Penyelesaian Mudah Untuk Bantu Palestin


Isu peperangan dan kekejaman yang berlaku di wilayah Palestin bukanlah satu isu baru, tetapi adalah merupakan isu yang telah berlaku secara konsisten dan berpanjangan semenjak daripada tahun 1947 lagi. Setiap hari, warga Palestin terpaksa berhadapan dengan kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera (dan juga orang awam) daripada negara haram Israel.

Apa tindakan umat Islam di seluruh dunia? Seperti yang kita tahu, sejak sekian lamanya juga ramai dalam kalangan umat Islam yang telah menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin; dan terkini, ramai umat Islam yang telah menyahut seruan untuk memboikot perniagaan-perniagaan yang disyaki menyalurkan kepentingan kepada negara haram Israel. Semua tindakan yang telah dilakukan ini adalah tindakan yang baik, dan sewajarnya diteruskan.

Namun, salah satu tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah untuk sentiasa berfikir apakah langkah yang terbaik untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin, dan juga mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang merupakan salah satu masjid yang penting dalam tradisi Islam. Jika dilihat, walaupun kita menyalurkan bantuan yang nilainya mencecah jutaan ringgit dan memboikot perniagaan-perniagaan yang mungkin ada kaitan langsung dengan Israel, rakyat Palestin masih lagi diserang dan dibunuh hari demi hari, sehinggalah ke saat ini.

Bila kita berfikir dengan akal yang sihat, penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin sebenarnya sangat mudah; iaitu, negara-negara umat Islam menghantar pasukan tentera mereka ke negara Palestin untuk mempertahankan rakyat Palestin dan mengusir keluar tentera penjajah Israel. Tidak ada alasan untuk kita mengatakan hal itu tidak wajar dilakukan. Namun, tindakan ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh rakyat biasa seperti kita – ini adalah tanggungjawab para pemerintah.

Mengapa mereka tidak melakukannya, walaupun negara-negara umat Islam kebanyakannya berkemampuan untuk melakukan hal yang demikian. Jawapannya adalah kerana para pemimpin (politik) umat Islam pada hari ini mempunyai sifat-sifat yang buruk – cintakan dunia, takut ekonomi terkesan, takutkan serangan balas dari sekutu Israel, dan sebagainya. Mereka akan memberikan alasan yang panjang lebar, yang kebanyakannya akan berkisar tentang hal ekonomi, jika ditanya mengapa mereka tidak sanggup untuk menghantar tentera ke Palestin.

Umat Islam pada hari ini (di seluruh dunia) diuji dengan mempunyai para pemimpin (politik) yang tidak mempunyai kelayakan untuk memimpin umat Islam.

Namun perlu difahami pula bahawa masalah pemimpin yang tidak layak ini, bukanlah boleh diselesaikan dengan jalan politik – kerana para pemimpin yang tidak layak ini naik menjadi pemimpin disebabkan oleh sistem politik yang ada pada hari ini. Pemimpin lahir daripada kancah masyarakat. Bermakna, jika kita menukar pemimpin yang sedia ada pun, kita akan mendapat seorang pengganti yang turut sama tidak mempunyai kelayakan. Oleh sebab itulah sehingga ke hari ini kita mendapati tidak ada satu pun tindakan tegas yang diambil oleh mana-mana pemimpin umat Islam dalam isu Palestin, walaupun para pemimpin itu silih berganti.

Maka, apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh setiap individu muslim adalah untuk melahirkan satu generasi umat Islam yang faham benar akan tugas dan tanggungjawabnya di dunia ini, yang bermula dengan memahami tanggungjawab dirinya secara individu terhadap Tuhannya. Memahami secara benar dan jelas tanggungjawab diri terhadap Tuhannya ini adalah penting kerana setiap perbuatannya dalam kehidupan, termasuklah untuk mempertahankan nasib saudara-saudaranya, adalah untuk memenuhi tanggungjawabnya terhadap Tuhannya jua.

Kefahaman terhadap tanggungjawab diri ini hanya akan dapat diwujudkan melalui jalan ilmu. Hanya apabila wujud masyarakat yang berbudaya ilmu, barulah mungkin umat Islam akan dapat melahirkan seorang pemimpin yang adil dan benar-benar mempunyai kelayakan.

Sejauh mana umat Islam benar-benar menghayati budaya ilmu? Kita mulakan dengan muhasabah diri kita sendiri. Dalam sehari, apakah masa kita lebih banyak dihabiskan dengan berhibur atau menuntut ilmu? Dalam sebulan, berapa banyak wang yang dihabiskan untuk memenuhi kehendak nafsu (makan minum, berfesyen, berjalan-jalan, dan sebagainya) dan berapa banyak pula dihabiskan untuk tujuan ilmu (yuran kursus, membeli buku, menghadiri kuliah, bersedakah kepada institusi ilmu, dan sebagainya)? Di rumah, apakah kita lebih banyak memiliki pakaian daripada buku? Apakah kita lebih banyak mengetahui kisah para artis daripada mengetahui kisah para ulama dan ilmuan?

Sepertimana kita secara individu membuat keputusan dan tindakan untuk memboikot perniagaan pro-Israel, maka seperti itu jugalah memupuk budaya ilmu dalam kalangan kaum muslimin itu bermula dengan diri kita sendiri – dan itulah tindakan yang paling berkesan untuk mempertahankan kepentingan umat Islam di seluruh dunia.

Newest
Previous
Next Post »