BH: Pertubuhan Guru Bantah Kena Ajar Pendidikan Seks

Petikan berita daripada Berita Harian Online:
Pertubuhan guru bantah kena ajar pendidikan seks
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/22
Pelaksanaan secara terburu-buru timbulkan banyak masalah
KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menggesa pelaksanaannya dipercepatkan tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Beliau berkata, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar, tambahan pula guru ketika ini tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.
“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.
“Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya kepada Berita Harian.
Kelmarin, Shahrizat meluahkan hasratnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta supaya pendidikan kesihatan reproduktif sebagai subjek di sekolah diperkenalkan segera.
Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, turut membantah cadangan itu dengan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.
“Asas didikan fardu ain oleh ibu bapa di rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjebak dengan gejala itu.
“Justeru, PKPSMM tidak mempersetujui idea itu (memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif) kerana ia jelas bukan langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau banyak di sekolah,” katanya.
Saya sangat bersetuju dengan pandangan PKPSMM bahawa memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif bukanlah penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi. Cadangan memperkenalkan subjek tersebut – sebagai respon kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat; secara khususnya: isu pembuangan bayi, zina – adalah satu cadangan yang sebenarnya menghairankan, tetapi tidak begitu mengejutkan memandangkan ini bukanlah kali pertama satu tindakan yang bersifat ‘terburu-buru’ dan ‘aneh’ hendak dibuat oleh pihak kerajaan.

Saya katakan cadangan memperkenalkan subjek tersebut sebagai satu cadangan yang menghairankan adalah kerana apabila kita meneliti permasalahan yang berlaku dalam masyarakat, dengan mengambil kira situasi persekitaran, serta menilainya dengan neraca nilai yang tertinggi yakni agama, maka kita akan memahami dengan jelas bahawa mengajar anak muda pada hari ini subjek pendidikan kesihatan reproduktif (selepas ini akan disebut pendidikan seks) adalah bukan satu penyelesaian.

Apabila kita hendak menyelesaikan sesuatu masalah, maka antara perkara paling penting yang perlu dibuat terlebih dahulu adalah mengenalpasti punca masalah yang sebenar. Hal ini sudah tentu memerlukan kepada satu proses yang benar-benar teliti dan didokongi oleh pandangan daripada para ilmuan. Jangan kita lupa kepada pesan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bahawa: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran!” Maka, dalam hal ini sebenarnya kita tidak perlu terburu-buru – tetapi bukan bermaksud perlu perlahan atau sambil lewa – dalam membuat keputusan. Biarlah pandangan dan pendapat para ilmuan, para ‘ulama, serta para guru didengari dan dijadikan sebagai panduan penting kepada para pemimpin politik. Seharusnya, para pemimpin politik mengikuti telunjuk para ilmuan, bukan sebaliknya!

Baiklah, meneliti cadangan untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks, saya nyatakan bahawa cadangan tersebut bukan satu langkah penyelesaian yang betul kepada permasalahan yang dihadapi. Kita setuju bahawa isu pembuangan bayi adalah satu masalah, dan masalah itu membawa kita kepada satu pemahaman bahawa kita sedang berhadapan dengan masalah zina. Bagi sesiapa yang berkesempatan untuk bertemu dengan pelaku buang bayi atau zina, cuba berbicara dengan mereka dan tanyakan beberapa persoalan; Adakah mereka tidak tahu bahawa perlakuan seks itu akan membawa kepada kehamilan? Adakah mereka tidak tahu bahawa perlakuan zina itu salah? Apakah mereka tidak faham bahawa membuang bayi itu satu perbuatan yang salah? Ya, mungkin memang ada yang terlalu mentah dan tidak faham bahawa semua perbuatan itu salah. Tetapi, ramai juga yang faham bahawa itu semua salah, sebab itu semuanya itu dilakukan secara ‘senyap-senyap’.

Kemudian, sama-sama kita fikirkan: Adakah kita yakin bahawa apabila mereka mengetahui bahawa perhubungan seks boleh menghasilkan kehamilan, maka mereka tidak akan berzina? Adakah dengan mengetahui tentang proses kehamilan, maka mereka akan menjauhinya? Ya, memang tidak dinafikan dengan mempunyai pengetahuan akan seks akan menyumbang ke arah pengawalannya. Tetapi, itu bukan penyelesaian yang utama atau paling penting kerana pada hari ini pun kita mengetahui ada sahaja di kalangan orang dewasa yang sedia maklum akan proses kehamilan dan sebagainya yang terlibat dengan perbuatan zina. Saya sengaja berulang menggunakan istilah “zina” dan bukannya “perhubungan luar nikah” kerana pada saya istilah “zina” membawa satu konotasi yang lebih menggambarkan perbuatan tersebut sebagai satu perbuatan yang sangat salah dan sangat besar dosanya. Mencadangkan pembelajaran pendidikan seks sebagai langkah penyelesaian kepada masalah buang bayi yang sedang berlaku kini, seolah-olah memberitahu kepada para remaja bahawa “tidak mengapa berzina asalkan jangan sampai mengandung”, atau “tidak mengapa lelaki dan perempuan berseronok asalkan jangan sampai membuat hubungan seks”. Itu ajaran yang salah. Ajaran agama sudah menjelaskan kepada kita apa yang betul dan apa yang salah – dan ajaran itu semuanya untuk menjamin keharmonian kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Masalah yang berlaku pada hari ini, khususnya buang bayi dan hubungan zina, dasarnya terletak pada masalah kecelaruan nilai. Masyarakat pada hari ini sudah tidak mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Masalah ini bukan sahaja terletak pada golongan remaja, tetapi terletak pada semua lapisan masyarakat. Jika ditanya, hampir semua mengetahui bahawa zina dan buang bayi itu salah – tetapi masih juga berlaku kerana masyarakat kita gagal melihat perbuatan salah itu sebagai satu perbuatan yang sebenarnya merupakan satu pencabulan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Tuhan! Oleh sebab itulah mengajar pendidikan seks tidak akan menyelesaikan masalah, kerana masih lagi remaja itu tidak akan faham hubungannya serta pertanggungjawabannya kepada Tuhan di dalam kehidupannya di dunia ini. Oleh sebab itulah, apa yang paling penting adalah penerapan pendidikan agama dengan dasar ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang kukuh harus diberikan kepada remaja. Ya, memang benar di sekolah-sekolah kita diajar pelajaran agama Islam. Namun, masalahnya adalah pelajaran agama Islam itu tidak diletakkan pada tarafnya yang betul. Seharusnya, pendidikan agama Islam menjadi subjek yang paling penting – paling banyak waktu pembelajarannya, paling intensif fokus dan perhatian yang diberikan kepadanya, paling besar gaji ustaz dan ustazah yang mengajarnya, paling besar belanjawan yang diperuntukkan untuk tujuan pembelajaran ilmu agama tersebut. Akibat kegagalan kita meletakkan ilmu fardhu ‘ain itu pada tempatnya yang betul, maka masyarakat pada hari ini melihat pembelajaran agama itu sebagai salah satu daripada matapelajaran biasa yang sama tarafnya dengan subjek lain seperti matematik, sains dan sebagainya.

Di samping itu, saya berpandangan bahawa jika kerajaan benar-benar serius untuk membendung masalah zina (yang menyebabkan berlakunya masalah buang bayi), maka perhatian juga harus diberikan kepada faktor-faktor lain yang menjadi penyebab kepada masalah tersebut. Jika benar serius, maka haruslah diakui bahawa masalah tersebut berlaku bukan semata-mata kerana lemahnya jatidiri remaja hari ini, tetapi juga kerana persekitaran yang ‘menggoda’ mereka. Sebagai contoh, berapa banyak filem-filem Barat – contohnya Hollywood – yang disiarkan di negara ini? Filem-filem Hollywood ini hampir kesemuanya tidak akan sepi daripada tema seks – paling kurang adegan berkucupan pasti ada! Begitu juga dengan iklan-iklan di dalam akhbar dan majalah yang memaparkan gambar-gambar wanita yang seksi. Tidak kurang para artis yang menunjukkan contoh perilaku akhlak yang tidak baik – tetapi apabila para artis ini dipersembahkan dalam bentuk yang “grand”, “cool” dan sebagainya, mereka menjadi ikutan para remaja!

Maka, pengukuhan pendidikan agama kepada segenap lapisan masyarakat – remaja, guru-guru, pemimpin politik, ahli korporat – adalah perlu secara berterusan!
Previous
Next Post »