Shamsiah yang turut bertanggungjawab menerbitkan akhbar Pencinta Tanah Air dan rakannya bergerak sehingga ke sempadan Malaysia-Thailand pada 1953 dalam melaksanakan misi perjuangan mereka.
Shamsiah bersama suaminya Ibrahim Mohamad dihantar ke China pada 1958 untuk belajar bagi melancarkan usaha merekrut orang Melayu dan dilayan sebagai tetamu kehormat Parti Komunis China.
Beliau bagaimanapun dipecat daripada PKM disebabkan perubahan dalam perjuangan dalaman parti itu pada 1968. Berikutan itu, Shamsiah dan suami diberi perlindungan politik, namun tidak mempunyai kewarganegaraan di Beijing dan meneruskan hidup dengan bekerja di kilang besi serta memberi khidmat kepakaran bahasa Melayu kepada Radio Beijing dan Institut Bahasa Asing Beijing.
Shamsiah dan suami bersama tiga anak lelaki mereka akhirnya diberi pengampunan oleh Kerajaan Malaysia selepas Perjanjian Damai dengan PKM pada 1989 dan pulang ke negara ini pada 1994.
Ibrahim meninggal dunia di sini pada 2006.
Dipetik daripada www.bharian.com.my
3 comments
Click here for commentsAL FATIHAH utk shamsiah fakeh pejuang kemederkaan yg di lupai.. jangan lupa bumi pahang melahir kan ramai pejuang kemedekaan yg tersedut ke hutan menjadi gerila rejimen ke 10 di hutan lubok kawah temerloh. seperti ABU SAMAH, IBRAHIM CHIK, KAMARUZAMAN TEH,HASSAN SALEH dll..
ReplyAku bangga dengan kamu semua walau kamu di tuduh pengganas tapi jiwa dan raga kamu mulia dari UMNO tali barut british
AL FATIHAH..perjuanganmu akan aku teruskan ...
ReplyBerjuang untuk KEMERDEKAAN negara atau berjuang untuk ideologi KOMUNIS?. Sekadar Al-Fatihah sudah memadai, tak perlulah memuji perjuangannya yang berhaulaun kiri.
Reply