Program Eksplorasi Minda

Segala puji bagi Allah S.W.T., dengan izin-Nya selesai satu lagi program yang aku uruskan di bawah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS). Program daripada 4 - 6 Julai yang baru tamat semalam di Pusat Latihan Sarawak, Telaga Air, Kuching adalah merupakan program untuk para belia daripada kampung-kampung sekitar Kuching yang sebahagiannya tidak lagi menyambung pembelajaran, terutamanya di peringkat pengajian formal. Seramai 20 orang peserta yang mengikuti program ini, semuanya lelaki. Semalam adalah sesi penutupan yang disempurnakan oleh Y.B. Hj. Fadillah Yusoff, Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi merangkap Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya (ini kawasan parlimen tempat aku mengundi).

Program yang diberi nama Program Eksplorasi Minda ini aku sasarkan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman baru kepada para peserta program ini. Menurut pemerhatianku, antara faktor mengapa para belia Muslim (khususnya yang berada di kampung) selalunya sukar menentukan hala tuju dalam kehidupan dan sukar membuat keputusan-keputusan yang penting adalah kerana masalah pemikiran. Kadang-kala kerangka pemikirannya tak betul. Kadang-kala pemikirannya terlalu tipikal dan normal, tidak mampu keluar daripada kepompong pemikiran yang statik. Justeru, antara cara untuk ‘menjana’ dan ‘menggerakkan’ pemikiran yang lebih proaktif, dinamik dan terbuka adalah melalui pendedahan dan pengalaman yang segar. Pendedahan dan pengalaman yang segar akan memberikan kesan yang begitu signifikan kepada pemikiran para belia tersebut, dan apa yang diharapkan adalah kesan tersebut akan membantu mereka untuk akhirnya kelak menjadi belia-belia yang akan mampu untuk membuat keputusan-keputusan yang penting dalam kehidupan mereka dengan mempunyai satu hala tuju dalam kehidupan yang jelas.

Antara yang aku jemput untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta adalah Dr. Hasnizam Abdul Wahid, pensyarah daripada UNIMAS (merangkap Timbalan Dekan bagi fakultinya). Sudah sekian lama aku tidak bertemu dengannya, ternyata perkongsiannya memang sangat sesuai dengan kumpulan sasar. Bagi seorang yang bermula sebagai remaja lepak yang bermain gitar di jalanan, sehingga kini merupakan pemegang PhD dalam bidang Muzik (Music Technology), dan merupakan antara komposer musik elektroakustik terhandal di dunia, pengalamannya aku rasa sangat menarik untuk dikongsi bersama dengan semua para belia yang masih terperangkap dalam kerangka pemikiran yang negatif, yang menyebabkan mereka selama-lamanya terperap di takuk lama.

Apapun, seperti program yang lain bersama BPP-MIS sebelum ini, Program Perkampungan Eksplorasi Minda ini juga adalah merupakan permulaan kepada satu projek ‘pendidikan’ (diulangi: pendidikan, bukan pengajaran) yang berterusan. Aku mendoakan agar Ustaz Hasfa Bakhry, saudara Hishammuddin Sulhi dan saudara Nasruddin Mohd. akan dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ‘mentor’ kepada belia-belia tersebut.

Semoga Allah merahmati.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Anonymous
admin
11:28 pm ×

program yang luar biasa...semoga proses pendidikan terus berlangsung. Ya, pendidikan, bukan pengajaran..

Congrats bro Anonymous you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar