Akademi Ramadhan 1428 ke Penghujungnya...

Saat artikel ini ditulis, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal tiba. Namun, yang ingin diingati bukanlah ketibaan Syawal, sebaliknya pemergian Ramadhan 1428. Jika majlis akhir Akademi Fantasia disambut secara gilang gemilang di negara ini dengan adanya siaran langsung melalui kaca televisyen, jutaan SMS dihantar sebagai undian kepada peserta kegemaran, pelbagai produk dihasilkan, laporan dan berita yang berkaitan peserta Akademi Fantasia muncul di dada-dada akhbar; bagaimana pula sikap kita dalam menghadapi saat-saat berakhirnya Akademi Ramadhan 1428 ini?

Akademi Ramadhan pastinya tidak tertanding oleh Akademi Fantasia; tetapi, adakah sambutan kita terhadap Ramadhan ini setara ataupun lebih hebat daripada sambutan kita terhadap Akademi Fantasia? Para Sahabat Rasulullah s.a.w., setiap kali berakhirnya bulan Ramadhan, akan menangis kerana mereka risau andai tidak berpeluang untuk berjumpa lagi dengan Ramadhan pada tahun berikutnya. Kesedihan yang dirasai oleh para sahabat tersebut pastinya kerana mereka memahami nilai dan keistimewaan yang ada pada bulan Ramadhan.

Ramadhan adalah bulan istimewa, bulan mulia. Dalam bulan Ramadhan inilah Allah memberikan kita peluang untuk memperbaiki segala kelemahan diri. Setiap amalan sunat yang dilakukan akan mendapat pahala seperti amalan wajib, dan amalan wajib yang dilaksanakan pula akan mendapat pahala berlipat kali ganda. Pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Iblis dan syaitan yang biasa menghasut kita kepada melakukan maksiat dikekang sepanjang bulan. Semua itu adalah anugerah daripada Allah S.W.T. demi memberi peluang kepada kita untuk mengaut pahala sebanyak-banyaknya dan mendapatkan keampunan sebanyak-banyaknya.

Jika sebelum ini kita banyak membazirkan masa kita berada dalam Akademi Ramadhan 1428 ini untuk urusan-urusan perniagaan, pekerjaan dan sebagainya, eloklah kiranya kita menghabiskan masa kita di malam-malam terakhir Ramadhan ini untuk merancakkan lagi pesta ibadah. Dalam 10 malam terakhir inilah Rasulullah mengisyaratkan akan berlakunya malam yang sangat istimewa, yakni Lailatul Qadr. Inilah dia malam yang Allah anugerahkan kepada kita, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Apakah kita mahu melepaskan peluang beribadah pada satu malam yang nilainya lebih baik daripada kita beribadah berterusan selama 83 tahun?

Ayuh, kita rancakkan pesta ibadah di akhir Akademi Ramadhan 1428 ini. Mudah-mudahan kita menjadi graduan Akademi Ramadhan yang layak mendapat anugerah ketaqwaan!

Previous
Next Post »