MENZIARAHI TOKOH NEGERI SARAWAK

Dengan izin dan Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala, malam semalam (9 April 2009) saya berkesempatan menziarahi tuan guru yang dikasihi, al-Fadhil Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon. Beliau berada di rumah anak beliau di Kota Kemuning, Shah Alam di atas tujuan perubatan. Di dalam usia yang semakin meningkat serta keadaan kesihatan yang semakin tidak sihat, al-Fadhil Ustaz Awang Pon memang kerap berulang-alik antara Kuching dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di sini. Syukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan izin-Nya saya berpeluang untuk menziarahi Ustaz Awang Pon setelah sekian lama tidak berjumpa. Setelah berhijrah untuk menetap di Kuala Lumpur semenjak penghujung tahun 2006, memang jarang saya berkesempatan untuk berjumpa dengan beliau.

Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau, khususnya di kalangan generasi muda di Sarawak. Namun beliau adalah seorang tokoh yang sumbangan beliau terhadap perkembangan Islam di negeri Sarawak begitu besar, tidak tertanding oleh kami yang mengaku menjadi pendakwah dan pejuang agama ini. Beliau merupakan bekas Hakim Mahkamah Syarie Negeri Sarawak. Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan pembukaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di negeri Sarawak. Zaman muda beliau memang dihabiskan dengan perjuangan dan dakwah. Ketika menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir, beliau merupakan Yang Di-Pertua persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir (yang kini dikenali dengan nama PMRAM). Antara yang seangkatan dan pernah bersama-sama dengan beliau adalah Menteri Besar Kedah ketika ini, dan juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini. Allah Subhanahu wa ta’ala menzahirkan kemuliaan beliau kerana beliau sering kali diziarahi oleh tokoh-tokoh agama daripada seluruh Malaysia dan daripada seluruh dunia, biarpun umat Islam yang kurang sensitif dengan hal-ehwal agama di negeri Sarawak dan di negara ini mungkin tidak mengenali beliau. Malah, ulama’ tersohor dunia Islam, Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki juga pernah mengunjungi dan menziarahi beliau.

Malam semalam saya bersama tiga orang rakan (semuanya orang Sarawak) membuat temujanji saat akhir dengan beliau. Maklumlah, peluang berjumpa dengan tokoh seperti ini tidak harus dilepaskan. Syukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, biarpun saya sudah tidak mengingati jalan untuk ke rumah anaknya di Shah Alam, perjalanan kami telah dipermudahkan dan kami tiba di kediaman anak beliau tepat-tepat jam 9.00 malam seperti yang dijanjikan. Saya masih teringat kata-kata Ustaz Awang Pon semasa saya memegang amanah sebagai Yang Di-Pertua PERKEPIS satu ketika dahulu, dan kata-kata itu memang melekat dalam hati dan saya tidak dapat lupakan; beliau pada ketika itu menegur kami yang lewat hadir untuk sebuah mesyuarat yang penting, dan beliau memperli dengan menyatakan bahawa seandainya umat Islam pada hari turun ke medan perang, pasti umat Islam akan kalah kerana barisan tenteranya datang lambat!

Di rumah anaknya, kami berborak panjang. Bertanya khabar dan sebagainya; dan ternyata Ustaz Awang Pon memang mengikuti perkembangan kami melalui blog, emel dan sahabat-sahabat yang lain. Ingatan beliau cukup kuat walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu. Kami banyak berbincang tentang situasi di Sarawak, khususnya tentang ruang dan peluang dakwah. Ustaz Awang Pon banyak memberikan pandangan, nasihat serta motivasi tentang gerak kerja dakwah di Sarawak yang perlu kami gerakkan. Beliau juga sedikit sebanyak berkongsi dengan kami beberapa pengalaman beliau ketika masih aktif dalam Majlis Islam Sarawak. Rupa-rupanya, rancangan ceramah agama yang sering disiarkan setiap kali sebelum azan Maghrib dalam bulan Ramadhan adalah dimulakan dan dicetuskan ideanya oleh beliau. Subhanallah, semoga Allah terus merahmati beliau.

Saya telah menghadiahkan kitab terbaru Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki, “Tafsir Surah Nabi: Tafsir Ad-Dhuha & Al-Insyirah” kepada Ustaz Awang Pon. Ternyata, sebagai seorang ulama yang mengalir di dalam dirinya jiwa pendakwah dan aktivis umat, tidak akan lekang daripada mengikut perkembangan semasa. Ustaz Awang Pon memang mengetahui tentang Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki, malah ada menyimpan beberapa keratan akhbar tentang Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki. Ustaz Awang Pon mengagumi beliau kerana dalam usia yang begitu muda telah menghasilkan ratusan kitab, termasuk ada yang dikarang dalam bahasa Arab. Jika kesihatan beliau mengizinkan, Ustaz Awang Pon menyatakan hasrat beliau untuk menziarahi Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki.

Kami beredar daripada kediaman anak beliau sekitar jam 10.30 malam, setelah selesai mengambil gambar, seperti biasa. Memang sudah menjadi kebiasaan Ustaz Awang Pon untuk bergambar dengan para tetamu, khususnya yang sudah lama tidak ditemui. Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala terus mengurniakan Rahmat-Nya ke atas al-Fadhil Ustaz Awang Pon Awang Sebon.

Wallahu’alam.



Previous
Next Post »