Selesai di Eastwood Valley

Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan seluruh alam, Pemilik ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, serta ahli keluarga baginda.

Pada hari Ahad, 8 Mac 2009, yang lepas telah usai satu lagi kem untuk para belia. Program kali ini agak unik dan istimewa, sebab utamanya adalah kerana kem ini diadakan bersempena dengan sambutan Maulidurrasul 1430H. Kem ini diadakan khusus bagi memeriahkan lagi sambutan Maulidurrasul 1430H, justeru kami meletakkan hasrat untuk membawa para peserta dan juga para urusetia untuk bersama-sama memupuk walau sedikit, jika tidak pun banyak, rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah merupakan kewajipan bagi kita yang beragama Islam, yang merupakan umat baginda. Hal ini demikian kerana dengan sebab bagindalah maka kita pada hari ini mampu mengecapi nikmat iman dan Islam.

Apa yang paling istimewa untuk program kali ini adalah kehadiran Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki. Beliau seorang ulama besar yang aku kasihi. Kehadirannya sudah pasti membawa rahmat bagi program kami. Dengan izin dan Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala, kami dapat membawa Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki untuk menyampaikan kuliah perdana Maulidurrasul di Masjid at-Taqwa, Miri. Risau juga pada mulanya, apabila mendapat berita bahawa penerbangan Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki daripada Kuala Lumpur mengalami kelewatan. Risau kalau-kalau Allah Subhanahu wa ta’ala tidak mengizinkan beliau untuk tiba di Miri dan menyampaikan kuliahnya; pasti itu satu hal yang merugikan bagi kami. Namun, beliau tiba juga akhirnya dan sempat menyampaikan kuliahnya tentang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di Masjid at-Taqwa. Mudah-mudahan kuliah beliau tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, menegaskan betapa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu adalah semulia-mulia makhluk Tuhan, mampu melahirkan rasa kecintaan yang mendalam di kalangan umat Islam di Miri kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.




Biarpun sambutan masyarakat di Miri agak mengecewakan bagi aku, namun hal itu terubat apabila Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki sudi untuk tidur di tempat program kami lantas menyampaikan kuliah subuh kepada para peserta program ini secara eksklusif. Sayang sekali masyarakat di Sarawak masih kurang mengenali para ulama, masih tidak mengerti nilai ilmu, serta masih belum mengetahui adab-adab dengan ilmu dan adab dengan ulama. Apapun, mudah-mudahan kehadiran sulung beliau ke Sarawak ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang, agar pancaran ilmu beliau dapat menerangi hati-hati umat di Bumi Kenyalang ini.

Banyak juga perkara lain yang menarik tentang kem kali ini. Program kali ini diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club, sebuah tempat yang sangat menarik untuk diadakan program. Tempatnya sangat selesa. Semua bilik penginapan dilengkapi penghawa dingin dan bilik mandi sendiri, ala-hotel begitu. Para peserta terdiri daripada remaja-remaja lepasan SPM 2008, yang berusia 18 tahun pada tahun ini. Ada sekitar 60 orang peserta semuanya, daripada bahagian Bintulu dan Miri. Pada program kali ini juga kami melibatkan penyertaan beberapa orang fasilitator dan urusetia yang rata-ratanya kurang berpengalaman daripada Bintulu dan Miri.

Tempat program kali ini memang mewah jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat biasanya kami mengendalikan kursus-kursus latihan. Terfikir juga olehku, mungkin akan ada suara-suara yang sinis; mengatakan hal tersebut merupakan pembaziran, memanjakan peserta dan sebagainya. Namun, aku teringat kisah al-Imam Abu Hasan al-Syazuli, seorang ulama tersohor yang sangat ‘alim, seorang wali Tuhan. Kain yang digunakan untuk membuat pakaian beliau sahaja tidak mampu dibeli oleh sultan pada ketika itu, betapa mahalnya dan berkualitinya kain yang digunakan oleh beliau. Namun, hati beliau sedikit pun tidak terikat dan berkeinginan kepada pakaiannya yang mahal tersebut. Sebab itulah beliau dengan mudahnya melemparkan dan memberikan selendang barunya yang sangat mahal kepada anak muridnya yang cemburu dan mempunyai keinginan terhadap selendang itu. Itulah “zuhud” namanya. Zuhud bukanlah semata-mata bermaksud kita perlu hidup dalam kemiskinan, tidak melampau-lampau dalam memperolehi kekayaan duniawi. Tetapi, yang lebih tepat lagi, adalah zuhud ini bermaksud hati kita tidak terikat dan tidak mencintai kesenangan duniawi. Boleh sahaja memilikinya, asalkan jangan sahaja kita mencintainya dengan berlebih-lebihan. Maknanya, sikap zuhud ini menjadikan kita orang yang andai berada dalam kesusahan atau kesenangan, sama sahaja sikap kita. Begitula jua dalam berprogram, andaikata ada kemampuan dan kapasiti untuk berprogram di tempat yang selesa, apa salahnya? Malah mungkin itu lebih elok. Asalkan sahaja jangan kita mengundurkan diri daripada komitmen apabila tidak mendapat keselesaan dan kesenangan dalam perjuangan.

Justeru, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penggerak program ini, termasuk juga para peserta program ini yang telah memberikan komitmen yang sangat baik dalam menjayakan program ini. Biarpun ramai yang masih baru dan banyak kelemahan, tetapi bagi aku itu bukan satu persoalan yang kritikal. Kalaupun ada pihak yang ingin membuat penilaian dan melabelkan ‘gagal’ program kami tersebut, biarkanlah. Mungkin jiwa dan semangat da’wah itu belum benar-benar dihayati. Terima kasih aku ucapkan kepada Atul, Shahnaz, Lyiana, Leen, Nur Amalina, Suhana, Mu’min, Izzah, Izean, Hasri, Udin, Faizwan, Rizal, Irqin, Wanie, Tasha, Dedeng dan Mastika di atas sumbangan dan komitmen kalian. Kurangnya pengalaman, kemahiran dan ilmu yang ada pada kita semua tidak harus kita jadikan sebagai batu penghalang dalam kita menjalankan gerak kerja dakwah ini. Teman-temanku yang seperjuangan, kebanyakannya adalah orang-orang yang pada suatu ketika dahulu orang-orang yang “rejected” dan dipandang rendah. Namun, merekalah pendokong-pendokong agama pada hari ini.

Biarpun mungkin tidak sebanyak mana yang mampu disampaikan kepada para peserta dalam masa tiga (3) hari program tersebut berlangsung, itu tidak menjadi masalah. Kerana untuk membina peribadi manusia bukanlah dilakukan dalam masa tiga hari, tetapi itu adalah satu proses yang memakan masa yang panjang, malah mungkin sangat panjang. Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala terus mengurniakan kita dengan kekuatan, dan mengekalkan kita sebagai khadam agama-Nya.

Mohon maaf banyak-banyak kepada semua yang terlibat dalam program ini di atas segala kekuranganku, kelemahanku, dan kesilapanku dalam pengendalian program.

Dihidangkan di bawah ini, sebahagian kecil daripda foto-foto yang diambil ketika program;












Previous
Next Post »

6 comments

Click here for comments
EmanBoy
admin
2:36 pm ×

wah..nang best kem tok..best blaja maulid ad-daiba'ie, tp phl gmbar kmk xda.. XD

Reply
avatar
Anonymous
admin
11:06 am ×

salam~
kmk peserta kem ya juak..honestly bagik kmk kem ya bjaya! suma pengisian kem ya nang best. kawan2 nok lain pun pdh kem ya kem pling best n byak faedah mkorg dpt. kem tok lain dr yg lain. smpey bila2 mekorg akan ingat kem tok! thanks abang naim!

Reply
avatar
Auntie Am
admin
10:02 am ×

Salam....satu prog yg lain yg berjaya ditampilkan dan banyak mengetengahkan bakal aktivist Islam yg muda dan baru, alhamdulillah! Bagi kita yg menganjur dan menjalankan nya tentu lah rasa ada saja yg kurang, maka insya'Allah, ini membuat kita senantiasa mahu melakukan yg lebih baik...tapi percaya lah setiap prog/kem yg telah kita jalankan, nampak kejayaan nya...seperti biasa saya amat terhutang budi pada Naim, Shamsiah dan semua anak-anak fasi dan AJK...satu permulaan yg baik untuk 2009, apatah lagi dengan kehadiran Syeikh Fuad..terima kasih Naim kerana membuat segala urusan....

Reply
avatar
4:15 pm ×

oh yeah,
really really lucky i joined this
kem!

so insightful =)

Reply
avatar
zulaikha
admin
11:13 am ×

salam
the best camp ever! I learn a lot of new things from there.

Reply
avatar
12:32 pm ×

Ust .. Berhubung ust orang Malaysia, bolehkah saya tanya tentang universitas Islam yang bagus disana ? karena saya ingin kuliah di universitas Islam. mungkin bisa dibalas di email saya, (nadia_ilalhaq@yahoo.com) syukron

Reply
avatar