Ketatkan Kemasukan Pekerja Asing

Dunia kapitalisme yang dipimpin oleh para pemimpin yang tidak adil, hanya melahirkan individu dan organisasi yang semakin lupa dan lalai akan tanggungjawab yang patut mereka mainkan terhadap masyarakat di negara ini, dan terhadap umat Islam seluruhnya. Mereka jadi begitu, lupa dan lalai, kerana menjauhkan diri daripada panduan dan nasihat. Panduan, nasihat dan tunjuk ajar hanya mungkin datang daripada para ilmuan, para 'alim ulama.

Membawa masuk ramai pekerja asing - dalam keadaan mereka tidak faham latar sosio-budaya masyarakat Melayu di negara ini - hanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Selain daripada mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan yang sememangnya sudah ramai yang menganggur, kemasukan "lambakan" pekerja asing juga akan mengganggu suasana sosio-budaya masyarakat di negara ini. Sudahlah dalam negara ini sekarang ini pun sudah ada musuh-musuh dalaman yang cukup kurang ajar cuba mengganggu-gugat kedudukan istimewa Melayu serta kehormatan agama Islam sebagai agama persekutuan, hendak ditambah lagi pula dengan pekerja-pekerja asing yang terlalu ramai yang datang membawa budaya dan cara hidup mereka sendiri ke negara ini.

Terima kasih Tuanku kerana menyuarakan hal ini! Patik menjunjung kasih.



Syarat lebih ketat dalam guna tenaga - Sultan Perak

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bh.com.my

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah negara harus bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan.

Baginda bertitah, perkara sama juga perlu dilakukan ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.

"Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara dan pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan.

"Tidaklah membawa manfaat kepada negara apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk," titah baginda ketika merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di Kamunting, dekat sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, mendapatkan pas kerja untuk warga asing, kelihatan sebagai jalan mudah yang semakin dijadikan pilihan oleh kalangan majikan untuk kepentingan keuntungan jangka pendek urus niaga.

Titah baginda, tindakan itu dilakukan tanpa menghiraukan pelbagai implikasi negatif jangka panjang yang mula menjejaskan struktur sosial, budaya, demografi dan turut berpotensi menular menjejaskan struktur politik negara.

"Pendirian terkini kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing amat bertepatan dan sesuai pada waktunya.

"Syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa pada satu hari nanti, menanggung kos yang tinggi," titah baginda.

[ Baca laporan asal di: http://www.bharian.com.my/node/136058]
Previous
Next Post »