Di Sini Ada Buat Bom Tak?

Saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik semasa berkunjung ke sebuah negeri di Malaysia ini dalam siri jelajah ke sekolah-sekolah menengah berasrama penuh (sekolah elit lah maknanya).
Tetapi sebelum itu, beberapa pemahaman asas.

[1] Dalam sistem ilmu Islam, ilmu itu ada dua jenis: ilmu naqli dan ilmu 'aqli. Ilmu naqli adalah ilmu yang dinaqalkan (disampaikan) daripada seorang guru kepada anak muridnya, bersumber asal daripada baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang menerima wahyu daripada Allah Subhanahu wa ta'ala. Baginda Rasulullah menaqalkan (menyampaikan) ilmu tersebut sepertimana baginda menerimanya daripada Allah Subhanahu wa ta'ala tanpa diubah atau diolah; dan begitulah seterusnya semua 'ulama menyampaikannya kepada anak-anak murid mereka. Sumber utama ilmu naqli adalah Al Qur'an dan Al Hadith. Justeru, segala ilmu berkaitan agama (yang sumber utamanya adalah Al Qur'an dan Al Hadith) termasuklah pemahaman terhadap kedua-dua sumber utama ini, mestilah datangnya daripada penyampaian seorang 'ulama yang pernah menerima ilmu itu daripada seorang guru yang 'alim, bukannya ditafsir menggunakan akal sendiri. Harus kita fahami: para 'ulama itu walaupun adalah manusia seperti kita, adalah insan-insan terpilih yang mentafsir Al Qur'an dan Al Hadith bukan dengan menggunakan akal mereka semata-mata, tetapi dengan bersandarkan kepada panduan Al Qur'an dan Al Hadith jua.

[2] Ilmu 'aqli adalah ilmu terbitan, ilmu yang disusun dan diolah dengan menggunakan akal manusia. Ilmu-ilmu seperti ilmu matematik, ilmu sains, ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran dan sebagainya adalah ilmu yang disusun oleh para ilmuan silam berdasarkan kajian, penelitian dan pemikiran mereka. Untuk sesiapa sahaja menerbitkan kefahaman baru, formula baru, penemuan baru dalam ilmu-ilmu 'aqli ini melalui penelitian, kajian dan aktiviti berfikir yang intensif tidaklah mustahil dan tidaklah sukar.

[3] Dalam sistem ilmu Islam juga, ilmu naqli dan ilmu 'aqli tidak dipisahkan dan diasing-asingkan (sepertimana yang sering difahami oleh orang yang terpengaruh dengan aliran sekular). Kedua-dua ilmu ini ada perkaitan, dan ada maratib (kedudukan) tersendiri. Ada ilmu yang lebih tinggi kedudukan dan kemuliannya berbanding ilmu yang lain. Ilmu naqli adalah ilmu yang lebih tinggi kedudukannya, dan merupakan asas, dasar dan panduan kepada ilmu 'aqli. Bermakna, pencapaian dan pemikiran dalam disiplin ilmu 'aqli mesti berpandukan kepada ilmu naqli kerana jika tidak, tetap pencapaian dan penemuan dalam ilmu 'aqli itu tidak akan mendatangkan kesejahteraan kepada manusia. Sebagai perbandingan, boleh kita katakan ilmu naqli ini adalah ilmu "pengurusan manusia" manakala ilmu 'aqli adalah ilmu "pengurusan sistem". Manusia mengendalikan sistem; justeru, sekiranya "pengurusan manusia" itu sudah tidak betul, bayangkan apa jadi dengan "sistem" yang diuruskan itu?

Berbalik kepada pengalaman saya di sebuah sekolah berasrama penuh itu tadi. Saya dan rakan saya pergi ke sekolah tersebut pada minggu pertama bulan Oktober 2015 untuk tujuan promosi pendidikan. Sedang kami sibuk melayan para pelajar tingkatan 5 yang berpusu-pusu ke kaunter kami untuk mengisi borang pra-pendaftaran dan bertanyakan soalan-soalan tentang kemasukan ke Kolej Islam As-Sofa, datang seorang pelajar perempuan mendekati rakan saya dalam keadaan tersenyum-senyum simpul. Katanya ingin bertanyakan sesuatu, tetapi tersipu-sipu malu. Rakan saya memanggilnya supaya datang lebih dekat untuk bertanya. Sangkaan saya masa itu, mungkin pelajar ini ada masalah peribadi yang ingin ditanyakan.

Tiba-tiba pelajar itu bertanyakan satu soalan yang kami langsung tidak jangkakan:

"Encik, di sini ada belajar buat bom tak?".

Rakan saya terkejut dan bertanyakan kembali, "Nak buat apa?"

"Saya nak tolong Islam", jawab pelajar tersebut.

Dalam keadaan yang agak terkejut, rakan saya pun menjawab tidak dan menjelaskan secara ringkas bahawa "senjata" sebenar umat Islam pada hari ini adalah ilmu pengetahuan.

Bayangkan, seorang pelajar sekolah berasrama penuh boleh terbina satu pemikiran bahawa cara untuk membantu Islam pada zaman ini adalah dengan belajar membuat bom. Ya, memang tidak dinafikan membina senjata penting untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Sebab itu kita ada angkatan tentera dan kita juga ada senjata. Tetapi, dalam konteks untuk mempertahankan Islam pada hari ini, bukan dengan persenjataan tetapi dengan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana, akar kepada segala permasalahan umat Islam pada hari ini adalah masalah ilmu. Cabaran terbesar terhadap umat Islam juga adalah cabaran yang bersifat ilmiah, datang dalam bentuk serangan-serangan pemikiran yang menjadikan umat Islam keliru dalam mengenalpasti yang mana haq dan yang mana batil, yang mana utama dan yang mana tidak utama.

Bagaimanakah seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh yang letaknya jauh daripada bandar, boleh terpengaruh dengan fahaman seperti itu? Jawapannya: apabila dia cuba untuk mendalami ilmu agama dengan belajar daripada Internet, belajar daripada buku-buku yang dibaca sendiri. Seperti yang disebutkan di atas, ilmu agama itu ilmu naqli: mesti datangnya daripada seorang guru yang 'alim, seorang guru yang diiktiraf keilmuannya oleh para 'alim 'ulama yang lain jua. Kefahaman agama bukanlah sesuatu yang boleh diolah dengan menggunakan akal sendiri, melalui kajian dan bacaan sendiri. Kefahaman ilmu agama datangnya daripada Al Quran dan Al Hadith yang sudah lengkap dan sempurna. Justeru, ilmu agama ini hanyalah perlu dinaqalkan kerana ilmu ini sudah lengkap dan sempurna. Manusia tidak perlu mencari-cari kebenaran dengan menggunakan akal kerana kebenaran sudah lengkap.

Mungkin ada segelintir dalam kalangan umat Islam pada hari ini, seperti pelajar tersebut tadi, yang terpengaruh dengan faham sekular sehingga menanggapi ilmu Islam sama tarafnya seperti ilmu-ilmu 'aqli yang boleh dibina melalui pembacaan dan kajian sendiri. Mereka terpengaruh dengan pandangan alam Barat yang beranggapan kebenaran itu perlu dicari bermula dengan keraguan. Justeru mereka bertanyakan banyak soalan, malah mempersoalkan kewujudan Tuhan. Sedangkan dalam Islam, kebenaran dicapai bermula dengan yaqin. Kita beriman dan percaya bahawa Tuhan itu wujud, kita mengenali Tuhan sepertimana Tuhan sendiri memperkenalkan diri-Nya, dan kita mengenali baginda Rasulullah sebagai utusan Tuhan sepertimana Tuhan sendiri memperkenalkan baginda.

Faham ekstrim, sepertimana yang telah meracuni pemikiran pelajar itu tadi, terhasil apabila seseorang itu berfikir dan melakukan sesuatu bukan atas landasan ilmu tetapi atas landasan emosi. Mereka melihat gambar-gambar peperangan, dibakar-bakar dengan slogan-slogan yang mengutuk umat Islam, tetapi mereka lupa menghayati sunnah baginda Rasulullah serta gagal memahami panduan-panduan yang diberikan di dalam Al Quran dan Al Hadith (kerana membaca sendiri, bukan difahami daripada guru yang benar). Masalah utama umat Islam pada hari ini bukan masalah yang berpunca daripada kelemahan fizikal. Semua negara Islam ada pasukan tentera (tidak kira lengkap atau tidak), tetapi apabila Palestin dijajah dan dijarah, tidak ada satu pun negara Islam yang berani menghantar tenteranya untuk membantu Palestin. Mungkin ada yang akan berhujah bahawa kelengkapan tentera negara Islam tidak secanggih kelengkapan Zionis dan Amerika Syarikat. Adakah kita lupa, dalam peperangan Badar al Kubra pun, tentera baginda Rasulullah 3 kali ganda lebih sedikit daripada bilangan tentera musuh dan kelengkapan juga jauh lebih rendah daripada kelengkapan tentera musuh. Tetapi tetap tentera Islam menang.

Jika kita mengkaji secara mendalam, dan mendengar huraian daripada para 'ulama tentang peristiwa peperangan Badar al Kubra dan juga peperangan-peperangan Islam yang lain, maka kita akan tahu dan faham bahawa punca ketakutan dan rasa rendah diri (inferiority complex) yang melanda umat Islam pada hari ini adalah pada lemahnya umat Islam dalam menguasai ilmu pengetahuan, khususnya ilmu-ilmu naqli.
Previous
Next Post »