Pertemuan saya dengan saudara Muhammad Yunus Lubis tengahari tadi di kampus UKM membayangkan betapa kegelisahan dan kerisauan masih menyelubungi perasaan saudara M. Yunus Lubis dan isterinya. Siapa-siapa pun yang mengalami apa yang dialami oleh saudara M. Yunus Lubis hampir pasti mempunyai perasaan begitu. Apa tidaknya, sepasang suami isteri yang sedang enak berehat setelah keletihan kerana pulang lewat ke rumah, tiba-tiba dikejutkan dengan ketukan-ketukan kuat ke pintu mereka. Dalam keadaan panik dan ketakutan, saudara M. Yunus Lubis yang menyangka bahawa ada perompak yang cuba untuk merompak rumah mereka bergegas menyelamatkan laptop yang terletak di ruang tamu. Apabila beliau menanyakan identiti mereka yang mengetuk pintunya, jawapan yang diterima hanyalah teriakan: “cepat buka pintunya!”. Sejurus kemudian, pintu kediaman saudara M. Yunus Lubis dan isterinya dipecahkan dan masuklah anggota-anggota RELA menggeledah kediaman mereka. Apabila saudara M. Yunus Lubis menunjukkan segala dokumen-dokumen mereka – pasport, sijil pernikahan, visa dan sebagainya – barulah anggota-anggota RELA itu beredar. Itu pun, dengan keengganan untuk membayar pampasan kerana merosakkan pintu rumah.
Saudara M. Yunus Lubis adalah merupakan Presiden (Ketua Umum) bagi Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) – UKM. Insiden yang berlaku ke atasnya dan isteri telah mencetuskan kemarahan masyarakat Indonesia. Sesiapa yang membaca blog-blog dari Indonesia pasti akan dapat merasakan bahang kemarahan masyarakat Indonesia. Malah, di Indonesia juga sebenarnya telah bermula tunjuk perasaan dan demonstrasi membantah tindakan pegawai-pegawai RELA tersebut; dan apa yang lebih merisaukan adalah sasaran kemarahan masyarakat Indonesia ditujukan kepada negara kita, Malaysia. Tindakan yang dilakukan RELA sebenarnya telah memberikan satu gambaran yang negatif tentang Malaysia. Masyarakat Indonesia tidak melihat insiden yang berlaku sebagai perbuatan silap anggota RELA, walaupun hakikatnya begitu. Akhirnya, yang dihukum kini adalah Malaysia. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, saya mengisytiharkan bahawa saya tidak rela dengan apa yang telah dilakukan oleh RELA.
Tindakan tidak beretika yang dilakukan oleh pegawai RELA itu jelas bertentangan dengan beberapa peruntukan tentang hak-hak asasi manusia dalam Deklarasi Antarabangsa mengenai Hak Asasi Manusia, antaranya dalam Artikel 12 yang menyatakan bahawa; “No one shall be subjected to arbitrary interference with his privacy, family, home or correspondence, nor to attacks upon his honour and reputation. Everyone has the right to the protection of the law against such interference or attacks”. Deklarasi antarabangsa ini diiktiraf aplikasinya di Malaysia melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, Akta 597. Nah, sekarang saudara M. Yunus Lubis diganggu privasinya, ditakuti keluarganya, dirosakkan pintu rumahnya!
Pihak RELA perlu bertanggungjawab. Kita tidak mahu sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita tidak mahu hanya kerana perbuatan tidak beretika anggota-anggota RELA, hubungan Malaysia dan Indonesia terjejas. Saya bukan tidak patriotik atau hendak suka-suka hendak mempertahankan seorang rakyat asing. Tetapi, kebenaran dan keadilan perlu ditegakkan. Soal hak asasi manusia adalah soal global. Malah, adalah memalukan dan sangat menyedihkan andainya negara yang kita cintai ini tidak mendokong prinsip kebenaran dan keadilan dengan sebenarnya, sedangkan itulah yang sering dilaung-laungkan dan malah tertulis dalam undang-undang dan perlembagaan negara. Namun, yang lebih penting daripada itu sebenarnya, saya terguris kerana yang terusik dalam soal ini bukanlah seorang yang layak atau wajar digelar ‘asing’.
Saudara M. Yunus Lubis adalah saudara saya dalam ‘aqidah. Malah, beliau juga saudara serumpun. Bukankah bangsa Indonesia dan Malaysia itu sama? Rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia masih lagi berasal daripada rumpun yang sama – rumpun Melayu. Bahasa yang dituturkan masih lagi Bahasa Melayu, walaupun mungkin dengan lenggok yang sedikit berbeza antara dua negara ini. Sayang sekali, yang memisahkan antara Indonesia dan Malaysia adalah sejarah penjajahan imperialis Eropah. Perkembangan politik pula telah menjarakkan lagi dua negara yang asalnya satu ini. Ditambah lagi dengan beberapa pertelingkahan dan pergaduhan yang berpunca daripada kejahilan masyarakat kedua-dua negara tentang sejarah ini, tambah menjarakkan lagi rasa persaudaraan antara kedua-dua negara. Menyedari hakikat ini, saya enggan meletakkan saudara M. Yunus Lubis sebagai orang ‘asing’. Sebaliknya, beliau bagi saya adalah saudara seagama dan sebangsa! Justeru, salahkah kalau saya mempertahankan beliau?
Perkara ini juga saya kira tidak wajar untuk kita pandang sebelah mata. Hal ini demikian kerana ini bukan kali pertama anggota RELA dikatakan melakukan tugas dengan kaedah dan cara yang tidak beretika. Sebelum inipun sudah terdapat banyak bantahan dan komen yang dilemparkan terhadap anggota-anggota RELA. Memang kita tidak boleh menafikan sumbangan dan jasa yang telah dimainkan oleh RELA. Tetapi, saya berpandangan bahawa jasa baik tidak boleh dibiarkan bercampur-aduk dengan salah laku. Kalau dibiarkan, bermakna wujud dikotomi dalam sebuah organisasi yang tujuannya memberikan khidmat kesukarelawanan. Lalu, akhirnya para sukarelawan dan masyarakat sendiri akan keliru tentang tujuan dan peranan mereka yang sebenar dalam RELA, sepertimana apa yang berlaku kini. Sedangkan dalam Islam, sudah jelas ada pemisah antara yang benar dan yang salah, antara yang hak dan batil; sepertimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “...sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat...” (Al-Baqarah: 256). Juga dalam firman yang lain: “...bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)...” (Al-Baqarah: 185).
Mungkin, kewujudan dan penubuhan RELA itu sendiri perlu diperhatikan semula oleh kerajaan. Paling tidak, bidang kuasa dan peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada RELA perlu dikaji semula, dan disusun sesuai dengan ciri dan struktur RELA itu sendiri. Adalah tidak wajar anggota-anggota RELA yang kurang latihan, serta datang daripada latarbelakang yang pelbagai itu diberikan kuasa yang kini hampir-hampir menyamai kuasa-kuasa yang ada pada pihak berkuasa seperti polis dan penguasa imigresen. Seharusnya, skop tugas anggota RELA harus terhad kepada membantu dan bertindak mengikut arahan polis atau penguasa imigresen; bukannya diberikan autonomi atau dibiarkan bertindak sendiri tanpa pengawasan. Kemudian, apabila kesilapan telah dilakukan oleh anggota-anggota RELA, pihak yang berwajib perlu bersikap lebih adil dan terbuka dalam menangani apa yang telah berlaku. Janganlah hanya semata-mata kerana ingin organisasi itu kelihatan ‘sempurna’ tanpa sebarang cacat cela, keadilan dan kebenaran sanggup digadaikan. Kesilapan perlu diakui dan tindakan perlu diambil seandainya benar ada sesiapa yang bersalah.
Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu memperkemas prosedur dalam penguatkuasaan undang-undang supaya lebih beretika, beradab dan berhikmah; sifat-sifat yang selayaknya ada pada masyarakat bertamadun. Manusia tidak sepatutnya dilayan seperti binatang, sama ada ia bersalah atau tidak. Kita tidak seharusnya terikut-ikut dengan kaedah dan prosedur penguatkuasaan daripada sistem asing, yang mungkin banyak menggunakan kekerasan dan keganasan dalam penguatkuasaan. Kita mempunyai panduan kita sendiri. Panduan itu adalah daripada contoh terbaik bagi seluruh umat manusia, yakni Rasulullah s.a.w. Mungkin sistem pada zaman itu tidak seluruhnya sesuai dipraktikkan bulat-bulat di zaman kita pada hari ini, tetapi prinsip-prinsip kemanusiaan dan etika yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. pastinya perlu kita kekalkan kerana manusia tetap manusia, dari dulu sehingga kini.
Justeru, apa yang telah menimpa saudara M. Yunus Lubis perlu kita ambil serius. Walaupun mungkin insiden itu hanya kes kecil, namun insiden itu mampu memberikan impak dan kesan yang besar. Kita pastinya tidak ingin kes-kes seperti itu berulang lagi, walaupun terhadap pendatang-pendatang tanpa izin. Kita pastinya tidak ingin bangsa Melayu yang ada di Indonesia dan Malaysia berterusan bergaduhan, kerana kalau demikian yang rugi pastinya umat. Prinsip kebenaran dan keadilan perlu kita pegang teguh, dan hubungan antara kedua-dua negara perlu kita pertahankan dan tambah eratkan lagi. Kemuliaan manusia tidak terletak pada kemampuan kita menunjukkan kekuatan dan kelebihan atas negara atau bangsa lain. Kemuliaan manusia terletak pada kemampuan manusia untuk menjadi manusia, dalam erti kata dan hakikat yang sebenarnya.
Daripada Nu’man ibn Basyir r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dalam hal mereka saling cinta-mencintai, kasih-mengasihi dan bertimbang rasa sesama mereka, adalah seperti sebuah tubuh badan. Apabila mana-mana anggota ditimpa penyakit maka seluruh anggota badan akan turut serta berjaga malam dan merasakan demam.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Gombak, 11.24 p.m.
All posts in this blog are my own personal views (unless explicitly mentioned otherwise) and are not to be associated with any organization or institution related to me.
1 comments:
Click here for commentsSalam.mmm...bukankah pegawai RELA ni mendapat arahan drpd org2 tertentu, i mean org yg mempunyai authoriti/kuasa? sama juak kesnya dengan polis2 di malaysia tok. terrible..:-(