Menghayati Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Hari ini tanggal 27 Rejab 1429H; walaupun artikel ini mungkin sedikit terlewat kerana lambakan lagi penulisan tentang Isra’ dan Mi’raj telahpun memenuhi alam maya ini. Namun, dengan kesibukan menguruskan Kolokium Pendidikan Mahasiswa Islam Sarawak (sampai demam-demam dibuatnya) dan beberapa program lain menyebabkan aku tidak punya masa yang banyak untuk menulis di dalam blog. Walaupun demam masih tak kebah, aku perlu melunaskan hajatku untuk berkongsi intisari ceramah yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwy tentang Isra’ dan Mi’raj pada hari Jumaat, 25 Julai 2008 di Masjid As-Syakirin, KLCC.

As-Syeikh menceritakan bagaimana peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini adalah salah satu keistimewaan dan anugerah yang Allah kurniakan kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini adalah satu ‘keluarbiasaan’ dan tidak mungkin mampu ditanggapi oleh akal manusia yang biasa. Masakan mungkin akal manusia yang terbatas mampu menerima satu kisah yang mana Rasulullah s.a.w. mengembara daripada Mekah ke Baitulmaqdis (yang mana pada zaman itu kereta belum ditemui), kemudian naik menembusi tujuh petala langit (roket yang ada pada hari ini pun hanya mampu pergi ke lapisan langit pertama), kemudian turun semula dan kembali ke Mekah dalam masa hanya semalaman! Oleh sebab itu, hanya keimanan yang kental sahaja yang mampu membenarkan ‘kisah ajaib’ seperti ini. Hanya orang yang benar-benar yakin dan percaya akan kekuasaan Allah S.W.T. yang tiada batasnya itu akan percaya bahawa hal yang demikian itu adalah amat mudah bagi Allah S.W.T. untuk melaksanakannya.

Demikianlah dalam peristiwa ini Allah S.W.T. telah menyediakan satu peristiwa agung yang cukup gilang-gemilang bagi mengiktiraf dan menggambarkan kemuliaan Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w. diperjalankan oleh Allah S.W.T. melalui satu perjalanan istimewa di mana Rasulullah s.a.w. diperlihatkan dengan alam ghaib. Malah, sebelum baginda Rasulullah s.a.w. diangkat dengan Mi’raj, baginda telah diperlihatkan dengan Hurul ‘Ain (bidadari-bidadari syurga yang begitu cantik). Di Baitulmaqdis, sebelum diangkat ke Sidratul Muntaha, baginda telah mengimami segala arwah para Nabi dan Rasul dalam solat. Hal ini menjadi bukti kepada kemuliaan Rasulullah s.a.w., pengiktirafan kepada taraf Rasulullah s.a.w. sebagai ‘sayyidul anbiya’ wal mursalin’ (penghulu segala Nabi dan Rasul).

Walaupun Rasulullah s.a.w. adalah Rasul yang terakhir sekali diutuskan kepada manusia, tetapi Rasulullah s.a.w. adalah yang paling mulia. Peristiwa Isra’ Mi’raj ini menjadi bukti. Bukan sahaja Rasulullah s.a.w. menjadi imam kepada seluruh para Nabi dan Rasul yang terdahulu, malah daripada peristiwa Mi’raj kita dapat mendengar bagaimana Rasulullah s.a.w. diangkat ke tahap yang tertinggi, yang mana penghulu segala malaikat Jibril a.s. pun tidak pernah dan tidak boleh sampai ke tahap tersebut. Dengan kemuliaan yang ada pada baginda Rasulullah s.a.w., segala yang terkait dengan Rasulullah s.a.w. turut mendapat kemuliaan. Seluruh keturunan Rasulullah s.a.w., sama ada sebelumnya (daripada Nabi Adam a.s.) atau selepasnya menjadi orang-orang yang mulia. Kita selaku umat baginda, (ya, sekadar sebagai umatnya) pun turut mendapat kemuliaan. Kita diberikan keistimewaan apabila beribadah, berlipat kali ganda ganjarannya untuk kita. Di hari akhirat kelak, kita adalah yang pertama sekali dibangkitkan dan yang pertama sekali dimasukkan ke dalam syura. Begitulah kemuliaan yang diperolehi oleh umat Rasulullah s.a.w. dengan sebab kemuliaan baginda.

Justeru, dalam kita menghayati peristiwa Isra’ dan Mi’raj kita tidak boleh lari daripada menghargai dan mengukuhkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. Betapa mulianya Rasulullah s.a.w., Rasul kita yang dikurniakan peristiwa agung ini kepadanya. Betapa kasih sayang dan kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya tergambar melalui kesanggupan Rasulullah s.a.w. ‘menebalkan muka’ berulang-alik berjumpa dengan Allah S.W.T. meminta supaya dikurangkan waktu solat wajib daripada asalnya 50 waktu sehingga akhirnya menjadi hanya 5 waktu sehari-semalam. Nah, sekarang sejauh manakah kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.? Antara teman hidup kita dengan baginda Rasulullah s.a.w., untuk siapakah lebih mudah kita mengalirkan airmata? Tidak salah mencintai yang lain, tetapi adalah tidak tepat apabila kita salah menyusun-atur keutamaan cinta.

“Umat Islam hari ini bukan tidak mengenali cinta, tetapi mereka salah mengalamatkan cinta.” – Dr. Muhd. Iqbal

Adalah penting untuk kita menghayati peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini dalam konteks kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini bukanlah sekadar satu kisah hiburan untuk kita dengari dan dijadikan bahan bercerita semata-mata. Para ulama’ merumuskan pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini kepada tiga:
1. Memperdalam keimanan
2. Membetulkan ibadah
3. Meluruskan akhlaq

Firman Allah S.W.T., yang lebih kurang maksudnya:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Previous
Next Post »

4 comments

Click here for comments
sister
admin
8:34 am ×

salam..

Bang naim.. suk kamek maca artikel dalam blog kitak.. tapi tulisan nya kecik glak.. terpaksa bersengkang mata walaupun pakey spec..

Reply
avatar
sister
admin
8:40 am ×

salam..

Bang naim.. suk kamek maca artikel2 kitak.. tapi kamek ada masalah mata.. kamek susah nak maca tulisan kitak sebabnya tulisannya kecik gilak.. kamek cadangkan mun dapat besarkan ckit, tq..

salam

Reply
avatar
Anonymous
admin
8:46 am ×

salam..

Bnag naim.. suk kamek maca artikel kitak. banyak manfaat yang kamek dapat. tapi kamek ada masalah mata.. susah nak maca artikel kitak sebab kecik gilak walaupun kamek maca pake spec. kamek cadangkan font tulisan diperbesarkan..tq =)

Reply
avatar
Anonymous
admin
2:22 am ×

Langit perak bertatahkan bintang
Bergantungan rantai2 keemasan
Tiada iblis dan juga syaitan
Dapat mendengarkan rahsia Tuhan

Reply
avatar